Isnin, 4 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-82

Hang Nadim Dititahkan ke Benua Keling 

Hatta maka Sultan Mahmud pun hendak menyuruh ke benua Keling, membeli kain serasah empat puluh bagai; pada sebagai empat puluh helai; pada sehelai empat puluh perkara bunga­nya. Maka Hang Nadim dititahkan baginda ke benua Keling membeli kain itu; kerana Hang Nadim itu terlalu pandai barang pekerjaan. Adapun Hang Nadim itu sedia asal temak Melaka, dan keluarga yang hampir juga kepada Bendahara Seri Maha­raja, menantu kepada Laksamana Hang Tuah. Maka Hang Nadim pun pergilah naik kapal Hang Isap; kerana orang Melaka pada masa itu, rata-rata berkapal segala yang bermodal. Maka belayarlah ia ke benua Keling. 

Setelah berapa lamanya di jalan, sampailah ia ke benua Keling. Maka Hang Nadim pun masuk mengadap raja benua Keling; maka segala kehendak Sultan Mahmud itu semuanya dikatakannya kepada raja Keling. Maka raja Keling pun me­nyuruh menghimpunkan segala orang yang tahu menulis; maka sekalian mereka itu pun berkampunglah, ada kadar lima ratus banyaknya. Maka disuruh oleh raja Keling menulis seperti kehendak Hang Nadim itu; maka dituliskan oleh segala penulis itu. Setelah sudah, ditunjukkan pada Hang Nadim, maka tiada berkenan pada Hang Nadim. Maka ditulis oleh segala pandai Keling itu pula yang lain, itu pun tiada berkenan pada Hang Nadim. Maka kata segala penulis banyak itu, "Hanya inilah pengetahuan kami sekalian, jika lain daripada ini tiadalah kami sekalian tahu; tetapi berilah kami teladannya oleh Hang Nadim, supaya kami sekalian turut." Maka kata Hang Nadim, "Marilah peta dengan dawat itu." Maka segera diberikan oleh

*Peristiwa Sutan Nara Singa menyerang Lingga dan serangbalas Maharaja Isap ke atas Inderagiri serta perihal mengenai peristiwa itu tiada tersebut dalam naskhah Shellabear mahu pun naskhah Abdullah.

Keling itu peta dan dawat pada Hang Nadim. Maka oleh Hang Nadim ditulisnyalah pada kertas, bunga yang seperti kehendak hatinya itu. Setelah dilihat oleh segala penulis Keling yang banyak, maka sekaliannya hairan tercengang, melihat kelakuan tangan Hang Nadim menulis itu. Telah sudah, oleh Hang Nadim di­tunjukkannya pada segala pandai menulis yang banyak itu, katanya, "Demikianlah bunga yang hamba kehendaki. Maka hendak diturut oleh segala penulis itu, tiada dapat, tangannya gementar. Dalam pada penulis Keling beratus-ratus itu, me­lainkan dua orang juga yang dapat menurut; barang yang di­tulis Hang Nadim itu diturutnya. Kata segala Keling banyak itu, "Adapun kami tiadalah dapat menulis di hadapan Hang Nadim, melainkan pulang ke rumah kami kelak kami tulis." Maka kata Hang Nadim, "Baiklah." Maka sekaliannya pun pulanglah ke rumah masing-masing menulis. Setelah sudah lengkap ditulis semuanya kain yang seperti kehendak hati Hang Nadim itu, maka diserahkannyalah kepada Hang Nadim. 

Hatta musim kembali pun datanglah, maka Hang Isap pun hendak kembali; Hang Nadim pun naiklah ke kapaI. Hang Nadim dan Hang Isap akan bersama-sama kembali, bermuat segala hartanya ke dalam kapal Hang Isap itu. Adapun akan Hang Isap itu berniaga dengan seorang Saiyid, hamba Allah. Pada kira-kira Saiyid itu, ada emasnya sedikit lagi pada Hang Isap. Hang Isap berkata, "Tiada." Maka berbantahlah Saiyid itu dengan Hang Isap. Maka kata Hang Isap, "Wali apa ini gerangan, yang menuduh orang tiada sebenarnya ini? Wali pelir gerangan namanya."

Maka kata Saiyid itu, "Hei Isap, aku seorang hamba Allah, engkau namai buah pelir; adapun engkau kembali ini kharablah." Maka Hang Nadim segera menyembah kaki Saiyid itu, katanya, "Tuan, sahaya jangan dimasukkan; mohonkan ampun, sahaya jangan dibawa-bawa pada pekerjaan itu." Maka oleh Saiyid itu disapu-sapunya belakang Hang Nadim, katanya, "Nadim, antum sallamat." Maka Saiyid itu pun pulanglah ke rumahnya. Maka Hang Isap pun belayarlah hendak kembali ke Melaka. Maka setelah datang ke laut Selon, hujan tiada, ribut tiada, tiba-tiba kapal itu dengan seisinya Tenggelam. Maka Hang Nadim dengan berapa orang sertanya, lepas bersampan dengan hartanya sedikit sebanyak; lalu ia ke Selon. 219

Setelah didengar oleh raja Selon, maka dipanggilnya Hang Nadim. Maka oleh raja Selon, Hang Nadim disuruhnya mem­buat tanglong telur; maka oleh Hang Nadim kulit telur itu diukimya, terlalu indah perbuatannya. Maka dipasanginya dian, terlalulah ajaib rupanya. Setelah sudah, dipersembah­kannya kepada raja Selon tanglong telur itu; maka terlalulah sukacita raja Selon melihat perbuatannya. Maka Hang Nadim dipersalin oleh raja Selon, dan beberapa anugerahnya ber­bagai-bagai jenis; maka hendak dipegangnya sekali, tetapi Hang Nadim dapat berlepas, menumpang kapal orang ke Melaka. Setelah datang ke Melaka, maka Hang Nadim pun masuk mengadap Sultan Mahmud. Kain yang dibelinya itu, hanya empat helai yang lepas; maka dipersembahkannya kepada Sultan Mahmud Syah.

Maka segala perihal ehwal semuanya di­persembahkan kepada baginda. Maka titah Sultan Mahmud, "Sudah diketahui Hang Isap disumpah oleh Saiyid itu, meng­apa maka Hang Nadim menumpang juga pada kapalnya?" Maka sembah Hang Nadim, "Sebab pun patik naik pada kapal Hang Isap, kerana kapal lain lambat akan belayar. Jika patik nanti kapal yang lain lambatlah patik kembali mengadap ke bawah duli Yang Dipertuan." 

Maka Sultan Mahmud pun terlalu sangat murka akan Hang Nadim. Hatta maka Laksamana Hang Tuah pun kem­balilah ke rahmat-Allah Taala, maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan; tiga hari baginda tiada nobat. Maka Khoja Hassanlah jadi Laksamana, menggantikan mertuanya. Maka Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang lelaki, bernama Tun Abdul. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa'l-ma'ab.

SULALATUS SALATIN-81

Tepuk Berbalas, Alang Berjawat 

Alkisah maka tersebutlah perkataan raja Inderagiri Sutan Nara Singa, menjadi menantu marhum Melaka, masa kembali dari Melaka ke Inderagiri. Adapun pada ketika itu, segala Anak Tuan-tuan Inderagiri tiada dimalui oleh segala Anak Tuan-tuan Melaka. Apabila segala Anak Tuan-tuan Melaka berjalan ke sana. sini, maka bertemu pada tempat yang lecah atau sungai, maka dipanggilnya Anak Tuan-tuan Inderagiri; maka ia minta dukung melalui lecah itu.

Sudah seorang, seorang ia berdukung pada Anak Tuan-tuan Inderagiri; pada seorang Anak Tuan-tuan Inderagiri, dua tiga orang Anak Tuan-tuan Melaka, berganti-ganti ia berdukung. Maka segala Anak Tuan-tuan Inderagiri pun berdatang sembah pada Sutan Nara Singa, "Tuanku, mari kita bermohon kembali ke Inderagiri, kerana tiada kuasalah patik sekalian duduk di Melaka ini, tiada sekali-kali diumpamakan oleh segala orang Melaka ini; dijadikannya seperti hambanya." Maka titah Sutan Nara Singa, "Baiklah." Maka Sutan Nara Singa pun masuk mengadap Sultan Mah­mud Syah; pada ketika itu baginda sedang dihadap orang. Maka Sutan Nara Singa pun berdatang sembah ke bawah duli Sultan Mahmud, sembahnya, "Tuanku, jikalau ada kurnia Yang Dipertuan, patik hendak bermohon kembali ke Indera­giri, kerana sungguhpun ada negeri patik dianugerahi duli Yang Dipertuan, tiada patik melihat dia." Maka tiada dilepas oleh Sultan Mahmud Syah; lalu baginda pun diam. 

Setelah berapa lamanya, maka Sutan Nara Singa bermohon; dikatakan hendak membawa isteri baginda bermain, lalu berlepas kembali ke Inderagiri. Setelah datang ke Inderagiri, di­dapati baginda Maharaja Tuban, ayah saudara baginda sudah mati, tinggal anaknya Maharaja Isap, ialah jadi raja Inderagiri. Setelah Sultan Nara Singa datang, maka Maharaja Isap diincit­kan oleh Tun Kecil dan Tun Bali, nama Orang Besar di Indera­giri. Maka Maharaja Isap lari ke Lingga.

Adapun anak raja Lingga bernama Maharaja Megat, anak Maharaja Terengganu; maka oleh Maharaja Megat diambilnya Maharaja Isap akan menantu. Setelah Maharaja Megat mati, Maharaja Isaplah menjadi raja di Lingga. Berapa lama antaranya, maka Maharaja Isap pun mengadap ke Melaka. Maka oleh Sultan Mahmud Syah dianugerahi persalinan dengan selengkapnya.  

Setelah Sutan Nara Singa mendengar Maharaja Isap mengadap ke Melaka, maka diserangnya Lingga; habis ditawannya anak isteri Maharaja Isap, dibawanya ke Inderagiri. Setelah mendengar Sutan Nara Singa melanggar Lingga, maka Maharaja Isap pun bermohonlah ke bawah duli Sultan Mahmud, lalu kembali ke Lingga; didapatinya segala anak bini pegawai Lingga seorang pun tiada ditawani oleh Sutan Nara Singa, hanya pihak dirinya juga. Maka Maharaja Isap apabila keluar ke balai dihadap oleh segala hulubalangnya, mukanya dipalit­nya dengan arang; serta ia duduk ditegur oleh pegawainya, katanya, "Muka kanda itu arang." Maka oleh Maharaja Isap disapunya.

Hari esoknya, apabila dihadap hulubalangnya, dibubuhnya juga mukanya arang; ditegur oleh hulubangnya. Maka kata Maharaja Isap, "Dapatkah empuk semua meng- hapuskan arang di muka hamba itu?" Maka segala hulubalang Lingga pun tahulah akan maksud Maharaja Isap itu; masing­-masing berdatang sembah, katanya, "Baiklah tuanku, patiklah membasuh arang di muka kanda dengan air Sungai Inderagiri. Bila tuanku titahkan patik semua kerjakan." Maka kata Maha­raja Isap, "Jikalau sudah sekata, sabarlah dahulu, kerana puteri Sultan Melaka ada di Inderagiri. " 

Hatta berapa lamanya, maka Sutan Nara Singa pun menga­dap ke Melaka dengan isterinya. Setelah didengar oleh Maha­raja Isap, Sutan Nara Singa dengan isterinya ke Melaka itu, lalu ia berlengkap, setelah sudah lengkap, lalu diserangnya Inderagiri alah; segala anak gundik Sultan Nara Singa habis di­bawanya ke Lingga.) Setelah itu lalu Maharaja Isap mengadap ke Melaka. Maka Sutan Nara Singa pun telah mendengar kha­bar Maharaja Isap melanggar Inderagiri, baru ia hendak masuk bermohon kepada Sultan Mahmud, Maharaja Isap pun datang mengadap; tatkaIa itu Sultan Mahmud sedang dihadap orang, akan membicarakan pekerjaan Maharaja Isap melanggar Indera­giri itu,

Setelah datanglah Maharaja Isap, lalu ia menjunjung duli, dan lalu duduk pada tempatnya yang sediakala itu. Maka Sultan Mahmud pun memandang Bendahara Seri Maharaja dengan isyarat; maka Bendahara pun bertanya kepada Maharaja Isap, "Iakah Maharaja Isap menyerang Inderagiri? Tiadakah kah Maharaja Isap ketahui, Sutan Nara Singa menantu ke bawah duli Yang Dipertuan?" Maka sahut Maharaja Isap, "Sungguh tunku hamba tunku langgar Inderagiri; sedia hamba tunku ketahui Sutan Nara Singa menantu ke bawah duli Yang Maha Mulia; akan tetapi tatkala Sutan Nara Singa menyerang Lingga, menawani anak perempuan hamba tunku, tiada hamba tunku derhaka ke bawah duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia; dan salah hamba tunku kepada Sutan Nara Singa, hamba tunku mengadap ke bawah duli di Melaka ini; masa Sutan Nara Singa keluar dari Melaka kembaIi ke Inderagiri, anak perempuan hamba tunku ditawaninya. Itulah sebabnya maka Inderagiri hamba tunku langgar; itu pun setelah hamba tuanku dengar puteri Yang Dipertuan telah ke Melaka, melainkan hamba tunku mengharap ampun duli Yang Maha Mulia juga semata-mata."

Setelah Sultan Mahmud mendengar sembah Maharaja Isap itu, maka baginda pun berkenan mendengar dia. Maka oleh  Sultan Mahmud Syah, antara keduanya dimuafakatkan; maka Sutan Nara Singa dan Maharaja Isap pun muafakatlah, seperti saudara lakunya.* Setelah itu keduanya pun bermohonlah kepada Sultan Mahmud, masing-masing kembali ke negerinya. Sebab itulah raja Inderagiri dan raja Lingga itu berkeluarga daripada anak cucu Maharaja Isap.

SULALATUS SALATIN-80

Meminang "Puteri Gunung Ledang" 

Hatta berapa lamanya, maka isteri Sultan Mahmud, bonda Raja Ahmad itu pun mangkat; maka Sultan Mahmud pun sangat bercinta, Maka baginda memberi titah pada Bendahara dan pada segala Orang Besar-besar, "Apa bicara Orang Kaya sekalian, kerana negeri Melaka sekaran'g tiada beraja perempuan?" Maka sembah Bendahara dengan segala Orang Besar-besar, "Anak raja mana yang hendak tuanku pinang? Supaya patik sekalian kerjakan." 

Maka titah Sultan Mahmud, "Jikalau kita hendak ber­isterikan sama anak raja, raja yang lain adalah; yang kita ke­hendaki barang yang tiada pada raja-raja yang lain, itulah yang hendak kita peristeri. Akan sekarang kita hendak menyuruh meminang Puteri Gunung Ledang; Laksamana dan Sang Setia­lah kita titahkan." 

Maka sembah Laksamana dan Sang Setia, "Baiklah tuan­ku." Maka Tun Mamad dititahkan berjalan dahulu membawa orang Inderagiri akan menebas jalan, kerana Tun Mamad penghulu orang Inderagiri. Maka Laksamana dan Sang Setia pun pergilah sama-sama dengan Tun Mamad. Berapa hari lamanya di jalan, sampailah ke kaki Gunung Ledang. Maka Laksamana dan Sang Setia, dan Tun Mamad dengan segala orang sertanya itu pun naiklah ke Gunung Ledang, Dendang Anak namanya Benua membawa jalan, itu pun terlalu sukar; angin pun bertiup terlalu keras; baharu kira-kira berTengah gunung itu, maka tiadalah ternaik lagi oleh segala mereka itu.

Maka kata Tun Mamad pada Laksamana dan Sang Setia, "Berhentilah Orang Kaya dahulu di sini, biar beta naik." Maka kata Laksamana dan Sang Setia, "Baiklah." Maka Tun Mamad pun naiklah dengan dua orang yang pantas berjalan sertanya, naik ke Gunung Ledang itu. Setelah datanglah had buluh perindu, maka Tun Mamad dengan dua orang yang naik itu, seperti akan terbanglah rasanya, daripada sangat amat keras angin bertiup; maka awan pun seperti dapat dicapai lakunya, dan bunyi buluh perindu itu terlalu merdu bunyinya, burung terbang dengan suatu taman, terlalu indah perbuatannya.

Maka Tun Mamad pun masuk ke dalam taman itu, maka dilihatnya serba bunga yang ada di dalamnya pel­bagai jenis, dan buah-buahan yang ada di dalam dunia ini ada­lah didalam taman itu, sekaliannya lengkap dengan jambang­annya, pelbagai rupa jambangannya. Setelah segala mergastua dan segala kayu-kayuan di dalam taman itu melihat Tun  Mamad datang, maka segala burung itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berbait, ada yang seperti orang berseloka, ada yang seperti orang bergurindam; maka limau manggar pun bersorak, anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum; maka bunga air mawar pun berpantun serta berseloka, katanya: 

"Asa-asaan gigi si Mambang,
hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur,
sisiknya gilang gemilang."

Maka disahut oleh bunga tanjung, katanya:

"Dang Nila memangku puan, Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada."

Maka dijawab oleh bunga telipuk:

"Kuning Ledang bagai dikarang, Riang-riang disambar wakab;
Hairan memandang dunia sekarang, Bayang-bayang hendak ditangkap."

Maka Tun Mamad 'pun hairanlah mendengar rencana taman itu, seraya berjalan ke Tengah taman itu. Maka Tun Mamad pun bertemu dengan sebuah balai, semua perkakasnya tulang dan atapnya rambut; di atas balai itu ada seorang perempuan tua, baik rupanya, menyampai kain pendukung; empat orang perempuan muda-muda mengadap dia. Maka ia bertanya pada Tun Mamad, katanya,

"Orang mana kamu ini, dan hendak ke mana kamu?" Maka kata Tun Mamad, "Kami ini orang Melaka, nama hamba Tun Mamad, dititahkan oleh Sultan Mahmud Syah meminang Puteri Gunung Ledang, Lak­samana dan Sang Setia ada di bawah gunung ini, tiada boleh naik, akan hamba disuruhnya; dan tuan hamba, siapa nama tuan hamba?" Maka sahut perempuan itu, "Nama hamba Dang Raya Rani, hambalah pengetua Puteri Gunung Ledang; nantilah hamba di sini, biar hamba persembahkan segala kata tuan hamba itu pada tuan puteri."

Setelah ia berkata, maka kelimanya lenyaplah; ada kadar sesaat maka kelihatan pula seorang perempuan tua, bongkok belakangnya lipat tiga, Maka ia berkata pada Tun Mamad, "Adapun segala kata tuan Hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada tuan Puteri Gunung Ledang; akan titah tuan puteri,

"Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu,
dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan pe­minangnya hati nyamuk tujuh dulang; hati kuman tujuh dulang; air mata setempayan; air pinang muda setempayan; darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk.

Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu." Setelah sudah ia berkata demikian lenyaplah ia, Pada suatu riwayat, orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang, merupakan dirinya seperti orang tua. Setelah itu maka Tun Mamad pun turunlah dari sana kembali pada Laksamana dan Sang Setia. Maka segala kata Puteri Gunung Ledang itu semuanya dikatakannya pada Laksamana dan Sang Setia. Setelah itu sekaliannya pun turun­lah dari Gunung Ledang, berjalan kembali ke Melaka.

Berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka. Maka Laksamana dan Sang Setia dan Tun Mamad pun masuklah mengadap Sultan Mahmud Syah; maka segala kata yang didengarnya daripada Puteri Gunung Ledang itu semuanya dipersembahkannya kepada Sultan Mahmud. Maka titah baginda, "Semua ke­hendaknya itu, dapat kita adakan; mengeluarkan darah anak kita itu juga apatah daya; kerana tiada sampai hati kita."Wallahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa'l-ma'ab.

SULALATUS SALATIN-79

Peristiwa Patih Adam Dengan Tun Minda

Sebermula tersebutlah Pangeran Surabaya, yang bernama Patih Adam, datang ke Melaka mengadap Sultan Mahmud; maka dianugerahi persalin, dan sangat dipermulia baginda, maka didudukkan setara menteri. Pada satu hari, Patih Adam duduk di balai Seri Nara Diraja, tatkala itu Tun Minda lagi kecil, baharu tahu berlari-lari. Maka Tun Minda berlari-lari di hadapan Seri Nara Diraja; maka berkata Seri Nara Diraja pada Patih Adam, "Dengarlah kata anak hamba ini, ia hendak ber­lakikan Patih Adam." Maka Patih Adam pun tersenyum, se­raya katanya, "Inggih!"

Setelah musim kembali ke Jawa, maka Patih Adam pun bermohonlah pada Sultan Mahmud. Maka dipersalin baginda dengan sepertinya; maka oleh Patih Adam ditebusnya seorang budak perempuan yang sama umurnya dengan Tun Minda; besarnya pun sama; dibawanya kembali ke Jawa. Setelah sampai ke Surabaya maka budak itu disuruhnya peliharakan baik-­baik. Selang berapa lama antaranya, maka budak itu pun besarlah; patutlah akan bersuami, maka diberinya berlaki. Se­telah itu maka Patih Adam pun berlengkaplah hendak ke Melaka. Maka dipilihnya empat puluh anak periai yang baik-baik dibawanya serta, dan beberapa ratus orang yang sigap-sigap. Maka Patih Adam pun belayarlah ke Melaka.

Setelah sampai, maka Patih Adam datang kepada Seri Nara Diraja; maka kata Patih Adam, "Manira datang ini hendak menuntut janji andeka pakanira, hendak mendudukkan manira dengan anakanda." Maka kata Seri. Nara Diraja, "Tiada Hamba berjanji hendak mendudukkan anak hamba dengan tuan hamba."Maka kata Patih Adam, "Tiadakah tatkala anakanda lagi kecil, berlari-lari, maka kata tunku, 'Patih Adam, dengar juga anak hamba ini hendak berlakikan tuan hamba." Maka sahut Seri Nara Diraja, "Sungguh hamba berkata demikian, tetapi hamba bergurau juga dengan tuan Hamba." Maka kata Patih Adam, "Adakah adat Peremasan diperguraukan orang?"

Maka Patih Adam pun kembalilah ke persenggerahannya. Maka berbicara dalam hatinya hendak merogol Tun Minda. Akan Tun Minda pun telah besarlah, berumah sendiri. Maka oleh Patih Adam diemasinya segala penunggu pintu Seri Nara Diraja, katanya pada penunggu pintu itu, "Berilah aku masuk dengan empat puluh orang periai ini juga." Maka kabullah penunggu pintu itu memberi masuk ke rumah .Tun Minda; sebab ia diupah itu, hilanglah setianya. Sungguhlah seperti sabda amiru'l-mu'minin Ali Karamma 'llahu wajhahu: Jindaru l-wafa 'ala man la asla lahu; yakni sia-sia setia atas orang yang tiada berbangsa baginya. 

Pada suatu malam, masuklah Patih Adam dengan empat puluh periai yang pilihan itu; maka Patih Adam pun naiklah ke rumah Tun Minda. Maka Tun Minda hendak lari, ditangkap oleh Patih Adam; maka orang pun gemparlah. Seri Nara Di­raja pun diberi orang tahu; maka Seri Nara Diraja pun terlalu amarah , lalu menyuruh mengampungkan orang. Maka segala orang pun berkampunglah dengan segala senjatanya; maka di­kepung oranglah rumah Tun Minda. Adapun Patih Adam, duduk juga ia di sisi Tun Minda, ditindihnya paha Tun Minda; maka diurainya sabuknya, diikatkannya pada pinggang Tun Minda, sekerat diikatkannya pada pinggangnya, kerisnya pun dihunusnya. Maka rupa senjata orang yang mengepung itu berlapis-lapis. Maka segala anak periai itu pun melawan, habis mati dibunuh orang; serta mati seorang, diberitahu oleh pe­nakawannya pada Patih Adam, "Pangeran, si anu sampun pejah." Maka sahut Patih Adam, "Dendamene," ertinya biar­lah. Dengan demikian keempat puluhnya habis mati dibunuh orang. Maka diberitahu oleh penakawannya pada Patih Adam, katanya, "Punapa karsa andeka dening peria 'i punika kabeh sampun pejah." Maka sahut Patih Adam, "Dendamene kang sampun pejah ingsun putera dalem ikabela nanging peratu;" ertinya, biarnyalah habis mati semuanya, akan aku anak orang besar ini pun bela aku padalah.  

Hatta maka dinaiki oranglah rumah itu; maka.dilihat orang Patih Adam duduk bertindih paha dengan Tun Minda. Kata Patih Adam, "Jika aku kamu bunuh, anak orang ini pun ku­bunuh." Maka segala kata Patih Adam pun diberi orang tahu pada Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja, ''Janganlah Patih Adam itu dibunuh, takut anak hamba dibunuhnya; kerana pada hamba, jikalau seluruh Jawa itu pun sekali habis, jika anak hamba mati tiada hamba samakan."

Maka tiadalah jadi Patih Adam dibunuh orang; maka dikahwinkan oleh Seri Nara Diraja dengan Tun Minda. Adapun Patih Adam selama di Melaka itu, tiada pernah ia bercerai dengan Tun Minda barang sejari juga, barang ke mana ia pergi bersama-sama juga dengan Tun Minda. Setelah datang­lah musim akan kembali ke Jawa, maka Patih Adam pun ber­mohonlah pada Seri Nara Diraja, hendak kembali ke Jawa membawa Tun Minda; maka dikabulkan oleh Seri Nara Diraja. Maka Patih Adam pun mengadap Sultan Mahmud, bermohon hendak kembali ke Jawa; maka dipersalin oleh baginda dengan selengkap pakaian, dan dianugerahi dengan sepertinya.

Setelah itu maka Patih Adam pun kembalilah ke Surabaya. Adapun Patih Adam beranak dengan Tun Minda seorang lelaki, Patih Hussain namanya; itulah moyang Pangeran Surabaya yang kena amuk.

SULALATUS SALATIN-78

Titisan Keturunan Bendahara Seri Maharaja

Ada seorang lagi anak Bendahara Seri Maharaja, Tun Biajid Rupat namanya disebut orang, bergelar Seri Petam, beristeri­kan Tun Cendera Panjang, anak Seri Bija Diraja Datuk Bongkok, beranak seorang lelaki bernama Tun Abdullah. Seorang lagi Tun Lela Wangsa gelarnya, lain bondanya; anak gundik Bendahara Seri Maharaja seorang perempuan bernama Tun Benggala, bergelar Tun Nila Wangsa, disebut orang Datuk di Bukit, duduk dengan Orang Kaya Tun Abu Syahid, beranak­kan Orang Kaya Tun Hassan. 

Sebermula akan Tun Hassan Temenggung, anak Benda­hara Seri Maharaja, beranak seorang lelaki bernama Tun Mad Ali, terlalu baik sikapnya, ialah beranakkan Tun Jenal; dan Tun Jenal beristerikan Tun Cina, beranakkan Tun Genggang yang disebut orang Datuk Sayung, berlakikan Tun Ahmad yang bergelar Paduka Raja, beranakkan Tun Muhammad, bergelar Bendahara Paduka Raja, beristerikan Tun Aminah, anak Tun Kadut, cucu Seri Amar Bangsa Tun Pang; itulah yang disebut orang Datuk Bendahara yang ke Aceh.

Maka Datuk yang ke Aceh beranak dengan Tun Aminah tiga orang lelaki, dan perempuan seorang, Tun Gembuk namanya; yang lelaki seorang Tun Anum namanya, bergelar Seri Maharaja, menjadi Bendahara; dan Tun Jenal seorang namanya, bergelar Bendahara Paduka Raja, yang disebut orang Datuk Sekudai; seorang Tun Mad Ali namanya, bergelar Paduka Maharaja, dia pun menjadi Bendahara juga. Seorang lagi anak gundik Datuk yang ke Aceh, Tun Rembau namanya, bergelar Seri Paduka Tuan di Aceh, menjadi panglima Bandar Darul Salam. Adapun Bendahara Seri Maharaja Tun Anum beranak tiga orang, yang tua lelaki bernama Tun Kiai, bergelar Paduka Maharaja; dua perempuan, seorang bernama Tun Emas Irang, yang bongsu bernama Tun Putih, duduk dengan Tun Ahmad, anak Datuk Sekudai, beranak tiga orang; yang tua bernama Tun Besar, yang Tengah bernama Tun Fatimah, dan yang bongsu lelaki bernama Tun Biajit.

Adapun Paduka Maharaja Tun Kiai pun banyak anak; Tun Emas Anum, seorang namanya; Tun Emas Radin seorang namanya; Tun Dagang seorang namanya; Tun Abdullah se­orang namanya; Tun Sandang seorang namanya, dan perem­puan seorang bernama Tun Ciai.

Akan Datuk Sekudai pun banyak beranak;
Tun Ahmad seorang namanya, bergelar Paduka Raja, menjadi Temenggung; seorang bernama Tun Kelang, bergelar Raja Indera Bongsu;
seorang bernama Tun Mutahir, bergelar Tun Nara Wangsa;
seorang bernama Tun Hamzah, bergelar Seri Paduka Tuan;
se­orang bernama Tun Perak, bergelar Seri Amar Bangsa;
seorang bernama Tun Dagang, bergelar Seri Maharaja;
seorang bernama Tun Isap;
dan yang perempuan Tun Emas Ayu seorang namanya;
Tun Mariah seorang namanya;
Tun Fatimah seorang namanya, duduk dengan Seri Pikrama Raja, Tun Emas Dagang, anak Orang Kaya Besar Tun Muhammad;
dan Tun Kasa seorang namanya;
Tun Gembuk seorang namanya, berlakikan Paduka Seri Indera Tun Mahmud, anak Seri Asmara Tun Itam; dan Tun Selat seorang namanya, dan Tun Jendul seorang namanya.

Adapun Bendahara Paduka Raja Tun Mad Ali, beranak tiga orang juga, yang perempuan bernama Encik Raja, timang ­timangan Raja Emas Bongsu, duduk dengan Raja Kecil Besar, Sultan Inderagiri; dan Raja Sulaiman; dan seorang bernama Tun Rantau, bergelar Bendahara Seri Maharaja, beristerikan Tun Kecik, anak Paduka Tuan, Tun Kuri, anak Maharaja Diraja Tun Isap. Maka Tun Rantau dengan Tun Kecik beranak dua orang; seorang perempuan dan seorang lelaki; yang perempuan bernama Tun Embong, yang lelaki bernama Tun Muhammad; anak gundik seorang perempuan bernama Tun Amah, seorang lelaki Tun Hassan namanya. Seorang anak Bendahara Paduka Raja Tun Mad Ali, Tun Habab namanya, bergelar Tun Pikrama beristerikan Tun Rubiah, anak Seri Perdana Menteri Tun Mansur, beranakkan Tun Mat Ali, timang-timangnya Tun Sulong. 

Akan Tun Rembau, Seri Paduka Tuan yang di Aceh, ber­anak empat orang dengan anak Bendahara Perak, Tun Aceh seorang namanya, bergelar Bendahara Daru'l Salam; Tun Perak seorang namanya, bergelar Raja Indera Bongsu, beristerikan anak Maharaja Tun Jiba, beranak tiga orang yang lelaki bernama Tun Jiba, bergelar Tun Nara Wangsa; seorang lagi perempuan duduk dengan Seri Paduka Megat Mansur, menjadi panglima bandar. Banyak lagi anak Seri Paduka Tuan Tun Rembau, tiadalah kami sebutkan lagi, kalau jemu orang yang  mendengar dia; anak cucu yang didapati oleh Datuk itu lima puluh banyaknya.

Akan Seri Nara Diraja, kakak Bendahara Seri Maharaja jadi penghulu Bendahari juga; beranak lima orang, yang tua sekali lelaki, Tun Ali namanya; seorang lagi perempuan Tun Kudu namanya, diperisteri oleh Sultan Mahmud, disuruh panggil pada segala orang dalam "Datuk Tuan", penyebutan segala anak cucu "Datuk Putih "; yang Tengah lelaki, Tun Hamzah namanya; seorang lagi Tun Mahmud namanya ber­gelar Tun Nara Wangsa, beristerikan anak Tun Isap Berakah, bergelar Bendahara Seri Maharaja, itulah disebut orang Datuk Tua; beranakkan Tun Ahmad, bergelar Paduka Raja, duduk dengan Tun Genggang, beranakkan Tun Seri Lanang, bergelar Paduka Raja, menjadi Bendahara; ialah beranakkan Bendahara Seri Maharaja, dan Bendahara Paduka Raja, dan Bendahara Paduka Maharaja, dan Seri Paduka Tuan. Seorang lagi anak Seri Nara Diraja yang bongsu perempuan, Tun Putih namanya.  

Adapun Tun Abdul, adik Bendahara Seri Maharaja, bergelar Seri Nara Wangsa, itu pun banyakjuga anaknya, beberapa orang lelaki dan perempuan; yang perempuan seorang duduk dengan Orang Kaya Tun Rana, beranakkan Tun Dolah, dan Tun Hidap Panjang, bapa Datuk Jawa, dan Datuk Jawa itu Datuk Singgora, seorang lagi perempuan, Tun Minda nama­nya, diangkatanak oleh Seri Nara Diraja.

SULALATUS SALATIN-77

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu X 

Tun Mutahir Dijadikan Bendahara  Titisan Keturunan Bendahara Seri Maharaja 
Peristiwa Patih Adam Dengan Tun Minda 
Meminang "Puteri Gunung Ledang"  Tepuk Berbalas, Alang Berjawat  Hang Nadim Dititahkan ke Benua Keling

Tun Mutahir Dijadikan Bendahara

ALKISAH tersebutlah perkataan Sultan Menawar Syah yang kerajaan di Kampar itu, telah mangkat; ada anak baginda se­orang lelaki bernama Raja Abdullah, ialah menggantikan kerajaan ayahanda baginda. Maka Raja Abdullah pun mengadap ke Melaka. Maka oleh Sultan Mahmud Syah akan Raja Abdullah itu diambil baginda akan menantu, didudukkan dengan anakanda baginda saudara Raja Ahmad. Maka dinobatkan pula, bergelar Sultan Abdullah Syah; maka Sultan Abdullah pun kembalilah ke Kampar. 

Hatta berapa lamanya, maka Bendahara Putih pun kem­balilah ke rahmat Allah; maka dikerjakan bagindalah seperti istiadat Bendahara mati. Setelah sudah ditanamkan, maka Sultan Mahmud menyuruh kampungkan segala anak buahnya, barang yang patut jadi Bendahara. Pada masa itu ada sembilan orang yang patut menjadi Bendahara;

pertama Paduka Tuan,
kedua Tun Zainal Abidin,
ketiga Tun Telanai,
keempat Seri Nara Diraja,
kelima Seri Maharaja,
keenam Seri Wak Raja,
ke­tujuh Tun Abu Syahid,
kelapan Tun Abdul, dan
kesembilan Tun Bijaya Maha Menteri.

Maka berdirilah berbanjar di hadap­an istana Sultan Mahmud. Maka titah baginda, "Siapa di antara Orang Kaya-kaya ini yang akan jadi Bendahara?" Maka sembah Paduka Tuan, "Patik yang sembilan orang ini semuanya patut jadi Bendahara; barang siapa yang dikehendaki duli Yang Dipertuan, itulah jadikan Bendahara. " Adapun bonda Sultan Mahmud,saudara Tun Mutahir itu, ada menengok-nengok dari balik pintu. Maka kata bonda baginda itu, "Tuan, Pak Mutahirlah kata, jadi Bendahara," kerana sangat kasih baginda akan saudaranya itu. Maka titah Sultan Mahmud, "Pak Mutahirlah jadi Bendahara."

Maka se­kalian orang pun sukalah, dan segala saudaranya pun kabullah akan Seri Maharaja jadi Bendahara. Maka datanglah persalin­an seperti mana adat Bendahara; dan dianugerahi karas bandan dengan selengkap alatnya. Adapun akan adat dahulukala, apabila orang jadi Bendahara, atau jadi Penghulu Bendahari, atau jadi Temenggung, atau jadi Menteri, dianugerahi baju sakhlat dan karas bandan dengan selengkap alatnya, tetapi Penghulu Bendahari, dan Temenggung, dan Menteri tiada berkobak, hanya Bendahara berkobak dan buli-buli dawat; jika jadi Temenggung dianugerahi tombak bertetampan.  

Setelah Seri Maharaja jadi Bendahara, bergelar Bendahara Seri Maharaja, maka negeri Melaka pun makin makmurlah, lagi dengan ramainya, kerana Bendahara Seri Maharaja terlalu saksama, serta adil dengan murahnya; dan terlalu baik budi pekertinya pada membaiki orang, dan terlalu sangat pada memeliharakan segala dagang. Maka akan adat kapal dari atas angin apabila akan belayar ke Melaka, serta ia membongkar sauh, maka selawatlah malim, disahut nakhoda dengan segala kiwi, "Selamat Bendahara Melaka! Pisang jarum, air Bukit China; Bendahara Seri Maharaja." Maka sahut segala khalasi, "Orang berbayu tok, berbayur."

Setelah itu belayarlah ia ke Melaka. Adapun akan Bendahara Seri Maharaja, besar daripada Bendahara yang lain, jikalau ia duduk di balai dihadap orang di atas tikar pacar, di bawah tikar pacar itu di bentangi permaidani; jikalau raja-raja datang tiada dituruninya, sehingga diunjukkannya tangannya, katanya, "Naik tuan, naik tuan," melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan maka dituruni oleh Bendahara Seri Maharaja. Jikalau raja Pahang, Bendahara Seri Maharaja berdiri; maka raja Pahang naik duduk pada tempat Bendahara Seri Maharaja itu, dan Bendahara Seri Maharaja duduk hampir dekat.

Adapun akan Bendahara Seri Maharaja banyak anaknya; yang tua sekali lelaki, Tun Hassan namanya; terlalu baik rupa­nya, dan perdana lakunya; ialah menjadi Temenggung akan ganti ayahnya; akan istiadat Temenggung, mengatur orang makan di balairung. Adapun akan Tun Hassan Temenggung, apabila akan mengatur orang makan, maka ia memakai se­berhana pakaian; berkain memancung, bersebai, berdestar berhalaman, bertajuk dan berkancing; maka ia berjalan di naga-naga mengatur orang makan itu, menunjuk-nunjuk dengan kipas, lakunya seperti pendekar yang tahu menari. Dan Tun Hassan Temenggung yang pertama melabuhkan baju Melayu, dan membesarkan pangkal tangan baju, dan meman­jangkan tangan baju; akan dahulu baju Melayu kecil juga. Maka dipantunkan orang: Murah dikata derji, Empat hasta sehelai baju; Muda berusul lela Manja, Bagai mutia dalam teraju. 

Tetapi akan Bendahara Seri Maharaja pun terlalu baik rupanya, lagi sangatlah hiasan; pada sehari enam tujuh kali bersalin pakaian, baju yang hadir juga seratus banyaknya, pelbagai rupa dan warnanya; destar yang sudah terikat pada kelebut dua tiga puluh semuanya, sudah dipakai belaka; cermin besar setinggi berdiri satu. Apabila Bendahara Seri Maharaja sudah berkain, berbaju, berkeris, dan bersebai, lalu naik duduk di buaian. Maka Bendahara Seri Maharaja bertanya kepada isterinya, katanya, "Tuan, tuan, destar mana yang patut dengan kain baju beta ini?" Maka kata Bendahara perempuan, "Destar anu itulah yang patut" Maka barang yang dikata oleh Bendahara perempuan itulah yang dipakai oleh Bendahara Seri Maharaja, Demikianlah hal Bendahara Seri Maharaja pada zaman itu, seorang pun tiada taranya.

Sekali persetua, Bendahara Seri Maharaja duduk dihadap orang banyak; makakata Bendahara Seri Maharaja pada segala orang yang mengadap dia itu, "Mana baik hamba, mana baik si Hassan?" Maka sembah segala orang itu, "Baik juga Datuk daripada anakanda." Maka kata Bendahara Seri Maharaja, "Salah kata tuan hamba itu, kerana hamba pun ada bercermin; pada mata Hamba, baik juga si Hassan, kerana ia orang muda; tetapi termanis hamba sedikit." Maka sahut segala orang yang banyak, "Sungguhlah gerangan seperti sabda Datuk itu."

SULALATUS SALATIN-76

Manjong dan Kelantan Diserang

Hatta berapa lamanya maka Sultan Mahmud menitahkan Paduka Tuan menyerang Manjong, kerana Manjong itu dahulu­kala negeri besar, tiada ia muafakat dengan Beruas. Maka Paduka Tuan pun pergilah, dengan sepuluh orang hulubalang sertanya. Setelah datang ke Manjong, maka berperanglah orang Melaka dengan orang Manjong. Dengan takdir Allah Taala, Manjong pun alah dengan mudahnya. Maka Paduka Tuan pun lalu ke Beruas; raja Beruas pun mengalu-alukan Paduka Tuan. Setelah bertemu, disambut dengan sempuma kemuliaan dan kebesaran, dibawanyalah masuk ke negeri. 

Maka oleh Paduka Tuan, cucunya yang bernama Tun Isap Berakah itu, didudukkannya dengan saudara raja Beruas, yang bernama Puteri Sita itu. Maka Tun Isap Berakah ber­anakkan Tun Biajid namanya, bergelar Bendahara Seri Maha­raja, disebut orang Datuk Bendahara Johor. Maka ia beristeri­kan Tun Munah, anak Tun Bintan dengan Orang Kaya Tun Hassan Rupat, yang bergelar Seri Petam. Maka Bendahara Johor beranakkan Tun Hidap, maka Tun Hidap diperisteri oleh Tun Isap Misai, anak Bendahara Tun Nara Wangsa. Tun Isap Misai bergelar Bendahara Seri Maharaja, ialah yang di­sebut orang Datuk Bendahara yang tua.

Dialah yang menga­rang Anak Panah Sedasa. Adapun dipanggil orang Tun Isap Misai itu, sebab datuk itu bermisai panjang, tiada lepas ta­ngannya bermain-main misainya, Maka datuk itulah beranak­kan Tun Jehat, disebut orang Datuk yang ke Perak; seorang lagi Tun Kecik namanya, diperisteri oleh Raja Mahmud beranakkan Raja Sulung. Maka Raja Sulung beranakkan Raja Bagus; Raja Bagus beranakkan Raja Gembuk, dan Raja Mah, dan Raja Serii. Maka Raja Sulung tertawan ke Aceh; maka dirajakan oleh Sultan Mughal ke Perak, bergelar Sultan Muzaffar Syah, beristerikan Puteri Perak,beranakkan Sultan Mansur Syah, raja Perak; anak cucunyalah yang ada sekarang ini. Dan Raja Muda beranakkan dua orang perempuan. Raja Putih seorang namanya, Raja Mah seorang namanya, 

Setelah itu maka Paduka Tuan pun kembalilah ke Melaka, dan Raja Beruas pun datang bersama-sama. Setelah sampai ke Melaka, maka terlalulah sukacita Sultan Mahmud Syah oleh mendengar Manjong alah itu. Maka baginda pun meng­anugerahi persalinan akan Paduka Tuan itu. Maka raja Beruas pun dipersalin baginda dan dinobatkan sekali, digelar Tun Aria Bija Diraja. Maka Manjong pun diserahkan kepadanya, maka Tun Aria Bija Diraja pun bermohonlah kepada Sultan Mahmud kembali ke Beruas. Maka ia duduk di Manjong, dan Tun Aria Bija Diraja pun nobatlah di Manjong; segala hulubalangnya semuanya mengadap nobat. Setelah sudah nobat semua orang menyembah padanya, maka Tun Aria Bija Diraja berpaling menyembah mengadap ke Melaka, katanya, "Daulat Sultan Mahmud Syah."

Kalakian maka Sultan Mahmud pun menitahkan Seri Maharaja menyerang Kelantan. Pada zaman itu, negeri Kelan­tan itu terlalu besar; besar daripada Petani. Sultan Menawar Syah nama rajanya, anak saudara pada Sultan Iskandar Syah, tiada baginda mau menyembah ke Melaka; asalnya daripada anak cucu Raja Culan .. Maka Seri Maharaja pun pergilah dengan beberapa puluh hulubalang; setelah datang ke Kelantan, maka orang Melaka pun naiklah ke darat. Maka dikeluari oleh orang Kelantan, lalu berperang, beramuk-amukan, terlalu sabur, rupa kilat cahaya Senjata seperti kilat dilangit, sabung-menyabung, gemuruh bunyi bahana tempik hulubalang, dan gemerencing bunyi Senjata, seperti akan sampai ke langit; daripada kedua pihak rakyat itu pun banyaklah luka dan matinya; darah pun mengalir di bumi.

Maka dengan tolong Rab­bu'l 'alamin, patahlah perang orang Kelantan, maka kota Kelantan pun alah; maka segala orang Melaka pun masuklah ke dalam kota merampas; terlalu banyak beroleh rampasan. Maka anakanda raja Kelantan tiga orang perempuan dapat; yang lelaki seorang lepas, Raja Gembuk namanya. Maka anak  raja Kelantan yang perempuan itu, ketiganya tertawan oleh orang Melaka, seorang bernama Onang Kinang, seorang ber­nama Cau Pa, seorang bernama Cau Pauk. Maka ketiganya dibawa oleh Seri Maharaja kembali ke Melaka.

Setelah sampai ke Melaka, maka Seri Maharaja pun masuk mengadap Sultan Mahmud. Maka puteri ketiga itu pun di­persembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud; maka ter­lalulah sukacita baginda oleh Kelantan alah itu, dan baginda memberi anugerah persalin akan Seri Maharaja berserta segala hulubalang yang pergi itu. Maka puteri Kelantan ketiganya ditaruh dalam istana. Puteri Onang Kinang itu diperisteri baginda, beranak tiga orang; yang tua perempuan bernama Raja Mah, yang Tengah lelaki bernama Raja Muzaffar, yang bongsu perempuan bernama Raja Dewi.

Syahadan pada suatu ceritera ada konon Bendahara Putih berkata, "Dari kakak Hamba,Bendahara Paduka Raja, besar Hamba; kerana Bendahara Paduka Raja sekali dititahkan mengeluari Siam, sekali dititahkan menyerang Pahang; akan Hamba jadi Bendahara, bergerak sejari pun tiada. Seorang anak saudara Hamba dititahkan menyerang Manjong, alah Manjong; seorang anak saudara Hamba dititahkan menyerang Kelantan, alah Kelantan." Maka sahut segala orang yang me­ngadap itu, "Sungguh seperti sabda datuk itu."

Adapun akan Bendahara Putih itu, jika dian panjang sejengkal lagi, tiada dipakai, katanya. "Puntung dianlah itu," dian lain pula dipasangnya. Jika tikar pesuk barang dua tiga liang, tiada di­pakainya, 'buruk', katanya; tikar yang lain pula dipakainya. Wa’llahu a’lamu bi’l-sawab, wa ilaihi’l-marji’u wa ‘l-ma’ab.

SULALATUS SALATIN -75

Telatah Orang-orang Yang Dikasihi Raja

Adapun apabila Sultan Mahmud berangkat berperahu, datang had pangkalan Seri Wak Raja, maka baginda menyuruh me­manggil Seri Wak Raja; berpenanak-penanak baginda menanti di pangkalan, belum juga Seri Wak Raja datang; kerana perangai Seri Wak Raja, apabila datang Hamba raja memanggil dia, maka ia naik ke rumah berbaring-baring, kadang-kadang lalu tidur; serta dibangunkan oleh Hamba raja itu, maka Seri Wak Raja bangun, lalu buang air dan mandi.

Maka dibangat­kan pula oleh Hamba raja itu, barulah ia berkain; dua tiga belas kali dirombaknya, belum baik, dibaikinya. Sudah itu maka berbaju dan berdestar, itu pun demikian juga; dua tiga belas kali diikat, dirombak, belum baik diperbaikinya; ber­sebai pun demikian juga. Maka dibangatkan oleh Hamba raja, maka Seri Wak Raja pun turun hingga pintu, berbalik pula, berkata pada isterinya, "Tegur oleh tuan Hamba barang yang cedera pakaian Hamba ini." Jika belum baik, ditegur oleh isterinya, dirombaknya pula, diperbaikinya.

Maka datang Hamba raja membangatkan, maka Seri Wak Raja turun hingga halaman, naik pula ke rumah, duduk di buaian, berbuai-buai. Maka dibangatkan oleh Hamba raja, baharulah turun, lalu ber- jalan mengadap raja. . Adapun apabila Sultan Mahmud hendakkan Seri Wak Raja bangat datang, maka Tun Isap Berakah dititahkan baginda memanggil Seri Wak Raja. Telah Tun Isap datang pada Seri Wak Raja, maka kata Tun Isap Berakah, "Orang Kaya, titah dipanggil." Maka kata Seri Wak Raja, "Baiklah," lalu .ia naik ke rumah.

Maka Tun Isap Berakah tahu akan adat Seri Wak Raja itu. Maka Tun Isap berkata, "Minta tikar segulung. " Di­beri orang; lalu ia baring-baring. Maka Tun Isap berseru minta nasi, maka segera diberi orang nasi, disuruhkan Seri Wak Raja. Setelah sudah ia makan, maka katanya, "Beta haus, buatkan beta barang-barang yang lemak manis." Maka kata Seri Wak Raja, "Lamun Tun Isap juga datang dititahkan Yang Dipertuan, banyaklah kehendak hatinya; marilah kain baju beta, hendak pergi mengadap." Maka Seri Wak Raja pun memakai, lalu segera pergi mengadap Sultan Mahmud.

Demikian peri Seri Wak Raja, barang kelakuannya baik juga pada Sultan Mahmud Syah, daripada sangat kasih baginda akan dia. Maka Seri Wak Raja pun hendak beristerikan anak Kadi Menawar, cucu Maulana Yusuf. Maka berjaga-jagalah akan bekerja. Setelah datang pada ketika yang baik, maka Seri Wak Raja pun beraraklah akan kahwin, di atas gajah kenaikan Sultan Mahmud Syah yang bernama Balidsi itu. Tun Abdul Karim, anak Kadi Menawar, mengepalakan gajah;

Tun Zainal Abidin bertimbal rengka; Seri Udani di buntut gajah. Adapun Kadi Menawar berhadir di kampungnya dengan mercun dan periuk api; pintu pagamya ditutupkannya. Maka kata Kadi Menawar, "Jikalau dapat Seri Wak Raja masuk ke kampung Hamba ini, maka Hamba dudukkan dengan anak Hamba,jikalau tiada dapat masuk tiadalah Hamba kahwinkan; biar hilang belanja Hamba. " 

Setelah datang gajah Seri Wak Raja keluar pintu Kadi Menawar, dipasangnyalah mercun dan periuk api, serta tem­pik sorak bergemuruh bunyinya, bercampur dengan segala bunyi-bunyian terlalu azamat bunyinya. Maka Balidsi pun terkejut, lalu lari; beberapa pun ditahani oleh Tun Abdul Karim, tiada juga bertahan. Setelah dilihat oleh Seri Wak Raja kelakuan gajah itu, maka katanya pada Tun Abdul Karim, "Abang, abang, baiklah undur ke Tengah, biar beta ke kepala pula." Maka Tun Abdul Karim pun ke Tengahlah. Maka Seri Wak Raja pula tampil ke kepala gajah; maka dipalingnya Balidsi, lalu dilanggamya pintu pagar Kadi Menawar; beberapa pun dipasang orang mercun dan periuk api, dan tempik sorak seperti tagar, tiada dihisabkannya; dirempuhnya juga. Maka pintu pagar pun terbuka, lalu masuk ke dalam. Sekalian orang pun hairan melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi berani. Maka gajah pun terkepillah di balai Kadi Menawar; Seri Wak Raja pun melompat ke balai, maka dikahwinkan oleh Kadi Menawar dengan anaknya di hadapan Sultan Mahmud Syah. Telah sudah kahwin, sekalian orang pun berangkatlah kembali ke istana baginda 

Adapun akan Kadi Menawar itu terlalu tahu menetakkan beladau, ia belajar kepada raja Maluku yang datang ke Melaka dahulu. Apabila Kadi Menawar duduk dihadap segala murid­nya, tempat ia duduk itu berkisi-kisi, maka kata Kadi Me­nawar pada segala muridnya, "Berapa batang kehendak tuan Hamba diputuskan kisi-kisi itu, Hamba tetak dengan beladau. Maka sembah segala muridnya, dua batang; maka ditetak oleh Kadi dengan beladaunya dua batang, putus. Jika dikata orang itu tiga batang, tiga batang putus. Berapa dikehendaki orang demikian juga putusnya; demikianlah peri tahunya Kadi Me­nawar menetakkan beladau, Sentiasa beladau itu ada diletak- kan di sisinya Adapun di luar kisi-kisi itu digantungnya timba dua tiga biji.

Apabila Kadi Menawar kumur-kumur, dipancar­kannya dari dalam kisi-kisi itu kepada timba itu betul, tiada bersememeran kiri kanan kisi-kisi itu. Berapa lamanya Seri Wak Raja duduk dengan anak Kadi Menawar, beranak seorang lelaki, bernama Tun Umar, bergelar Seri Petam, disebut orang Datuk Rambat, Akan Datuk Ram­bat banyak beranak, yang tua sekali lelaki bernama Tun Daud, disebut orang Datuk Dibaruh; seorang lagi perempuan, duduk dengan Tun Isap Misai, beranakkan Tun Ahmad, bergelar Paduka Raja, menjadi Temenggung.

Maka Paduka Raja Tun Ahmad beristerikan Tun Ganggang, beranakkan Tun Seri Lanang, bergelar Bendahara Paduka Raja; itulah disebut orang Datuk Bendahara Paduka Raja yang ke Aceh. Seorang lagi anak Seri Petam bernama Tun Ali Sandang, ayah Datuk Muar yang perempuan; dan seorang lagi Tun Bintan namanya, ialah ayah Tun Mai; seorang lagi Tun Hamzah namanya, ayah Tun Menduru; seorang lagi Tun Tugak namanya, ayah Tun Umar, yang mati di Petani. Banyak lagi lain daripada itu, tiadalah kami sebu tkan semuanya, kalau jemu orang mendengar dia. 

Adapun akan Seri Wak Raja itu, terlalu tahu pada gajah dan kuda, ada seekor kuda putih dipeliharanya, terlalu sayang Seri Wak Raja; seruang selasamya dilapangkannya akan tempat kuda itu. Apabila orang hendak meminjarn kuda itu, hendak dibawa bermain terang bulan, maka dipinjamkan oleh Seri Wak Raja. Maka dibawanyalah berjalan dua tiga belit, lalu dibawa oleh kuda itu kembali juga, melainkan Tun lsap Berakah juga yang dapat meminjam dia.

Apabila Tun lsap Berakah meminjam dia, maka dibawanyalah bermain, berjalan sebelit dua belit; maka dibawa kembali oleh kuda itu ke tambatannya. Maka kata Seri Wak Raja, "Mengapa maka dibawa kembali?" Maka kata Tun lsap Berakah, "Perut beta lapar, hendak minta nasi." Maka diberi oleh Seri Wak Raja nasi. Setelah sudah ia makan, maka kata Tun lsap Berakah. "Beta bawa pula kuda ini bermain."

Maka kata Seri Wak Raja, "Bawalah." Maka kuda itu dibawa pula oleh Tun lsap Berakah; dua tiga belit berjalan dibawa pula oleh kuda itu kembali pulang ke rumah Seri Wak Raja. Maka kata Tun lsap Berakah pada budak-budak Seri Wak Raja, "Katakan kepada Orang Kaya, aku haus, hendak minta barang-barang apa." Maka diberi oleh Seri Wak Raja. Dua tiga kali pun dibawa kuda itu balik, demikian juga, ada-ada sahaja yang dipintanya. Maka kata Seri Wak Raja, "Lamun Tun lsap Berakah juga datang, semaja banyakkah kehendak hatinya. Katakan padanya, bawalah kuda itu sekehendak hatinya bermain-main semalaman ini." Maka dibawalah oleh Tun Isap Berakah kuda itu bermain semalam-malaman itu. 

Pada suatu hari datang seorang Patan, terlalu pandai naik kuda, maka disuruh oleh Sultan Mahmud bawa pada Seri Wak Raja. Setelah datang maka kata Seri Wak Raja pada Patan itu, "Tahukah Khoja naik kuda?" Maka sahut Patan itu, "Tahu juga sahaya tunku." Maka kata Seri Wak Raja, "Naiklah kuda Hamba ini." Maka kuda itu disuruh bubuh kekang dan pelana oleh Seri Wak Raja. Maka Patan itu pun naiklah ke atas kuda itu, lalu digertaknya. Maka kata Seri Wak Raja, "Khoja, cemeti kuda itu." Maka oleh Patan itu dicemetinya; maka oleh kuda itu dirempuhkannya ke bawah rumah, lalu Patan itu menyampakkan diri ke tanah, jatuh tunggang-langgang. Maka kata Seri Wak Raja,

"Hei, hei, oleh apa-apa?" Maka Seri Wak Raja menyeru anaknya, Tun Umar, katanya, "Umar, Umar, naik kuda itu." Maka Tun Umar pun naiklah ke atas kuda itu. Maka kata Seri Wak Raja, "Cemeti awang, kuda itu." Maka oleh Tun Umar dicemetinya; kuda itu pun menarilah; maka  terlalu hairan Patan itu melihat kepandaian Seri Wak Raja pada kuda. 

Sebermula akan Tun Umar sangat dikasihi Sultan Mahmud; ianya anak Seri Bija Diraja Datuk Bongkok; terlalu berani, kerana ia diakui oleh gurunya tiada mati oleh Senjata seterunya; sebab itulah kelakuan Tun Umar itu gila-gila bahasa, tiada apa bena akan lawannya. lalah beranakkan nenek Tun Aceh, bapa Seri Akar Raja Tun Kassim, nenek Paduka Seri Dewa Tun Timar. Adapun Hang Isa Pantas, barang lakunya terlalu pantas; ada suatu titian di Sungai Melaka itu timbul tergoleng-goleng; jika diirik orang Tenggelam batang itu, ampuh had betis orang. Jika Hang Isa Pantas dari sana, diiriknya batang itu dari kanan bergoleng ke kiri, diiriknya pula dari kiri bergoleng ke kanan; dengan demikian sampailah ia ke seberang; kura-kura kakinya pun tiada basah.

Sekali persetua musim orang bermain layang-layang, maka segala orang muda-muda dan anak tuan-tuan semuanya ber­main layang-layang berbagai rupa layang-layangnya. Maka Raja Ahmad, anak Sultan Mahmud Syah pun bermain layang­-layang terlalu besar, seperti kajang sebidang besarnya; dan talinya tali kail Teriggiri yang besar. Apabila banyak layang­ layang orang sudah naik, maka dinaikkan bagindalah layang-­layang itu. Setelah dilihat orang layang-layang Raja Ahmad itu naik, maka segala orang banyak habis menurunkan layang­ layangnya, kerana barang layang-layang yang tergesel oleh layang-layang Raja Ahmad itu, putus.

Maka Hang Isa Pantas pun membuat layang-layang kecil juga, talinya rami kembar tiga; maka disamaknya dengan samak kaca. Apabila Raja Ahmad menaikkan layang-layang, semua orang habis menu­runkan layang-layangnya. Layang-layang Raja Ahmad pun berdekat dengan layang-layang Hang Isa Pantas, lalu bergesel. Maka tali layang-layang Raja Ahmad pun putus, jatuh ke Tanjung Jati.

Adapun akan Hang Hussain Cengang hendak kahwin de­ngan anak Hang Usuh. Setelah sudah nikah, maka nasi hadapan pun dikeluarkan orang. Maka segala orang tua-tua mengadap bersuap-suapan itu. Setelah tiga suap seorang bersuap-suapan itu, maka nasi itu pun hendak diangkat orang, maka dipegang oleh Hang Hussain Cengang, katanya, "Jangan diangkat dahulu, anak tuan hendak sudah, sudahlah; Hamba lagi hendak makan, kerana belanja Hamba banyak sudah habis." Maka dimakan­nya seorang, seraya berdiri lutut, Setelah habis nasi itu, maka segala perempuan yang memandang kelakuannya itu, semua­nya riuh tertawa gelak-gelak. Setelah sudah ia makan, maka Hang Hussain Cengang pun masuklah ke pelaminan. 

Arakian pada sekali hari raya, Seri Bija Diraja tiada mudik dari Singapura; sudah hari raya maka ia mudik mengadap ke Melaka, Maka Sultan Mahmud pun murka akan Seri Bija Diraja. Titah baginda, "Apa sebabnya maka Seri Bija Diraja lambat datang, tiadakah Seri Bija Diraja tahu akan adat?" Maka sembah Seri Bija Diraja, "Maka patik lambat mudik, patik sangka bulan belum timbul petang itu; maka alpalah patik, melainkan ampun duli Yang Dipertuan juga lagi." Maka titah Sultan Mahmud, "Tahulah kita akan kehendak Seri Bija Diraja, tiada suka bertuankan kita, hendak bertuankan abang di Kampar."

Maka disuruh baginda bunuh. Maka kata Seri Bija Diraja pada orang yang hendak membunuh itu, "Apakah dosa hamba ke bawah duli Yang Dipertuan kerana salah hamba yang sedikit inikah maka hamba hendak di­buangkan?" Maka segala kata-kata Seri Bija Diraja itu diper­sembahkan orang kepada Sultan Mahmud Syah, Maka titah baginda, "Jikalau Seri Bija Diraja tiada tahu, tunjukkan surat ini kepadanya." Adapun dalam surat itu, empat lima perkara dosa Seri Bija Diraja di dalamnya. Setelah Seri Bija Diraja memandang surat itu, maka Seri Bija Diraja pun diamlah, lalu ia pun dibunuh oranglah.

Maka Sang Setia Bintan, anak Tun Bija Diraja, cucu Seri Bija Diraja Datuk Bongkok itulah pula memegang Singapura. Arakian Sultan Mahmud hendak pergi mengaji Maklumat pada Maulana Yusuf; akan tuan itu telah junun, jika layang-­layang orang lalu di atas bumbung rumahnya, disuruhnya buangi ali-ali.

Setelah dapat, maka disuruhnya koyak layang-layang itu, dipesuk-pesukkan; katanya, "Biadab, lalu di atas rumahku," demikianlah kelakuan tuan itu, Maka Sultan Mahmud pun datang bergajah, banyak orang mengiringkan baginda pergi ke rumah Maulana Yusuf itu. Setelah datang ke pintu pagarnya, kata orang kepada penunggu pintunya, "Beritahu Maulana Yusuf, Yang Dipertuan datang." Maka oleh penunggu pintu, diberinya tahu Maulana Yusuf; maka kata Maulana Yusuf, "Apa kerja Sultan datang ke rumah fakir? Tutup pintu!"

Maka Sultan Mahmud pun kembalilah ke istana baginda. Setelah hari malam, maka segala Hamba disuruh baginda pulang; setelah sunyi, maka Sultan Mahmud pun pergi dua berbudak, kitab Maklumat itu baginda Sendiri membawa dia. Setelah datang keluar pintu pagar Maulana Yusuf, maka titah Sultan Mahmud pada penunggu pintu, "Beritahu Maulana, bahawa fakir Mahmud datang." Maka kata Maulana Yusuf, ''Jikalau fakir Mahmud datang, bukai pintu; kerana fakir patutlah datang ke rumah sesama fakir." Maka Sultan Mahmud dibawa naik, duduk ke rumahnya. Maka Sultan Mahmud pun mengaji Maklumat pada Maulana Yusuf.

SULALATUS SALATIN-74

Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada

Sekali persetua Sultan Mahmud Syah bermain dengan isteri Tun Biajid, anak Laksamana Hang Tuah; pada tatkala itu Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Merba, kerana Merba pegangan­nya. Maka pada suatu Malam Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid; setelah dinihari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari rumah isterinya.

Maka Tun Biajid pun tahu akan Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuhnya pada masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan baginda; daripada ia hamba Melayu, tiada ia mahu mengubahkan setianya, sekadar lembingnya ditimang-timangnya, katanya, "Hei Sultan Mahmud, demikiankah pekerjaan tuan hamba akan hamba? Sayang tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbangkan di dada itu, ubah nama si Biajid anak Laksamana Hang Tuah."*

Maka tatkala segala hamba raja yang mengiringkan baginda itu hendak gusar, maka titah Sultan Mahmud Syah, "Jangan kamu semua marah, kerana katanya itu benar, kita sedia salah kepadanya; pada hukumnya patut kita dibunuhnya, daripada ia hamba Melayu, tiada ia mau derhaka, maka demikian lakunya. " Maka baginda pun kembalilah ke istana. Maka oleh Tun Biajid isterinya itu ditalaknya, dan ia pun tiadalah mahu mengadap dan bekerja lagi. Maka oleh Sultan Mahmud Tun Biajid dipanggil baginda, maka Tun Biajid pun datang mengadap maka gundek baginda yang bernama Tun Iram Seridari, dianugerahkan baginda pada Tun Biajid. Maka diambil oleh Tun Biajid akan Tun Iram Seridari itu diperisteri­nya.

Sungguhpun demikian, tiada juga Tun Biajid mau ke majlis; jika dititahkan, dari rumahnya turun ke perahu lalu pergilah ia .

*Naskhah Shellabear hlm, 159, dan naskhah hlm. 211- "Jika tiada lernbing ini kutumbuklcan di dada bukannya Hamba anak laki-laki."

Pada suatu malam, Sultan Mahmud Syah pergi ke rumah seorang perempuan, Tun Dewi namanya Maka didapati baginda Tun Ali Sandang ada di sana; maka Sultan Mahmud pun berbalik, baginda menoleh ke belakang, dilihat baginda Tun Isap, anak Tun Abu Yazid, cucu Tun Abu Sayid, cicit Seri Udana, piut Tun Hamzah, anak Bendahara Seri Amar Diraja, ada mengiring baginda Maka oleh Sultan Mahmud diambil baginda sirih di puan, dianugerahkan pada Tun Isap.

Maka Tun Isap pun fikir pada hatinya, "Apa gerangan ertinya Yang Dipertuan memberi aku sirih dari puan ini? Pada bicaraku entah Yang Dipertuan menyuruh membunuh Tun Ali Sandang gerangan?" Kerana pada zaman dahulukala sirih di puan raja itu terlalu mulia, tiada barang-barang orang di­anugerahkan raja; barang siapa dianugerahi sirih daripada puan itu tanda kurnialah akan orang itu. Peristiwa Pembunuhan Tun Ali Sandang 

Setelah demikian fikir Tun Isap, maka Tun Isap berbalik ke rumah Tun Dewi, lalu dinaikinya Maka ditikamnya Tun Ali kena dadanya terus, lalu mati. Telah Tun Ali Sandang sudah mati, maka Tun Isap pun turun mengadap Sultan Mahmud. Maka orang pun gemparlah, mengatakan Tun Ali Sandang sudah mati, dibunuh oleh Tun Isap. Maka Seri Wak Raja, anak Bendahara Paduka Raja yang bongsu, diberi orang tau, kerana Tun Ali Sandang keluarga pada Seri Wak Raja. Maka Seri Wak Raja pun terlalu marah; disuruhnya adang Tun Isap, hendak dibunuhnya.

Maka oleh Sultan Mahmud akan Tun Isap disuruh baginda berlepas; maka Tun Isap pun ber­lepaslah, lalu ke Pasai. Setelah datang ke Pasai, Tun Isap tiada mau menyembah raja Pasai. Kata Tun Isap, "Akan si Isap tiada ia menyembah raja yang lain melainkan Sultan Mahmud Syah." Lalu pula ia ke Haru, raja Haru pun tiada mau ia me­nyembah. Maka Tun Isap lalu ke Brunei; kepada raja Brunei pun Tun Isap tiada mau menyembah.

Maka Tun Isap beristeri­kan anak Raja Brunei, beranak cuculah ia di sana; itulah maka Datuk Muar banyak keluarganya orang Brunei. Maka kata Tun Isap, "Adapun si Isap tumpah darahnya di Melaka, matinya pun di Melaka." Maka Tun Isap pun kembalilah ke Melaka. Setelah datang, lalu mengadap Sultan Mahmud, maka didapatinya baginda lagi santap; ayapan itu dianugerahkan baginda akan Tun Isap. Setelah sudah Tun Isap makan, maka oleh Sultan Mahmud dipeluk dicium baginda akan Tun Isap.

Maka disuruh ikat dengan destar, disuruh hantarkan pada Seri Wak Raja, kerana pada bicara baginda, "Apabila kuikat Tun Isap ini, kuhantarkan pada Seri Wak Raja, nescaya tiada akan dibunuhnya." Adapun tatkala itu Seri Wak Raja di atas gajah. Maka Tun Isap pun datang dibawa oleh Hamba raja. Maka kata Hamba raja itu pada Seri Wak Raja, "Titah duli Yang Dipertuan kepada Orang Kaya, akanTun Isap ini sedia salahnya, dipinta maaf kepada Orang Kaya." Setelah Seri Wak Raja melihat Tun Isap terikat itu, segera dicabuknya dengan kusa kepala Tun Isap, kena ubun-ubunnya pesuk, lalu mati. 

Maka Hamba raja itu pun kembali mengadap Sultan Mahmud, persembahkan, "Tun Isap telah mati dibunuh Seri Wak Raja, dicabuknya dengan kusa dari atas gajah." Maka Sultan Mahmud pun diam mendengar kata Hamba raja itu, dari kerana sangat kasih baginda akan Seri Wak Raja itu, Ada­pun pada masa itu, empat orang yang dikasihi oleh Sultan Mahmud, pertama-tama Seri Wak Raja, kedua Tun Umar, ketiga Hang Isa Pantas, keempat Hang Hussain Cengang, Maka titah Sultan Mahmud pada keempat orang itu, "Apa ke­hendak tuan Hamba keempat pintalah pada kita; jikalau apa sekalipun tiada kita tahani."

Maka yang pertama berdatang sembah Seri Wak Raja, demikian sembahnya, "Tuanku,jikalau ada kurnia duli Yang Dipertuan, patik hendak mohonkan jadi panglima gajah, kerana Seri Wak Raja itu sangat gemar akan gajah, lagi terlalu tahu. Maka titah Sultan Mahmud, "Kabul- lah kita akan kehendak Seri Wak Raja itu, hanya apatah daya kita, kerana Seri Rama lagi ada; bagaimana kita akan memecat dia, kerana suatu pun tiada apa salahnya pada kita; tetapi ji- kalau Seri Rama sudah mati, nescaya Seri Wak Raja kita jadi- kan panglima gajah. "

Maka Tun Umar pula berdatang sembah, "Tuanku,jikalau ada kurnia duli Yang Dipertuan, patik hendak mohonkan jadi raja di laut." Maka titah Sultan Mahmud, "Baiklah, tetapi Laksamana lagi ada; apa daya kita mengambil daripadanya. Hendak pun ia kita pecat, suatu pun tiada apa salahnya pada kita; tetapi apabila Laksamana tiada, Tun Umarlah kita jadi­kan raja di laut."

Setelah dilihat oleh Hang Isa Pantas dan Hang Hussain Cengang kedua Orang Besar-besar itu tiada lulus sembahnya, maka keduanya fikir seketika. Maka titah Sultan pada Hang Hussain Cengang, "Berdatang sembahlah kamu kedua, apa kehendakmu pohonkan kepada aku." Sembah Hang Isa Pantas, "Tuanku, jikalau ada kurnia duli Yang Di­pertuan, patik hendak pohonkan emas, barang dua tiga kati, dan kain baju, barang dua tiga banian." Maka dengan sesaat itu juga dianugerahi baginda. Maka Hang Hussain Cengang pun berdatang sembah, "Tuanku, jikalau ada kurnia duli Yang Dipertuan, patik hendak mohonkan kerbau dua tiga belas kelamin, dengan barang empat lima puluh orang." Itu pun dengan segera dianugerahkan baginda.

SULALATUS SALATIN-73

Wasiat Bendahara Paduka Raja

Hatta berapa lamanya maka Bendahara Paduka Raja pun sakit. Maka Bendahara menyuruh memanggil segala anak cucunya, yang sehari dua hari perjalanan. Setelah berkampung semua­nya, maka Bendahara Paduka Raja pun berwasiatlah pada segala anak cucunya itu, katanya, '

''Hei segala anak cucuku, jangan kamu " tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini;

yang hidup itu sahaja akan mati juga kesudahannya . Hendaklah kamu semua tuliskan kepada hatimu pada berbuat kebaktian kepada Allah Taala dan Rasul Allah salla 'llahu 'alaihi wa salam; dan jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian;

kerana pada segala hukum, bahawa raja-raja yang adil itu dengan nabi salla 'llahu 'alaihi wa salam;,

umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zillu'llah fil'alam, Apabila berbuat kebaktian ke­pada raja, serasa berbuat kebaktian akan nabi Allah;

apabila berbuat kebaktian kepada nabi Allah, serasa berbuat kebaktian kepada Allah Taala. Firman Allah Taala: ati'ul-laha wa 'ati'ur Rasula wa ulil amri minhum yakni berbuat kebaktianlah kamu akan Allah, dan akan rasul-Nya, dan akan raja, inilah wasiat­ku kepada kamu semua.

Hendaklah jangan kamu sekalian lupai, supaya kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh."

Maka Bendahara memandang pada Seri Maharaja, maka kata Bendahara, "Hei Mutahir, engkau kelak menjadi Orang Besar,daripada aku pun lebih kebesaranmu, tetapi jangan pada bicaramu engkau bapa saudara raja;

jikalau ada terlintas pada bicaramu demikian itu, engkau dibunuh orang."

Maka Bendahara pun memandang pula pada anaknya yang tua sekali, bernama Tun Zainal Abidin, katanya,

"Zainal, Zainal, jika engkau tiada berpekerjaan raja, hendaklah engkau diam di dalam hutan; kerana perutmu panjang sejengkal, oleh taruk kayu dan daun kayu pun padalah akan isinya.

"Maka kata Bendahara kepada Seri Nara Diraja,

"Tahir, Tahir, engkau jangan turut-turutan pada bicara si Mutahir. Jikalau seturutan dengan dia, engkau pun terbawa-bawa."

Maka Bendahara pun berkata pada cucunya, Tun Pauh namanya,

"Pauh, Pauh, engkau jangan diam di negeri, diam engkau di rantau juga, supaya sampah-sarap sekaliannya menjadi emas."

Maka Bendahara berkata pula pada cicitnya, Tun Isap namanya,

"Isap, Isap, engkau jangan mencari pencarianmu di balairung raja."

Demikianlah wasiat Bendahara Paduka Raja pada segala anak cucunya,' tiada sekata pada seorang, pada tiap-tiap orang lain-lain, masing- masing pada patutnya.

Setelah itu maka terdengarlah kepada Sultan Mahmud Syah, Bendahara sakit sangat. Maka baginda pun berangkat­lah mendapatkan Bendahara Paduka Raja. Maka Bendahara pun menyembah pada baginda, maka sembah Bendahara Paduka Raja,

"Ampun tuanku, pada perasaan patik yang dunia ini luputlah daripada genggaman patik, melainkan negeri akhiratlah semata-mata patik hadapi;

segala anak buah patik, petaruh patiklah ke bawah duli tuanku. Hendaklah tuanku jangan dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya;

jikalau tuanku dengar-dengaran akan kata orang yang fitnah, akibat tuanku menyesal kelak. Bahawa yang ke­hendak nafsu itu daripada was-was syaitan 'alaihi 'l-la 'anat. Banyak raja-raja yang besar-besar dibinasakan Allah kerajaan­nya, sebab menurutkan hawa nafsu syaitan."

Setelah itu, maka Bendahara Paduka Raja pun kembalilah ke rahmat Allah; maka oleh Sultan Mahmud Syah dikerjakan seperti istiadat Bendahara mati. Maka Tun Perpatih Putih, saudara Bendahara Paduka Raja, dijadikan Bendahara oleh Sultan Mahmud Syah, disebut orang Bendahara Putih. Adapun akan Bendahara Putih, jika sejengkal lagi panjang dian, tiada dipakainya lagi puntung dian itu, dibuangkannya, 'puntung' katanya; yang lain pula dipasangnya.

Maka Bendahara Putih beranak seorang lelaki yang bernama Orang Kaya Tun Abu Sayid;

maka Orang Kaya Tun Abu Sayid beranak dua orang lelaki, yang tua bernama Tun Abu Isahak, bergelar Seri Amar Bangsa, seorang bernama Tun Abu Bakar, duduk dengan Tun Cina, bergelar Seri Amar Bangsa juga;

maka ia beranak lima orang, dua lelaki, tiga perempuan. Tun Perak seorang namanya, bergelar Paduka Tuan, yang disebut Datuk Paduka Tuan, hulubalang di Bintan;

seorang lagi bernama Tun Remba, berlakikan Tun Abu Bakar, yang bergelar Seri Bija Pikrama, beranakkan Tun Hitam, duduk dengan Raja Abdul, beranak­kan Raja Ahmad;

seorang lagi Tun Hitam namanya, berlaki­kan Raja Sulaiman anak Raja Kudrat, beranak seorang lelaki, duduk dengan Tun Hitam beranakkan Raja Ahmad, seorang lagi Tun Bandan namanya, berlakikan Seri Bija Diraja Tun Hassan, beranakkan Tun Bambang, bergelar Paduka Seri Raja Muda, duduk dengan Tun Hitam;

seorang lagi anak Seri Amar Bangsa, Tun Abu Bakar namanya, bergelar Seri Amar Bangsa juga, disebut orang Datuk Busu, ialah beranakkan Tun Hitam yang berlakikan Tun Dagang;
seorang lagi Tun Kulub namanya;

seorang lagi anak Orang Kaya Tun Abu Sayid, bernama Orang Kaya Tun Muhammad, ialah beranakkan Orang Kaya Tun Undan, dan Orang Kaya Tun Sulit, dan bonda Tun Hamzah, dan bonda Tun Sida.

Adapun Orang Kaya Tun Muhammad, jika daripada pihak anak Melayu ialah alim, tahu akan saraf dan nahu sedikit dan tahu akan ilmu fikah sedikit. Sebermula akan Sultan Mahmud Syah pun bangat besar:, tahulah baginda memerintah kerajaan Sendirinya; terlalu baik sikapnya, tiada berbagai pada zaman itu. Jika keris tempa Melaka yang panjang Tengah tiga jengkal itu dijadikan baginda pendua, tiada kelihatan dari sebelah.

Maka Sultan Mahmud Syah pun beristerikan anak Sultan Muhammad Syah, raja Pahang; beranak tiga orang, yang tua lelaki bernama Raja Ahmad, yang dua lagi itu perempuan. Bermula Seri Rama pun sudah mati; anaknya pula meng­gantikan jadi panglima gajah, bergelar Seri Rama juga, marta­batnya seperti mana bapanya juga. Maka Seri Rama beranak dua orang lelaki, seorang bergelar Seri Nata, dan seorang ber­gelar Tun Aria. Akan Seri Nata beranakkan Tun Biajid Hitam.  Akan Tun. Aria beranakkan Tun Mamad, akan Tun Mamad beranakkan Tun Anjang.

SULALATUS SALATIN-72

Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana

Maka baginda pun dipelihara oleh Bendahara dan Laksamana perlahan-lahan. Maka dengan dipelihara Allah subha nahu wa taala, belum lagi habis rupanya suratan ajal baginda, maka Sultan Mahmud Syah pun sembuhlah. Baginda memberi per­salin akan Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah; dianugerahi pula usungan satu seorang, barang ke mana ia pergi

*Dari sini Naskhah B hilang dua halaman (hlm. 194 dan 195).

disuruh berusung. Maka oleh Laksamana usungannya itu di­pakainya; barang ke mana ia berjalan berusung; segala anak buahnya di bawah usungannya.

Adapun akan Bendahara Paduka Raja usungannya itu dibungkusnya dengan kekuning­an, digantungnya pada tempat ia duduk di hadapan orang sediakala itu, Maka sembah segala anak buah Bendahara Pa­duka Raja, "Bagaimana Datuk ini, bagai Pak Si Bendul, diberi raja usungan ditaruh, akan Laksamana dianugerahi usungan, berusung ia ke sana ke mari, segala anak buahnya di bawah usungannya, alangkah baiknya dipandang? Jika Datuk ber­usung pun demikianlah."

Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Akukah Pak Si Bendul, engkaukah Pak Si Bendul? Akan Laksamana ia berusung itu dipandang oleh segala dagang, maka ditanyanya, "Siapa berusung itu? Maka disahut orang 'Laksamana', maka katanya, 'orang besarkah Laksamana itu?' Maka sahut orang itu, 'Orang Besar'. Maka kata segala dagang, 'Adakah Orang Besar lagi daripadanya?' Maka sahut orang, 'ada; Bendahara lebih besar daripadanya'. Jika aku pun kelak berusung, ditanya orang demikian juga, 'tiadakah orang· besar daripada Bendahara ini?', maka pada sangka segala dagang yang tiada tahu, akulah raja; kerana raja lagi budak.

Seperkara lagi, akan Laksamana berusung itu segala anak buahnya di bawah usungannya, mengiringkan dia; jika aku berusung pun, engkau semua anak buahku, mengiringkan aku di bawah usunganku; jikalau Yang Dipertuan kelak berusung, engkau semua juga di bawah usungan Yang Dipertuan, seolah-olah samalah aku dengan raja; manatah kelebihan raja daripada aku?" Maka segala anak buah Bendahara pun diam mendengar kata Bendahara Paduka Raja itu. . 

Adapun adat Bendahara Paduka Raja, apabila beroleh perahu yang baik, atau Senjata yang baik, diberikannya pada Laksamana. Maka kata Laksamana, "Mari sahaya lihat." Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Tiada hamba tunjukkan, kalau tuan hamba ambil." Maka kata Laksamana, "Jikalau tiada Datuk anugerahkan, gilakah sahaya mengambil dia?" Maka oleh Bendahara Paduka Raja ditunjukkan pada Laksamana. Setelah dilihat oleh Laksamana lalu diambilnya, demikianlah sediakala.

Itu pun segala anak buah Bendahara Paduka Raja berkata juga, "Datuk ini bagai Pak Si Bendul, namun ada  Senjata yang baik dan perahu yang baik, habis diberikan pada Laksamana; menjadi sahaya semua satu pun tiada perolehan. Jika dianugerahkan pada sahaya alangkah baiknya?" Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Akukah Pak Si Bendul, engkau­kah Pak Si Bendul? Jikalau ada gajah yang baik atau kuda yang baik, pinta olehmu padaku. Akan pekerjaan demikian di mana engkau semua tahu; kerana Laksamana Hang Tuah itu hulubalang besar, sebab itulah maka segala Senjata yang baik dan perahu yang baik, aku berikan kepadanya. Apabila datang musuh hendak menyerang negeri, siapakah kita adu berperang dengan musuh raja? Bukankah ia hulubalang duli Yang Dipertuan, jadi hulubalang kita?" Maka segala anak buah Bendahara Paduka Raja pun diamlah oleh mendengar kata Bendahara itu.

Ahad, 3 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-70

Sulatus Salatin: Sejarah Melayu IX

Membunuh Tanpa Memberitahu ke Melaka 
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana 
Wasiat Bendahara Paduka Raja Nyaris Lembing Diterbangkan ke Dada
Telatah Orang-orang Yang Dikasihi Raja 
Manjong dan Kelantan Diserang

Membunuh Tanpa Memberitahu ke Melaka

ALKISAH maka tersebutlah perkataan Sultan Ibrahlm, raja Siak. Ada seorang salah pada baginda, maka disuruh baginda bunuh pada Tun Jana Pakibul. Maka kedengaran ke Melaka, raja Siak membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka. Maka Sultan Alau'd-Din menitahkan Laksamana ke Siak. Se­telah sampai, maka oleh Sultan Ibrahlm disuruh jemput surat dari Melaka itu, seperti ad at Sultan Pahang menjemput surat dari Melaka.

Maka gajah dikepilkan di balairung, maka Sultan Ibrahlm berdiri di atas balai, lalu surat pun disambut oranglah; maka Sultan Ibrahlm pun duduk, dan surat pun di­baca orang. Setelah sudah surat dibaca, maka segala orang pun naiklah duduk. Maka Laksamana pun berkata pada Tun Jana Pakibul, Perdana Menteri Siak, "Sungguhkah tuan Hamba membunuh Tun anu itu?" maka sahut Tun Jana Pakibul, "Oleh dengan titah, maka hamba berani; kerana ia derhaka ke bawah duli Yang Dipertuan." Maka Laksamana mengadap kepada Tun Jana Pakibul, mengiring kepada Sultan Ibrahim; oleh Laksa­mana ditunjuknya Tun Jana Pakibul dengan tangan kirinya, katanya, "Tiada berbudi tuan hamba, sungguhlah tuan hamba orang hutan, maka tiada tahu akan istiadat dan cara bahasa. Benarkah membunuh orang tiada memberitahu ke Melaka? Hendak maharajalelakah tuan hamba di Siak ini?"

Maka Sultan Ibrahlm dan segala Orang Besar-besar semuanya diam, tiada menyahut kata Laksamana Hang Tuah itu.  Setelah Laksamana sudah berkata itu, lalu ia menyembah pada Sultan Ibrahim. Maka Sultan Ibrahim memberi persalin akan Laksamana Hang Tuah. Maka Laksamana pun bermohonlah pada Sultan Ibrahim akan kembali ke Melaka. Maka Sultan Ibrahim pun persembah surat ke Melaka, demi­kian bunyinya: "Paduka kakanda empunya sembah, datang kepada paduka adinda, melainkan ampun paduka adinda juga diperbanyak akan paduka kakanda." Maka surat pun diarak oranglah ke perahu. Maka Laksamana pun kembalilah ke Melaka. 

Setelah datang ke Melaka, maka surat pun diarak bergajah, payung satu kuning, satu ungu. Telah datang ke pintu luar, maka gajah diderumkan di sana, gendang, payung semuanya tinggal di luar; surat pun dibawa oranglah masuk ke dalam dibaca oleh khatib. Setelah sudah dibaca surat itu, maka Laksamana pun menjunjung duli, lalu duduk pada tempatnya sediakala. Maka Sultan Alau'd-Din pun bertanya pada Laksamana. Maka oleh Laksamana segala hal ehwalnya di Siak itu, semuanya dipersembahkarinya ke bawah duli Sultan Alau'd-Din; baginda pun terlalu sukacita dan memberi persalin akan Laksamana dengan sepertinya.

Demikianlah istiadat dahulukala, jangankan di dalam negeri Melaka itu akan dapat membunuh tiada dengan setahu raja, jika pada negeri lain sekali pun, lamun takluk Melaka, tiada dapat membunuh.

Arakian maka Raja Menawar, anak Sultan Alau'd-Din pun besarlah, maka oleh Sultan Alau'd-Din anakanda baginda itu dirajakan di Kampar, dinobatkan dahulu di Melaka. Segala hulubalang dan para menteri semuanya turun mengadap nobat. Setelah sudah dinobatkan disuruh hantar pada Seri Nara Diraja ke Kampar, bergelar Sultan Menawar Syah; Seri Nara Diraja pun pergilah membawa Sultan Menawar Syah ke Kampar, se­telah sampai maka Sultan Menawar Syah pun dirajakan oleh Seri Nara Diraja di Kampar.

Telah sudah, maka Seri Nara Di­raja pun kembalilah ke Melaka mengadap Sultan Alau'd-Din Riayat Syah, Hatta berapa lamanya, datanglah pada peredaran dunia, maka Sultan Alau'd-Din pun geringlah. Maka baginda me­nyuruh memanggil anakanda baginda, Raja Mamad, dan Bendahara Paduka Raja dan sekalian Orang Besar-besar datang berkampung mengadap baginda. Maka Sultan Alau'd-Din pun minta sandari pada dayang-dayang; maka dipanggil baginda hampir daripada antara orang itu enam orang; pertama Bendahara Paduka Raja, kedua Kadi, ketiga Paduka Tuan, ke­empat Seri Nara Diraja, kelima Temenggung, keenam Laksa­mana Hang Tuah. Maka hampirlah orang keenam itu, tujuh dengan anakanda baginda, Raja Mamad.

Maka titah baginda, "Ketahui oleh segala tuan-tuan sekalian, bahawa umur kita telah pautlah, ajal kita pun hampirlah rasanya. Adapun jikalau sudah kita mati, bahawa anak kita Si Mamadlah rajakan oleh Bendahara dengan segala Orang Kaya-kaya sekalian akan ganti kita; hendaklah sangat-sangat pelihara kamu akan dia, kerana ia kanak-kanak. Seperti mana kasih tuan-tuan semua akan kita, demikianlah kasih tuan hamba sekalian akan dia; jikalau barang suatu khilaf bebalnya, sangat-sangat maaf tuan ­tuan sekalian dan tegur ajari dia; tuan hamba tilik kepada kanak-kanaknya."

Setelah segala mereka itu mendengar titah Sultan Alau'd­-Din demikian itu, maka cucurlah air mata mereka itu, tiada berasa lagi. Maka sekaliannya berdatang sembah dengan tangis­nya, "Ya tuanku, barang dilanjutkan Allah Taala kiranya Yang Dipertuan, kerana patik sekalian belum lagi puas diper­Hamba Yang Dipertuan; tetapi jauhkan Allah, kiranya yang demikian itu, jika layu bunga di genggam Yang Dipertuan, sedia seperti titah itulah patik sekalian kerjakan; kerana patik semua tiada mau menyembah raja-raja lain daripada anak cucu tuanku."

Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SULATIN-37

Hubungan Muhibah Melaka-Sulawesi

Sebermula adalah pada suatu hari, Sultan Mansur Syah fikir hendak mengutus ke Mengkasar, maka memanggil Bendahara Paduka Raja. Setelah Bendahara Paduka Raja datang me­ngadap, maka titah baginda, "Hamba hendak mengutus ke Mengkasar. Bagaimana kepada Bendahara, baiknya atau jahatnya?" Maka sembah Bendahara, "Sebaik-baik pekerjaan tuanku, berbanyak-banyak sahabat daripada seteru." Maka titah baginda, "Karanglah surat Hamba kepada raja Mengkasar." Maka Bendahara pun bermohonlah kepada baginda, lalu kembali mengarang surat Sultan Mansur Syah kepada raja Mengkasar.

Setelah sudah, lalu dipersembahkan Bendahara; maka disuruh baginda baca. Setelah didengar Sultan Mansur Syah bunyi surat itu, terlalulah baginda berkenan. Adalah yang disuruhkan pergi utusan itu, Seri Bija Pikrama dengan Tun Sura Diraja. Maka keduanya pun menjunjung duli; surat pun diarak oranglah dengan gendang serunainya, nafiri, dan payung putih satu dan payung kuning satu. Maka sampailah kejambatan, maka kedua utusan itu pun turunlah ke perahunya menyambut surat itu, dan yang menghantar surat itu pegawai empat orang. Setelah surat sudah turun maka sekalian yang menghantar itu pun kembalilah, maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun belayarlah.

Hatta berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Mengka­sar, pelabuhannya. Maka dipersembahkan oranglah kepada raja Goa, mengatakan utusan dari Melaka datang. Maka raja Goa pun keluarlah dihadap oleh keraeng-keraeng dan hulubalang dengan segala juak-juaknya, penuh dari balai datang ke tanah, orang yang mengadap. Maka surat pun disuruhnya sambut dengan sepertinya, betapa adat menyambut surat raja-raja yang besar-besar itu, demikianlah dibuatnya dengan hormat mulianya; delapan orang hulubalangnya, diarak dengan bunyi­-bunyian, Setelah datang, disambut oleh penghulu bentaranya, dipersembahkannya kepada raja di Goa.

Maka disuruhnya baca, setelah sudah dibaca, maka raja di Goa pun terlalu sukacita mendengar bunyi surat raja Melaka mengatakan daripada jalan muafakat itu. Setelah itu Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun naiklah menyembah raja di Goa, lalu duduk ber­sama-sama dengan hulubalangnya. Maka segala bingkisan pun dibawa oranglah masuk. Maka titah raja di Goa, "Hei Orang Kaya, apa khabar saudaraku di Melaka, tiada ia sakit-sakit? Dan apa kehendak­nya menyuruhkan Orang Kaya kedua ini, apa hendak dicari?" Maka sahut Seri Bija Pikrama, "Khabar baik keraeng. Tidak apa kehendak paduka adinda menyuruh mengadap tuanku, sekadar hendak muafakat juga, keraeng." Maka raja di Goa pun terlalu suka, seraya katanya, "Aku pun demikian lagi Orang Kaya, hendak muafakat dengan saudaraku raja Melaka."

Maka sirih berkelumpang berceper pun datanglah, diberi­kan kepada Seri Pikrama dan Tun Sura Diraja. Maka kedua tempat sirih itu diberikannya kepada budak-budaknya, Se­ketika duduk, maka raja di Goa pun masuk; maka segala yang mengadap itu masing-masing kembalilah, maka Seri Bija Pikrama, dan Tun Sura Diraja pun turunlah ke perahu. Maka raja Mengkasar pun menyuruh menghantar pada ke dua utusan.

Adapun akan Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, beberapa kali diperjamu oleh raja di Goa, Sentiasa ia mengadap dan berkata-kata dengan baginda. Hatta angin musim pun telah bertiuplah; pada suatu hari datanglah Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja mengadap raja di Goa hendak bermohon kembali. Maka sembahnya, "Keraeng, patik hendak bermohon, kerana musim sudah ada."

Maka titah raja di Goa, "Baiklah Orang Kaya; apa yang kegemaran saudaraku raja Melaka, supaya aku carikan."

SULALATUS SALATIN-69

Gema Pembunuhan Telanai Terengganu 

Berapa lama antaranya di jalan, maka sampailah ke Pahang, lalu mudik ke negeri. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Muhammad, "Bahawa Laksamana datang, dititahkan paduka adinda dari Melaka mengadap tuanku." Maka baginda pun keluarlah dihadap segala hulubalang Pahang. Maka di­suruh baginda jemput surat dari Melaka itu. Seri Pikrama Raja, Penghulu Bendahari Pahang, dititahkan baginda menjemput surat itu.

Setelah datang ke perahu Laksamana, maka surat pun disambut orang, dibawa ke darat bersama-sama dengan Laksamana, Maka surat itu pun dibawa naik ke atas gajah, lalu diarak dengan gendang, serunai, nafiri, nagara, di bawah payung putih berapit dua. Maka Laksamana pun berpesan pada seorang orangnya, "Jikalau surat sudah dibaca, hendak­lah engkau bunuh seorang keluarga Seri Akar Raja." Maka kata orang itu, "Baiklah". Maka surat pun sampailah ke dalam. Segala orang yang mengadap Sultan Muhammad itu sekalian­nya turun dari atas balai, melainkan Sultan Pahang juga ting­gal seorangnya. Maka gajah pun dikepilkan di balai, surat pun disambut oleh bentara, lalu dibaca oleh khatib, demikian bunyinya, "Salam doa paduka adinda datang kepada kakanda," maka kata-kata yang lain pula.

Setelah surat sudah dibaca, maka segala orang pun naik­lah duduk, masing-masing pada tempatnya. Maka Laksamana pun menjunjung duli, lalu duduk; sesaat duduk berkata-kata, maka bunyi orang gempar di luar. Maka Sultan Pahang pun bertanya, "Apa gempar itu?" maka sembah orang yang baru masuk itu, "Tuanku, orang Laksamana konon membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja." Maka titah Sultan Muhammad Syah pada Laksamana, "Orang tuan konon membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja; baik tuan periksa," Adalah adat raja Pahang, memanggil Orang Kaya-kaya Melaka "tuan". 

Maka Laksamana pun menyuruh membawa orang itu masuk dengan ikatnya. Setelah datang maka kata Laksamana, "Sungguhkah tuan hamba membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja?" Maka sahut orang itu, "Sungguh tuanku." Maka sembah Laksamana pada Sultan Pahang, "Sungguhlah patik ini membunuh saudara sepupu Seri Akar Raja, tetapi tiada patik beri dipengapa-ngapakan kerana salah Seri Akar Raja pun ada ke bawah duli paduka adinda di Melaka, oleh membunuh Telanai Terengganu, tiada memberitahu ke Melaka." Maka Sultan Muhammad Syah pun tersenyum; titah baginda, "Adapun Telanai Terengganu kita suruh bunuh itu, sebab biadab mulutnya, mengatakan negeri Melaka itu di bawah kelangkangannya. Adapun saudara sepupu Seri Akar Raja yang mati itu, mana bicara Laksamana dengan Seri Akar Raja; kerana ia pun bukan orang lain pada Laksamana."

Maka Laksamana dan Seri Akar Raja pun bermohonlah pergi menanamkan saudara sepupunya itu, Maka Sultan Pahang pun berangkatlah masuk. Maka segala yang mengadap itu masing-masing kembalilah ke rumahnya. Laksamana pun turunlah ke perahunya. Selang beberapa hari Laksamana di Pahang, maka Laksamana pun bermohon kepada Sultan Muhammad Syah, hendak kembali ke Melaka. Maka Sultan Pahang pun memberi surat dan memberi persalin akan Lak­samana. Maka surat pun diarak orang ke perahu Laksamana. Setelah datang ke perahu, maka yang menghantar surat itu pun pulanglah. Maka Laksamana pun hilirlah lalu belayar.

Berapa hari di jalan, maka sampailah ke Melaka. Surat itu pun diarak serta disambut, lalu dibaca. Setelah sudah, Laksamana pun naik menjunjung duli Sultan Alau'd-Din; lalu duduk me­ngadap, persembahkan segala hal-ehwalnya tatkala di Pahang itu. Maka terlalulah sukacita Sultan Alau'd-Din; beberapa puji baginda akan Laksamana, serta dianugerahi baginda persalin seperti pakaian anak raja-raja. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi 'l-marji 'u wa 'l-ma 'ab.

SULALATUS SALATIN-68

Ketiganya Sama Gagah 

Alkisah maka tersebut lah perkataan raja Maluku, negerinya dialahkan oleh Kastilan; maka raja Maluku pun lari ke Melaka. Pada ketika itu Raja Rekan dan Telanai Terengganu pun ada di Melaka mengadap Sultan Alau'd-Din. Maka raja Maluku dipersalin oleh Sultan Alau'd-Din dengan pakaian anak raja ­raja, dan dianugerahi dengan sepertinya. Adapun raja Maluku itu terlalu pandai bersepak raga.

Maka segala anak tuan-tuan yang muda-muda pun bermainlah sepak raga dengan raja Maluku, dan raja Malukulah menjadi ibu. Setelah raga itu datang kepadanya, maka disepaknya raga itu seratus kali, dua ratus kali, maka baharulah diberikannya pada orang lain; maka pada barang siapa hendak diberikannya itu ditunjukkannya, tiada salah lagi. Setelah itu maka ia duduk di atas kerusi ber­hentikan lelahnya, dikipas orang dulu. Maka segala orang muda-muda itu bersepaklah, serta datang raga itu kepada raja Maluku maka disepaknya, berpenanak nasi raga itu di atas, tiada turun lagi, melainkan apabila hendak diberikannya pada orang lain; demikianlah peritahunya raja Maluku itu bersepak raga, dapat dibawanya naik tangga. 

Syahadan akan raja Maluku itu terlalu gagah; jika nyiur duduk umbi, ditetaknya dengan beladau, putus; dan akan Telanai Terengganu pun kuat juga. Jika nyiur duduk umbi, ditikamnya dengan lembing, terus menyebelah. Akan Sultan Alau'd-Din pun perkasa; jika nyiur duduk umbi dipanah baginda terbayang ke sebelah, Maka Sultan Alau'd-Din terlalu kurnia akan raja Maluku dan Telanai Terengganu. Maka ke­tiganya berjanji akan mengambil Maluku dari tangan Kastilan. Pada suatu hari raja Maluku meminjam kuda pada Maulana Yusuf, itulah dibuat orang nyanyian:

Raja Maluku meminjam kuda, Meminjam kuda pada Maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana. 

Setelah berapa lamanya di Melaka, maka raja Maluku dan Telanai Terengganu pun bermohonlah pada Sultan Alau'd-Din, masing-masing kembali ke negerinya. Maka kedengaranlah kepada Sultan Muhammad Syah, raja Pahang, bahawa Telanai Terengganu mengadap ke Melaka, tiada memberitahu baginda. Maka Sultan Muhammad Syah pun terlalu murka, maka ba­ginda menitahkan Seri Akar Raja ke Terengganu membunuh Telanai.

Setelah Seri Akar Raja datang ke Terengganu, maka  disuruhnya panggil Telanai, maka Telanai tiada mau datang, katanya, "Adakah adat hulubalang dipanggil oleh samanya hulubalang?" Maka oleh Seri Akar Raja disuruhnya datangi Telanai, disuruhnya bunuh. Setelah Telanai mati maka Seri Akar Raja pun kembalilah ke Pahang. Maka oleh Sultan Muhammad, Terengganu itu diserahkan baginda pada Seri Akar Raja, turun-temurun ke anak cucu Seri Akar Raja juga memegang dia.

Maka sembah Bendahara Pahang pada Sultan Muhammad, "Salah pekerjaan kita membunuh Telanai ini; tiada dapat tiada marah paduka adinda di Melaka." Maka titah Sultan Muhammad, "Apatah ditakutkan pada raja Melaka; kerana aku dekat patut kerajaan di Melaka itu, kerana aku tua daripada Ahmad, lagipun aku sudah hendak dirajakan oleh paduka marhum di Melaka. Berlengkaplah Bendahara dan Orang Kaya-kaya sekalian, aku hendak mengambil kerajaan Melaka daripada Raja Ahmad." Tatkala itu Sultan Muhammad di atas gajah kenaikan baginda yang bernama Geniang itu; maka titah baginda, "Lihatlah kelak, jikalau tiada aku langgar balairung Melaka dengan gajahku ini, begini kelak..." Maka dicubakan baginda gajah itu, dilanggarkan baginda pada balairung Sendiri; maka titah Sultan Muhammad, "Demikianlah kelak balairung Melaka kulanggar." Maka sekalian Orang Besar-besar Pahang pun diam, tiada berbunyi, melihat kelakuan Sultan Muhammad murka itu. 

Adapun segala anak cucu Telanai Terengganu semuanya lari ke Melaka, maka dipersembahkanlah ke bawah duli Sultan Alau'd-Din, "Bahawa Telanai telah dibunuh Sultan Muhammad, sebab mengadap ke Melaka. Seri Akar Raja yang datang membunuh;" dan peri raja Pahang hendak melanggar balairung Melaka, akan merebut kerajaan baginda itu, semuanya diper­sembahkan. Maka Sultan Alau'd-Din pun terlalu murka; titah baginda, "Raja Pahang hendak menunjukkan makarnya kepada kita. Baiklah kita suruh serang negerinya." Maka baginda menyuruh berlengkap hendak menyerang Pahang.

Maka sembah Bendahara Paduka Raja, "Ampun tuanku, beribu-ribu ampun di atas batu kepala patik, pada bicara patik, hamba tua ini, jangan taajal kita membinasakan Pahang itu; barang suatu hal paduka kakanda, tuankulah yang rugi. Baik patik itu Laksamana kita utuskan ke Pahang." Maka titah Sultan Alau'd-Din, "Baiklah, yang mana kata Bendahara kita turut." Maka ada cucu Telanai Terengganu tiga orang lelaki; disuruh Sultan Alau'd-Din peliharakan baik-baik kanak-kanak itu. Megat Sulaiman seorang namanya; Megat Hamzah seorang namanya; dan lagi seorang Megat Omar namanya, Maka Lak­samana pun berlengkaplah; setelah sudah mustaed, maka surat pun diarak oranglah ke perahu. Setelah itu maka Laksamana pun pergilah.