Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-64

Pemerintahan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah

Hatta selang beberapa hari, maka Sultan Mansur Syah pun mangkadah; berpindah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa; kalu innali'llahi wa inna ilaihi raji’un. Maka dikerjakan oranglah seperti adat raja-raja yang telah lalu; maka Raja Hussainlah kerajaan, gelar baginda di atas kerajaan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah.

Adapun baginda itu terlalu perkasa, tiada berbagai pada zaman itu; akan baginda sudah beristeri sama raja, beranak dua orang lelaki, seorang bernama Raja Menawar, seorang lagi bernama Raja Zainal; dan dengan isteri baginda bernama Tun Naja, anak Seri Nara Diraja Tun Ali, saudara Seri Nara Diraja Tun Tahir, itu pun ada baginda beranak tiga orang; yang tuanya perempuan bernama Raja Hitam, yang Tengah lelaki bernama Raja Muhammad, dan yang bongsu pun perempuan juga bernama Raja Fatimah; tetapi akan Raja Muhammad itu, jauh mudanya daripada Raja Menawar, dan tua daripada Raja Zainal.

Adapun raja Pahang yang bernama Raja Ahmad, anak Sultan Pahang itu, beristerikan anak Bendahara Seri Amar Di­raja, beranak seorang lelaki bernama Raja Mansur; dan yang bernama Sultan Muhammad Syah itu pun beranak tiga orang lelaki, seorang perempuan; seorang bernama Raja Jamal, se­orang bernama Raja Muzaffar, seorang bernama Raja Ahmad. Maka oleh Sultan Alau'd-Din Riayat Syah, anakanda baginda yang bernama Raja Fatimah itu, didudukkan baginda dengan anak raja Pahang, yang bernama Raja Ahmad itu.

Setelah Sultan Alau'd-Din Riayat Syah kerajaan itu, maka Raja Ahmad pun pergi ke Pahang, mendapatkan kakanda baginda. Maka baginda beristerikan cucu Iskandar Syah, raja Kelantan, ber­anak seorang perempuan bernama Raja Wati.

Sebermula maka tersebutlah dalam Melaka pencuri terlalu buas, orang kehilangan pun tiada berhenti lagi Sentiasa malam. Setelah Sultan Alau'd-Din Riayat Syah mendengar pencuri . terlalu ganas itu, maka baginda pun terlalu masyghul, setelah hari malam, maka baginda pun memakai cara pakaian si pen­curi. Maka baginda berjalan menyamar, tiada membawa teman; hanya Hang Isap dibawa baginda berserta pergi itu.

Maka Sultan Alau'd-Din Riayat Syah pun berjalanlah tiga orang dengan penjawat sirih santap baginda, berkeliling negeri Melaka itu, hendak melihat hal negeri itu. Setelah datang pada suatu tempat, maka baginda bertemu dengan pencuri lima orang; mengusung satu candu-peti dua orang, dan yang tiga orang lagi mengiringkan dia. Maka segera diusir baginda pencuri itu, setelah Hampir, maka pencuri itu pun terkejut,  lalu lari kelima-limanya; maka peti itu pun dicampakkannya. Maka titah Sultan Alau'd-Din pada Hang Ishak, "Tunggu olehmu peti ini." Maka sembah Hang Ishak, "Baiklah tuanku."

Maka Sultan Alau'd-Din dengan Hang Isap pun pergilah mengikut pencuri lima orang itu, maka segala pencuri itu pun lari ke atas Bukit Melaka, maka diikuti baginda ke atas bukit, bertemu di negara bukit itu; maka Sultan Alau'd-Din pun ber­tempik, lalu diparang baginda seorang, kena pinggangnya putus seperti mentimun, penggal dua. Maka yang empat orang itu lari ke jambatan, diperturut oleh baginda; datang ke bawah bodi, maka keempatnya berbalik menghadapi Sultan, Alau'd-Din. Maka dibunuh baginda pula seorang lagi, maka yang tiga orang itu lari. Setelah datang ke hujung jambatan, dibunuh oleh Hang Isap seorang; yang dua orang lagi itu terjun ke air, lalu berenang ke seberang.

Setelah itu maka Sultan Alau'd-Din pun berjalanlah kembali mendapatkan Hang Ishak. Maka titah baginda pada Hang Ishak dan Hang Isap, "Bawa peti ini ke rumahmu;" maka sembah Hang Isap, "Baiklah tuanku." Maka Sultan Alau'd-Din pun kembalilah ke istana baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan