Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-40

Hubungan Berbaik-baik Melaka-Siam

Setelah itu maka titah Sultan Mansur Syah kepada Bendahara Paduka Raja dan segala menteri hulubalang, "Apa bicara tuan Hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini, kita berkelahi dengan dia pun tiada, dan berdamai pun tiada; orang Siam tiada datang ke Melaka, dan orang Melaka pun tiada pergi ke Siam."

Maka sembah segala menteri dan Orang Besar-besar, "Benar titah duli Yang Maha Mulia itu, kerana daripada banyak seteru sebaik-baiknya berbanyak sahabat." Maka titah Sultan Mansur Syah, "Jika demikian Benda­hara, siapa baik kita suruh utusan ke benua Siam?" Maka sembah Bendahara Paduka Raja, "Tun Telanailah baik dititahkan, dan Menteri Jana Putera akan pengapitnya." Maka titah baginda kepada Tun Telanai, "Berlengkaplah Tun Telanai segera." Maka sembah Tun Telanai, "Baiklah tuanku."

Adapun akan Tun Telanai itu anak Bendahara Paduka Raja, pegangannya Rupat dengan Suir. Maka Tun Telanai pun bermohonlah ke bawah duli Sultan Mansur Syah pergi ber­lengkap; pada ketika itu kelengkapan Suir dua puluh lancaran bertiang tiga. Setelah sudah lengkap, pungutan Rupat tinggal lagi di Tanjung Jati. Maka Tun Telanai pun datanglah ke Melaka; masa itulah Tun Telanai dibuatkan orang nyanyi:

Lalai-Ialai mana bubutan?
Bubutan lagi di kelati;
Kakak Tun Telanai, di mana pungutan? Pungutan lagi di Tanjung jati,

Maka titah Sultan Mansur Syah kepada Bendahara Paduka Raja, "Hendaklah tuan Hamba karang surat kita ke benua Siam. Kehendak kita, surat itu sembah jangan, salam pun jangan, kasih sayang pun jangan."

Setelah Bendahara Paduka Raja mendengar titah baginda itu, maka kata Bendahara pada segala pegawai, "Hendaklah tuan-tuan sekalian karang surat yang seperti titah itu. Maka seorang pun tiada bercakap; maka ratalah orang ditanya oleh Bendahara Paduka Raja, datang kepada orang pembawa tepak dan pembawa kendi, habis ditanya Bendahara Paduka Raja, seorang pun tiada tahu; maka Bendaharalah mengarang dia, demikian bunyinya:

"Hendak tidak dilawani, takut mudarat ke atas nyawa; sungguhpun dilawani, terlalu takut akan Paduka Bubunnya. Daripada sangat harap akan ampun dan kurnia, maka menyu­ruhkan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera." Kemudian maka kata-kata yang lain pula. Maka Sultan Mansur Syah pun berkenanlah mendengar bunyi surat itu. 

Setelah sudah surat itu, maka diaraklah di atas gajah di­kepilkan di balairung; yang membawa surat itu, anak cateria; yang mengepalakan gajah, bentara; yang menghantar surat itu, menteri. Maka diarak oranglah berpayung putih, dengan gendang serunai, nafiri, nagara; medeli juga tiada. Maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun menjunjung duli; keduanya dipersalini baginda. Setelah itu maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun belayarlah.

Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke benua Siam. Maka diwartakan oranglah kepada Paduka Bubunnya, "Ada utusan dari Melaka datang," Maka oleh Paduka Bubun­nya disuruhnya jemput surat itu pada Pra Kelung. Disuruhnya arak dengan sepertinya. Setelah datang ke balairung maka surat itu dibaca oleh jurubahasa. Setelah diketahui ertinya, maka terlalu sukanya mendengar bunyi .surat itu. Maka titah baginda Paduka Bubunnya kepada Tun Telanai, "Siapa me­ngarang surat ini?" Maka sembah Tun Telanai, "Mangkubumi raja Melaka, tuanku." Maka titah Paduka Bubunnya, "Bukan layak Mangkubumi Melaka, layaknya Mangkubumi aku; dan siapa nama raja Melaka?" Maka sembah Tun Telanai, "Sultan Mansur Syah." Maka titah Paduka Bubunnya, "Apa erti Mansur Syah?" Tun Telanai diam. Maka sembah Menteri Jana Putera, "Erti Mansur Syah, raja yang dimenang akan Allah Taala daripada segala seterunya."

Maka titah raja Siam, "Apa sebab Melaka diserang Siam, tiada alah?" Maka Tun Telanai pun menyuruh memanggil orang Suir, seorang tua, lagi untut kedua kakinya. Maka di suruh oleh Tun Telanai bermain lembing di hadapan Paduka Bubunnya. Maka orang tua itu dilambung-lambungrnya lembing itu, maka ditahankannya belakangnya; maka lembing itu jatuh ke atas belakangnya, mengantul jatuh ke tanah, sedikit pun tiada garis belakangnya.

Maka sembah Tun Telanai, "Inilah sebabnya maka Melaka diserang tiada alah, kerana semuanya orang Melaka demikian belaka." Maka pada hati Paduka Bubunnya, "Sungguh juga; sedang orang tua untut amat jahat lagi demikian." Setelah itu maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun turunlah ke perahu. Selang berapa hari, maka Paduka Bubunnya pun pergi menyerang sebuah negeri, Hampir negeri Siam juga. Maka Tun Telanai dan Tun Jana Putera pun pergi dengan segala orangnya, maka oleh raja Siam segala orang Melaka diberinya ketumbuk­an pada tempat yang keras, kotanya teguh, dan Senjatanya pun banyak; tetapi tempat itu mengadap ke matahari mati.

Maka Tun Telanai pun mesyuarat dengan Menteri Jana Putera; maka kata Tun Telanai, "Apa bicara kita disuruhnya melanggar pada tempat yang keras, orang kita hanya sedikit. " Maka sahut Menteri Jana Putera, "Marilah kita mengadap Paduka Bubunnya, bicara itu betalah berdatang sembah pada Paduka Bubunnya." Maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun pergilah mengadap Paduka Bubunnya. Maka sem­bah Menteri Jana Putera, "Tuanku, akan adat kami, segala Islam, apabila sembahyang, mengadap ke matahari mati; jikalau ada kurnia duli Pra Cau, biarlah patik-patik kepada ketumbukan yang lain. Perang mengadap ke matahari mati pemali. " Maka titah Paduka Bubunnya, "Jika kamu tidak boleh perang mengadap matahari mati, ke matahari hiduplah pin­dah."

Adapun tempat itu adalah nipis sedikit, lagi kurang alat­nya; maka dilanggarlah oleh orang Melaka. Dengan takdir Allah Taala, negeri itupun alahlah; orang Melakalah yang pertama menempuh dahulu. Setelah negeri itu sudah alah, maka Paduka Bubunnya pun memberi anugerah akan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera dengan segala orang Melaka. Maka Tun Telanai dianugerahi oleh Paduka Bubunnya seorang puteri, Onang Minaling Lang namanya; maka diperisteri oleh Tun Telanai, itulah beranakkan Tun Ali Haru; maka Tun Ali Haru beranakkan Laksamana Datuk Panjang; akan Laksamana beranakkan Tun .Cendera Panjang, dan Tun Cendera Panjang berlakikan Tun Perak, beranakkan Tun Kiayi, yang Bergelar Seri Akar Raja, yang mati di Aceh.

Bermula maka Tun Telanai pun bermohonlah kepada Paduka Bubunnya. Maka Paduka Bubunnya pun membalas surat dan memberi kiriman diarak ke perahu, maka utusan kedua pun belayarlah kembali. Berapa lama di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka oleh Sultan Mansur Syah, surat itu diarak bergajah seperti adat pergi itu juga. Setelah datang ke dalam maka gajah ditolakkan di balairung; maka disambut oleh Bentara diberikan pada khatib, disuruh baca serta bertetampan, demikian bunyinya: "Surat daripada Pra.Cau Wadi datang kepada Awi Melaka;" sudah itu maka kata-kata lain.

Setelah Sultan Mansur Syah mendengar bunyi surat itu terlalulah sukacita baginda, maka baginda pun memberi anugerahi persalin kepada Tun Telanai dan akan Menteri Jana Putera dan segala utusan Siam. Setelah datang musim yang baik, maka utusan yang menghantar itu pun bermohonlah. Maka Sultan Mansur Syah memberi persalin serta membalas surat kiriman akan raja Siam; maka utusan Siam pun kembalilah mengadap Pra Cau, wallahu a'lamu bis-sawab wa ilaihil-marji'u uial-ma'ab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan