Malang Membawa Tuah
ALKISAH maka tersebutlah perkataan ratu Majapahit sudah hilang; baginda tiada meninggalkan anak Ielaki, hanya ada anak perempuan seorang, bernama Raden Galoh Awi Kesuma; ialah dirajakan oleh Patih Aria Gajah Mada. Hatta berapa lamanya, ada seorang penyadap pergi bermain ke laut dengan perempuannya. Setelah ia datang ke Pantai Bengawan, maka dilihatnya ada seorang budak hanyut berpegang kepada sekeping papan perahu, terlalu baik rupanya.
Maka budak itu diambilnya, lain dinaikkan ke perahunya. Dilihatnya budak itu tiada khabarkan dirinya, daripada lama di dalam laut, tiada makan dan tiada minum air, kerana "Sebelum ajal belum mati"; seperti kata Ali Karrama 'llahu uiajhahu, "La mauta ilia bi'lajali"; yakni tiada mati melainkan dengan ketikanya. Maka oleh si penyadap dititikkan air kanji ke mulut budak itu; budak itu pun membuka matanya, dilihatnya dirinya di atas perahu. Maka oleh si penyadap budak itu dibawanya kembali ke rumahnya dipelihara dengan sepertinya.
Ada berapa hari lamanya budak itu pun baiklah, maka si penyadap bertanya kepada budak itu, katanya, "Anak siapa engkau ini, siapa namamu, dan apa sebabnya maka engkau hanyut dengan sekeping papan perahu ini?" Maka sahut budak itu, "Hamba ini anak raja Tanjung Pura, anak cucu raja yang turun dari Bukit Si Guntang. Adalah nama Hamba Raden Perlan Langu. Hamba ini tiga bersaudara, dua lelaki dan seorang perempuan; sebab Hamba demikian ini, ayah Hamba pergi bermain-main ke Pulau Permainan, setelah datang ke tengah laut, ribut pun turun dan ombak pun besar. Perahu ayah hamba, raja Tanjung Pura, tiadalah terbela lagi, lalulah rosak; ayah bonda Hamba tiada sempat naik ke sampan, sekaliannya habislah berenang mengusir perahu yang lain, entah betapa gerangan halnya Hamba tiada tahu.
Hamba dapat berpegang kepada sekeping papan, lalulah rupanya hamba dibawa ombak dengan arus ke mari; tujuh hari tujuh malam tiada makan dan tiada minum air, senyampang bertemu dengan bapa hamba ini berbuat kasih akan hamba. Tersangatlah kasih bapaku akan hamba, kiranya bapa hantarkan hamba ke Tanjung Pura, kepada ayah bonda hamba, kalau-kalau ada lagi hayatnya; supaya bapa Hamba diberinya harta, akan pembalas kasih bapa Hamba. "
Setelah didengar oleh si penyadap, maka ia pun hairanlah, seraya katanya, "Benarlah kata tuan hamba itu, tetapi di mana kuasa hamba akan menghantarkan tuan hamba ke Tanjung Pura? Diamlah tuan hamba di sini serta hamba dahulu, barang bila di jemput oleh paduka ayahanda kelak, hamba kembalikan tuan hamba; lagi pula rasa hamba telah kasih dan sayang melihat rupa tuan hamba terlalu elok ini. Biarlah hamba angkat anak, dan hamba pun tidak beranak." Maka kata Raden Perlan Langu, "Baik paman, mana kata paman hamba turut."
Maka oleh si penyadap Raden Perlan Langu itu dinamainya Ki Mas Jaya. Terlalulah kasih si penyadap laki bini akan Ki Mas Jaya, Sentiasa ditimangnya; katanya "Tuanlah kelak menjadi betara Majapahit, duduk dengan Raden Galoh Kesuma." Demikianlah katanya pada tiap-tiap kali ia menimang Ki Mas Jaya itu. Pada suatu hari ia menimang katanya, "Tuanlah kelak menjadi betara Majapahit, duduk dengan Raden Galoh Awi Kesuma; jika tuan sudah menjadi betara Majapahit, paman tuan jadikan Patih Aria Gajah Mada." Maka sahut Ki Mas Jaya, "Baiklah paman, jika manira menjadi betara Majapahit, paman manira jadikan Patih Gajah Mada."
Hatta berapa lamanya, Puteri Awi Kesuma pun besarlah, selama di atas kerajaan di pangku oleh Patih Aria Gajah Mada. Maka terlalulah elok parasnya. Maka banyaklah sangka orang akan Patih Aria Gajah Mada; dikatakan hendak duduk dengan Puteri Awi Kesuma itu, kerana baginda sudah besar, tiada dicarikannya laki. Maka pada suatu hari Patih Aria Gajah Mada fikir akan dirinya memangku kerajaan puteri Majapahit, "Tak dapat tiada dikata orang akan aku dengan anak tuan aku ini, daripada salah tempanya."
Setelah demikian fikirannya, maka pada ketika awal-awal orang akan pergi memayang, Patih Aria Gajah Mada pun memakai cara si pemayang berbaju buruk, membawa rajut bekas ikan berisi nasi, memikul pengayuh turun berjalan. Maka dilihatnya ramai orang di pengkalan menantikan pawang turun hendak menumpang. Maka Patih Aria Gajah Mada pun datang duduk, turut berdayung, tiada seorang pun mengenal dia. Dalam antara yang banyak itu berkatalah seorang, "Manira dengar Raden Galoh Awi Kesuma selama baginda kerajaan ini telah besarlah, terlalu baik parasnya. Siapa gerangan akan suaminya?" Maka sahut temannya, "Pada pendapat manira, siapa lain daripada Patih Aria Gajah Mada? Kerana ia empunya perintah dalam negeri ini, ia umpama raja dalam Majapahit ini. "Maka kata seorang lagi, "Sungguh kata pakanira itu, siapa dapat melarang dia?"
Setelah Patih Gajah Mada mendengar kata-kata orang itu, lalu ia kembali ke rumahnya dengan masyghul. Telah hari siang maka fikir ia, "Baiklah Raden aku tanya, kalau-kalau mudah-mudahan mahu ia berlaki, barang siapa yang dikehendakinya dengan kesukaannya, supaya jangan sia-sia kebaktianku kepada ayahanda baginda." Dengan demikian fikirnya, lalu ia pun masuk mengadap Puteri Galoh Awi Kesuma; maka sembah Patih Aria Gajah Mada, "Tuanku, patik memohon ampun, pada pemandangan patik tuanku telah besarlah; patutlah tuanku bersuami, kerana tiada baik anak raja-raja yang besar tiada bersuami." Maka titah Puteri Awi Kesuma, "Jikalau paman hendak memberi beta bersuami, kampungkanlah sekalian orang dalam negeri ini, biar beta pilih; barang siapa berkenan pada hati beta, orang itulah beta ambil akan suami beta."
Maka sembah Patih Aria Gajah Mada dengan sukacitanya, "Baiklah tuanku,
*akan patik hlmpunkan orang;
jikalau manusia sekerat,
anjing sekerat sekalipun,
jikalau sudah berkenan ke bawah duli tuanku, itulah patik pertuan."
Setelah itu ia pun bermohon, lalu mengerahkan orang membuat *
Mulai dari sini Naskhah A dan Naskhah B tertinggal. Bahagian yang tertinggal itu dilengkapkan dengan salinan diturunkan dari Naskhah C.
panggungan akan tempat Puteri Awi Kesuma duduk. Maka dengan segeranya diperbuat orang, digantungi tabir dan langit-langit.
Syahadan maka Patih Aria Gajah Mada pun keluarlah, lalu ia menyuruh orang memukul canang berkeliling negeri dan pinggiran Majapahit itu, menyuruh berkampung ke Majapahit kerana tuan puteri hendak memilih suami. Setelah sekalian mendengar demikian itu, maka segala raja-raja dan menteri, hulubalang, sida-sida, bentara dengan segala rakyat besar kecil, tua muda, tinggi, rendah, tempang, herot, petot, kiat, capik riuk, buta-tuli, Sengau, bisu sekaliannya pun berhimpunlah ke Majapahit. Kurang-kurang dikerah orang, lebih-lebih ia hendak datang kerana mendengar Tuan Puteri Awi Kesuma hendak memilih suaminya itu. Pada bicaranya, mudah-mudahan kalau dia dipilih oleh tuan puteri itu.
Setelah habis semuanya orang itu berkampung, maka Tuan Puteri Awi Kesuma pun naiklah ke at as peranginan memandang ke jalan. Maka segala orang itu pun disuruh oleh Patih Aria Gajah Mada lalu seorang-seorang. Hatta segala raja-raja dan menteri, sida-sida, bentara, hulubalang sekaliannya lalulah berjalan, seorang-seorang di hadapan peranginan itu, semuanya dengan perhiasan, masing-masing dengan kenaikannya dengan pelbagai kelakuan. Telah habislah segala Orang Besar-besar, maka segala rakyat kecil besar semuanya lalu, seorang pun tiada perkenan Puteri Awi Kesuma.
Setelah habis orang banyak itu, kemudian lalulah Ki Mas Jaya, anak angkat si penyadap itu, berkain segara kuning bertulis madu memancar, bersabuk biaban hijau, berkeris berhulu cula, tiada memakai pontoh, bergelang kemit tubuh, bersunting bunga semadarasah wilis eerupaka, berurap-urapan hingga leher; giginya seperti bunga seri gading, bibimya seperti daun ketirah, terlalu baik parasnya, manis, pantas, pangus, tiada siapa taranya pada zaman itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan