Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-67

Mia Ruzul Dengan Kambing Randuk

Setelah Maharaja Diraja mendengar kelengkapannya alah oleh orang Melaka itu, maka Maharaja Diraja pun terlalu marah; maka ia bertempik, katanya, "Jikalau aku di atas gajahku Binudan ini, Melaka se-Melakanya, Pasai se-Pasainya, jangan juga kudrat Allah melintang; kulanggar kota Melaka dengan gajahku Binudan ini." Maka disuruhnya keluari pula orang Melaka sekali lagi, maka segala orang Haru pun keluarlah.

Adapun segala kelengkapan Melaka pun telah datanglah ke pangkalan Dungun, berhenti di sana. Maka segala orang Melaka pun naiklah ke darat hendak buang air. Maka ada seorang Keling, Mia Ruzul namanya, Keling Melaka, mengikut pergi. Maka ia pun naik juga, hendak buang air. Baru ia berTenggek di batang, maka ia memandang ke darat arah semak-semak; maka terpandang ia kepada kambing randuk makan, sekali­ sekali kelihatan mukanya, Pada pendapat Mia Ruzul "Orang Haru tua rupanya, hendak mengintai aku ini,"

Maka Mia Ruzul pun bangkit, lari tunggang-langgang,jatuh terjerurnus, bangkit lari pula mengusir orang banyak. Maka sekalian orang pun terkejut masing-masing memegang Senjata, gempar melihat Mia Ruzul terlari-lari itu. Maka kata semua orang itu, "Mengapa Mia Ruzul ini?" Maka kata Mia Ruzul sambil terhungap-hungap, "Kita tumu Haru tua, kita hudap dia zughul, kita zughul dia hudap." Kata orang itu, "Di mana ia?" Maka sahut Mia Ruzul, "Syana tuan." Maka segala orang itu pun pergilah ke tempat itu; maka dipandang orang iaitu kambing randuk makan rumput. Maka orang itu pun semua­nya suka tertawa, seraya berkata, "Cis Mia Ruzul, habis kita kena pedayanya." Maka sekaliannya pun turunlah ke perahu; itulah diperbuat orang pelabun datang sekarang, "Cis Mia Ruzul, kita hudap dia zughul, kita zughul dia hudap."

Arkian maka kelengkapan Haru pun datang, bertemu de­ngan kelengkapan Melaka lalu berperang, tiada sangka bunyi­nya lagi. Maka rupa anak panah dan damak sumpitan seperti manik hujan yang lebat. Maka oleh orang Melaka dilanggarnya sekali-sekali, dicurahnya dengan batu dan seligi; maka ke­lengkapan Haru pun banyaklah alah, barang yang tinggal habis  lari, mudik ke hulu, kepada rajanya. Maka Maharaja Diraja pun menyurung damai kepada Paduka Tuan; maka kabullah Paduka Tuan. Maka oleh orang Haru diperbuatnya balai di pangkalan Dungun. 

Setelah sudah, Maharaja Diraja menyuruhkan Raja Serba Nyaman, dan Raja Jengur, dan Raja Sembuh, dan segala ke­jarun Haru, sekaliannya berkampung kepada Paduka Tuan. Maka Paduka Tuan dan segala Orang Besar-besar, hulubalang Melaka pun naiklah ke darat. Maka pihak Melaka dan Haru pun duduklah di balai itu berkata-kata. Sedang temasya ber­kata-kata, maka balai itu pun roboh. Maka segala orang Melaka dan orang Haru pun terkejut, habis berdiri sekaliannya menghunus Senjata, melainkan Seri Bija Diraja juga berdekat dengan Laksamana yang tiada bergerak daripada tempatnya duduk itu, hib pun ia tiada; duduk sambil ia mengupam kerisnya. Maka kata orang Haru akan Seri Bija Diraja, "Dia ini sungguh kecil, timbangan lada Pidir." Maka duduklah sekaliannya berkata-kata pula. Maka Maharaja Diraja pun berkirim surat ke Melaka.

Se­telah itu maka Paduka Tuan pun kembalilah bersama-sama dengan segala Orang Besar-besar dan hulubalang sekalian. Telah berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Melaka. Maka Paduka Tuan dengan sekalian hulubalang pun masuk­lah mengadap Sultan Alau'd-Din Riayat Syah; maka baginda pun terlalu sukacita oleh mendengar peperangan baginda jaya itu. Maka baginda pun memberi persalin, dianugerahkan pada Bendahara, dan akan Paduka Tuan, dan Laksamana, dan Seri Bija Diraja, dan segala hulubalang yang pergi itu, sekaliannya dipersalin baginda.

Hatta berapa lama antaranya, maka Seri Bija Diraja pun matilah. Ada anaknya lelaki dua orang, seorang perempuan, Tun Cendera Panjang disebut orang; yang lelaki itu seorang bernama Tun Kerunta, bergelar Seri Bija Diraja menggantikan pekerjaan ayahnya, seorang lagi lelaki bergelar Tun Bija Diraja, ialah beranakkan Sang Setia. Wa'llahu a'lamu bi'l-sawab, wa ilaihi'l-marji'u wa 'l-ma 'ab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan