Sulatus Salatin: Sejarah Melayu VII
Hang Jebat Kesiangan di Istana

Pertarungan Hang Tuah-Hang Jebat

Istana Sultan Mansur Syah Terbakar

Ramalan Bendahara Paduka Raja

Akibat Tiada Menyembah ke Melaka

Sesudah Kampar, Siak Pula

Ditolak Bumi Melaka

Juara Catur

Disuruh Merompak ke Ujung Tanah

Kitab Duri'l-Mazlum
Hang Jebat Kesiangan di Istana
HATTA dalam antara itu Hang Kasturi pun berkendak dengan seorang dayang-dayang dalam, yang dipakai raja, tetapi hasratnya yang sah Hang Jebat yang empunya pekerjaan. Hang Kasturilah yang bergelar Seri Diraja Dewa, anak cucunyalah 'Perhangan' yang asal zaman Melaka. Maka Hang Jebat kesiangan di dalam istana, lalu ia hendak mengamuk. Maka Sultan Mansur Syah dengan Raja Perempuan serta dayang-dayang perwara sekalian turunlah dari istana itu, pindah. ke istana yang lain. Maka Hang Jebat pun dikepung oranglah. Maka Sultan Mansur Syah pun semayam di balai kecil menghadapi orang mengepung Hang Jebat itu. Bendahara Paduka Raja dengan segala Orang Besar-besar hulubalang sekaliannya ada belaka mengadap. Rupa manusia sesak penuh tiada bersela lagi; rupa jebang perisai berlapis-lapis, tombak lembing seperti ranggas, tetapi seorang pun tiada dapat menaiki Hang Jebat itu.
Adapun pada zaman itu Hang Jebat bukan barang-barang orang, di bawah Hang Tuah dialah yang terbilang. Maka oleh Hang Jebat semua pintu istana itu dikandangnya; hanya satu pintu yang di hadapan jua dibukanya. Maka segala talam, kerikal, batil, ceper, dulang gangsa, dikaparkannya di lantai istana itu, Maka di atas itulah ia berlari ke sana sini, gemerencing bunyinya, memberi hebat yang mendengar dia. Maka Sultan Mansur Syah pun menitahkan orang menaiki Hang Jebat; maka tiada seorang pun bercakap menaiki dia.
Maka Sultan Mansur Syah pun mengenang Laksamana Hang Tuah, titah baginda: "Sayangnya si Tuah tiada, jikalau ada si Tuah, dapat ia menghapuskan malu ku!" Setelah mendengar titah baginda mengenang Hang Tuah itu, maka Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dan segala Orang Besar-besar pun bermohonlah hendak menaiki Hang Jebat. Maka tiada diberi Sultan Mansur Syah; titah baginda: "Jikalau tuan Hamba sekalian salah seorang bermara, jika seribu sekalipun nyawa si Jebat, masa kita samakan dengan tuan-tuan sekalian." Maka segala Orang Besar-besar itu pun diamlah.
Maka Sultan Mansur Syah pun murka akan segala hulubalang muda-muda, oleh tiada mau menaiki Hang Jebat itu. Maka segala hulubalang yang muda-muda itu pun semuanya pergi, hendak menaiki Hang Jebat itu. Baharu hingga semata tangga, diterpa oleh Hang Jebat; sekalian habis terjun menyampakkan dirinya ke tanah. Setelah dilihat oleh Sultan Mansur Syah perihal itu, maka baginda pun mengenang Hang Tuah pula. Telah tiga kali Sultan Mansur Syah menyebut-nyebut Hang Tuah itu, maka Seri Nara Diraja pun berdatang sembah: "Tuanku, patik memohonkan ampun, mengapatah duli tuanku sangat amat memohonkan ampun, mengapatah duli tuanku sangat amat mengenang Hang Tuah, orang yang sudah mati; patik pun adalah khilaf, kerana belum patut hukumnya mati; kerana Hang Tuah bukan barang-barang Hamba ke bawah duli Yang Dipertuan. Maka titah Sultan Mansur Syah, "Sebab itulah maka kita mengenang Si Tuah. Jika ia ada, tadilah sudah dihapuskan pekerjaan si derhaka itu; sayang si Tuah tiada!"
Dilihat Seri Nara Diraja Sultan Mansur Syah sangat-sangat mengenang Hang Tuah itu, maka sembah Seri Nara Diraja: "Tuanku, jikalau sekiranya Hang Tuah seperi-perinya ada hidup, adakah ampun duli Yang Dipertuan akan dia?" Maka titah Sultan.Mansur Syah, "Adakah si Tuah Seri Nara Diraja taruh?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Tuanku, gila apakah patik menaruh Hang Tuah. Duli tuanku menyuruh membuangkan dia, sudahlah patik buangkan; maka patik berdatang sembah demikian sebab duli Yang Dipertuan sangat mengenang dia.
Jikalau ada kiranya ia, adakah ampun duli Yang Dipertuan akan dia?" Maka titah Sultan Mansur Syah, "Jikalau ada si Tuah itu, jika seperti Bukit Kaf sekalipun besar dosanya, nescaya kita ampuni. Hanya kepada bicara kita ada juga si Tuah. Jikalau ada segeralah bawa ke mari, supaya kita ampuni; kita suruhkan membunuh si Jebat." Maka sembah Seri Nara Diraja, "Ampun tuanku beribu ribu ampun atas batu kepala patik. Tatkala titah duli Yang Dipertuan menyuruh membunuh Hang Tuah itu, maka fikir patik belum patut Hang Tuah itu dibunuh sebab dosanya itu. Hang Tuah bukan barang-barang Hamba ke bawah duli Yang Dipertuan; kalau-kalau ada perkenaannya kepada kemudian hari. Sebab itulah maka ia patik taruh pada dusun anak patik, patik suruh pasung; melainkan ampun ke bawah duli Yang Dipertuan juga akan patik."
Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara Diraja itu. Maka titah baginda, "Syabas! Bahawa Seri Nara Dirajalah sempurna Hamba." Maka di anugerahi baginda persalin dengan sepertinya. Maka titah baginda pada Seri Nara Diraja, "Segeralah si Tuah suruh bawa ke mari." Maka Seri Nara Diraja pun menyuruhkan orang mengambil Hang Tuah; maka Hang Tuah datanglah dibawa orang ke hadapan Sultan Mansur Syah. Pucat, kurus, berjalan teranggar-anggar. Miskinan Hang Tuah belas segala yang memandang, kerana lama dalam pasungan.
Setelah Sultan Mansur Syah melihat Hang Tuah datang, maka dianugerahi baginda ayapan. Setelah sudah Hang Tuah makan, maka oleh Sultan Mansur Syah diambil keris daripada pinggang baginda, dianugerahi pada Hang Tuah; maka titah baginda, "Basuhkan arang di muka aku." Maka sembah Hang Tuah, "lnsya-Allah Taala, baiklah tuanku." Maka Hang Tuah pun menjunjung duli, lalu pergi mendapatkan Hang Jebat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan