Jumaat, 1 Mei 2015

SULALATUS SALATIN-44

Telatah Budak-budak Raja Melaka

Syahadan maka Sultan Mansur Syah pun Sentiasa hari duduk mengadap Betara Majapahit, dengan raja Daha dan raja Tan­jung Pura, serta segala raja-raja yang banyak itu. Maka setelah dilihat oleh Hang Tuah, anjing di hadapan Sultan Mansur Syah dan di hadapan segala raja-raja itu, maka kata Hang Tuah kepada Tun Bijaya Sura, "Manatah tuan Hamba menga­takan diri tuan hamba 'iyar? Tunjukkanlah "iyar tuan Hamba di medan ini." Demi Tun Bijaya Sura mendengar kata Hang Tuah itu, maka sahutnya, "InsyaAllah Taala, aku tunjukkan­lah 'iyar kepada Betara Majapahit ini."

Maka ia pun memakai dengan selengkap perhiasan diambilnya utar-utar dibubuhnya genta, maka berlayarlah ia, menari dengan berbagai­-bagai laku tarinya. Setelah dilihat oleh betara Majapahit, disuruh baginda naik Tun Bijaya Sura itu menari. Maka Tun Bijaya Sura pun naiklah seraya menyembah. Maka titah Betara Majapahit, "Menarilah Tun Bijaya Sura, kita hendak melihat permainan orang Melaka." Maka Tun Bijaya Sura pun menyembah, lalu bangkit berlayam menari. Setelah Hampir dengan anjing itu, maka dikirapkannya utar-utar itu; maka gemerencinglah bunyinya genta itu. Maka anjing itu pun ter­kejut, putus rantai emas itu, lalu lari ke hutan, terus hilang. Maka Tun Bijaya Sura pun berhenti, duduk menyembah. Maka titah betara Majapahit seraya tersenyum, "Sangat cerdik Tun Bijaya Sura itu dengan ditipunya anjing di hadapan raja Melaka, hilang.

Adakah permainan Tun Bijaya Sura lain dari itu?" Maka sembah Tun Bijaya Sura, "Ada lagi tuanku, bersapu-sapu rengit namanya." Maka titah Betara Majapahit, bermainlah kita hendak melihat dia." Maka sembah Tun Bijaya Sura, "Jikalau diampuni, patik bermain di hadapan duli paduka betara, maka nyata dapat dipandang patik ber­main." Maka titah Betara Majapahit, "Naiklah!" Maka oleh Tun Bijaya Sura, dibawanya budak-budak dua tiga orang lalu naik. Maka ia berkanjar di hadapan Betara Majapahit, ke­semua kakinya ke hadapan Betara Majapahit. Maka kata segala penggawa Majapahit, "Tanpa kedep tambung laku sira di hadapan Seri Paduka Betara. "Maka sahut Tun Bijaya Sura, "Bagaimana, manira disuruh Seri Betara bermain; jikalau tidak begitu, bukanlah sapu rengit namanya." Maka titah betara, "Jangan kamu larang, biarlah ia bermain."

Maka Tun Bijaya Sura pun bermainlah sapu-sapu rengit. Maka Seri Betara pun tersenyum melihat pejenaka Tun Bijaya Sura itu; dalam hatinya berkata, "Sangat bijaksana raja Melayu ini, semua Hambanya cerdik belaka; ia membalas akan tuannya menga­dap anjing, maka kakinya pula disuruhnya hadap kepada kita." .

Setelah bermain maka Tun Bijaya Sura pun menyembah kaki Betara, lalu turun mendapatkan rakannya. Maka kata Tun Bijaya Sura pada Hang Tuah, "Hei Hang Tuah, dan Hang Jebat dan Hang Kasturi, tunjukkanlah pula berani per­kasa tuan-tuan; akan Hamba sudahlah menunjukkan 'iyar Hamba, menghilangkan kehinaan tuan kita, Jika tuan-tuan gagah berani pergilah naik ke atas balai larangan betara itu, lamun tidak berjatuhan ditombak oleh Jawa yang banyak itu kelak." Maka sahut Hang Tuah, "InsyaAllah Taala baiklah, akulah yang memancung tombak Jawa yang berlapis-lapis datangnya itu." Maka kata Hang Jebat, "Pancunglah oleh tuan Hamba, biarlah Hamba mengampung akan dia"; maka jawab Hang Kasturi pula, "Kampungkanlah oleh tuan Hamba, biar Hamba memberkasnya;" maka sahut Hang Lekir dan Hang Lekiu pula, "Berkaslah oleh tuan Hamba, biar Hamba mengangkut dia."

Setelah sekata kelimanya, lalu bersama-sama naik ke atas balai larangan, yang Tengah penuh sesak oleh orang mengadap Betara Majapahit. Setelah segala juruganjur itu terlihat Hang Tuah, orang berlima itu naik ke balai larangan, maka datanglah meradakkan ganjumya kepada orang berlima itu; maka bersamarlah rupa tombak yang datang, semuanya dipancung oleh Hang Tuah. Lima puluh datang, kelima puluhnya habis putus dipancungnya dengan keris tempa Melaka itu; seratus datang, ke seratusnya habis putus, dan dua ratus datang, kedua ratusnya habis putus dipancungnya. Maka Hang Tuah sangatlah terbilang, dan Hang Jebat juru mengampungkan, dan Hang Kasturi juru memberkasnya.

Maka gemparlah alun-alun itu gegak gempita bunyinya. Maka titah Betara Majapahit, "Apa sebabnya gempar ini?" Maka di­persembahkan orang peri Hang Tuah naik ke balai larangan; beribu-ribu tombak menikam dia, habis dipancungnya suatu pun tiada mengenai. Maka titah Betara, "Biarkanlah budak-budak anak kita, raja Melaka, naik bermain; jangan dilarangkan sekaliannya." Maka mereka itu pun bubarlah, masing-masing undur kemalu-maluan, membawa ganjur tiada bermata. Maka Hang Tuah kelima orang itu pun turunlah; dan Hang Lekir dan Hang Lekiu berdualah yang berangkut mata tombak itu, dibawanya ke pesiban itu, beratus-ratus berkas.

Maka oleh Sultan Mansur Syah disuruh kembalikan. Maka titah Betara Majapahit, "Ambillah akan anakku." Demikianlah hal segala tuan-tuan itu pada masa di Majapahit. Adapun Hang Tuah itu, jika ia dipesiban, pesiban gempar; jika ia ke pasar gigir, jika ia ke warung gaduh;jika ia di pang­gungan, panggungan hingar dari hebat melihat rupa dan sikap Hang Tuah itu, Maka segala perempuan Jawa dan anak dara-dara sekaliannya berahi melihat rupa Hang Tuah; kalau perempuan dalam pelukan lakinya pun terkejut, keluar hen­dak menengok Hang Tuah. Itulah maka dipantun oleh segala Jawa demikian:

Onja suruh. tanggapana penglipur; saben dina katon parandene onang uga.

Ertinya, ini sirih, buat olehmu akan penglipur rasa berahi;
sehari dilihat sungguh, demikian pun rindu juga.

Iwer Sang dara kabeh, dene Laksamana lumaku-lumaku, penjurit ratu Melayu.

Ertinya, sabur segala anak dara-dara semuanya meli­hat Laksamana berjalan, hulubalang raja Melayu.

Ayu-ayu apa dewe pande wesi para tan ayu, saben di­na den gurinda.

Ertinya, baik-baik anak orang pandai besi, apa tak kena, Sentiasa hari dicanainya.

Kaget wong paken, dene Laksamana tumandang, Laksa­mana tumandang, penjurit ratu ing seberang:

ertinya terkejut orang dalam pangkuan, oleh melihat Laksa­mana, lagi hulubalang raja seberang.

Tututana, yen ketemu, paTeriana karo , ketelu jaro man mara.

Erti­nya, ikut olehmu jikalau bertemu bunuh keduanya, ketiga dengan suruh-suruhannya.

Geger wong pasar dene Laksamana liwat penjurit ratu Melaka.

Ertinya, gerupar orang di pasar melihat Laksamana lalu, lagi hulubalang raja Melaka.

Wis laliya kung alagi kungku maning; sumbalinga lipur kung, ati saben gelak kung.

Ertinya, baik sudah lupa yang lalaikan itu, datang rindukan pula, sungguhpun aku hibur-hiburkan yang hatiku ini Sentiasa dendam.

Geger wong pasiban dene Laksamana teka. Laksamana teka, penjurit ratu Melaka.

Ertinya,gerupar orang di penghadapan sebab­sebab melihat Laksamana datang, hulubalang raja Melaka,

Den urai rambute, den tangisi, morambute melu tan diremen.

Ertinya, diuraikan rambutnya tangisi, usah! Rambutku ini dia pun turut 'tah di mana.

Demikianlah Hang Tuah di dalam negeri Majapahit di­berahikan orang.

Adapun Laksamana pada masa itu tiadalah ada bandingnya, melainkan ada seorang hulubalang raja Daha, Sangka Ningrat namanya; ialah yang dapat sedikit berlawan dengan  Laksamana pada masa itu, ia pun dipantunkan juga oleh Jawa demikian bunyinya:

Geger wong ing panggung dene Sangka Ningrat teka penjurit ratu ing Daha.

Ertinya, gerupar orang di atas panggungan, sebab melihat Sangka Ningrat datang itu hulubalang ratu Daha.

Demikianlah peri orang dalam negeri Majapahit selama Sultan Mansur Syah di Majapahit, kelakuan segala orang muda-muda itu, masing-masing dengan zamannya, Dalam hati Betara Majapahit akan Sultan Mansur Syah pada zaman itu tiadalah ada raja-raja dua taranya; arif bijaksana dengan segala Hamba sahayanya makin bertambah-tambahlah meramaikan­nya. Maka pekerjaannya pun dibesarkannyalah, empat puluh hari empat puluh malam. Maka bunyi-bunyian Melayu dengan bunyi-bunyian Jawa pun bertarulah bunyinya; gong, gendang, serunai, nafiri, nagara, gendir, sambiannya, sekati, kopak, ceracap, celimpong dan rebab, gelinang, suling, gambang, dandi, tiadalah sangka bunyi lagi; segala permainan Jawa pun habislah dipermain orang.

Maka titah Betara Majapahit, "Adapun permainan Melayu dengan Jawa, barang yang dipermain orang di hadapan anakku raja Melaka dan segala raja-raja sekalian, sudahlah kita pandang; kalau ada lagi permainan kepada Tun Bijaya Sura, hendaklah dipermain pada zaman anak kita, raja Melaka, kita kerjakan ini, akan menjadi zaman dalam negeri Majapahit ini."

Maka sembah Tun Bijaya Sura, "Ada suatu permainan lagi tuanku kepada patik, 'berkeliling gelagat' namanya. Itulah kesudahan permainan Melaka, tuanku." Maka titah Betara Majapahit, "Permainlah oleh Tun Bijaya Sura, kita hendak memandang dia." Maka sembah Tun Bijaya Sura, "Jika Paduka Betara titahkan patik bermain, tiang pesiban Hampir duli sampean Paduka Betara semayam itu, baik tempat patik bermain tuanku." Maka titah Betara, "Naiklah."

Maka oleh Tun Bijaya Sura dipohonkannya sapu tangan Sultan Mansur Syah yang berdaun budikan emas bertatah intan dengan pudi itu, baunya pun amat harum, lalu dibawanya naik setara dengan Betara Majapahit; serta ia menyembah, lalu ia berpegang kepada tiang, Hampir dengan Seri Betara itu, lalu ia berkeliling berpusing. Maka sapu tangan itu diayunnya, habis tersapu pada muka penjawat Betara Majapahit dan kepada muka Betara pun berangin-angin, Hampir akan tersapu juga.

Demi dilihat oleh segala hulubalang Jawa kelakuan Tun Bijaya Sura itu, semuanya marah katanya, "Candala budak-budak ratu Melaka ini tambung laku tanpa kedep, muka an­dika Paduka Betara dipapasi, tidak umpama sedikit, main cara mana si keparat ini." Maka Tun Bijaya Sura pun berhenti­lah seraya menyembah lalu turun. Maka titah Betara sambil tersenyum, ''Jangan kamu marah, sudah dengan kehendakku menyuruh ia bermain." Maka Tun Bijaya Sura pun dianu­gerahi oleh baginda persalinan dengan selengkapnya, Dalam hati baginda, "Sangat cerdiknya Tun Bijaya Sura ini, bagai­manapun tipunya hendak membalaskan tuannya juga, orang Melaka ini. Barang mainnya tiada dapat diturun oleh orang negeri lain, barang sebagainya lebih juga ia."

Maka Betara Majapahit menyuruh memanggil seorang ke­petangan yang terlebih tahu lagi pantas daripada yang lain. Maka titah Betara, "Dapatkah engkau menyendal keris Tun Bijaya Sura itu?" Maka sembah kepetangan itu, "Apa daya kula menyendal dia, kerana Melayu. ini memakai keris di hadapan, jika berkeris di be1akang seperti orang Jawa, dapat kula Seridal." Maka titah Betara "Baiklah aku memberi dia berkeris di belakang."

Sete1ah keesokan hari, maka Betara Majapahit pun keluar dihadap oleh segala raja-raja, menteri hulubalang; dan Sultan Mansur Syah pun ada mengadap. Maka titah Betara Majapahit, "Tahukah Tun Bijaya Sura memakai cara Jawa?" Maka sem­bah Tun Bijaya Sura, "Jikalau dikurniai Paduka Betara, tak tahu pun kula pakai juga." Maka dikurniai Betara Majapahit persalinan. Maka Tun Bijaya Sura pun memakai cara Jawa, berkeris di belakang, Setelah ia memakai, lalu ia menyembah dan turun melihat orang menyabung terlalu ramai; bunyi sorak orang terlalu gemuruh, seperti tagar sampai ke langit.

Dalam pada sabur itu, maka oleh kepetangan itu diambilnya keris Tun Bijaya Sura, dapat matanya sahaja, lalu dipersembahkan kepada Betara Majapahit. Maka Tun Bijaya Sura pun menoleh ke belakang, dilihatnya kerisnya tiada. Maka katanya, "Eh, keSeridalan aku oleh Jawa keparat ini." Maka lalu ia segera naik menyamar; didekatinya orang yang membawa puan Betara Majapahit itu. Maka disembarnya mata keris orang itu, dimasukkannya ke dalam sarung kerisnya, lalu ia turun. Maka orang menyabung itu pun berhentilah.

Maka Betara pun duduklah di penghadapan dihadap orang banyak. Keris Tun Bijaya Sura itu ditindih Betara di bawah pahanya. Maka titah Betara, "Tun Bijaya Sura, mari sini!" Maka Tun Bijaya Sura pun segera datang, duduk di bawah Betara. Maka oleh Betara diambilnya keris Tun Bijaya Sura itu, ditunjukkan baginda pada Tun Bijaya Sura; titah Betara, "Tun Bijaya Sura, kita mendapat keris terlalu baik, adakah Tun Bijaya memandang keris seperti keris ini?" Maka Tun Bijaya Sura, dikenalnya kerisnya; maka oleh Tun Bijaya Sura, dihunusnya mata keris itu dari sarungnya, maka sembahnya, "Mana baik dengan keris patik ini?"

Maka dilihat oleh Betara keris itu, dikenal baginda, kerana adat raja-raja Jawa akan orang yang membawa puannya itu diberinya memakai keris yang baik, keris kerajaan lengkap dengan alatnya. Maka Betara pun bertanya pada orang membawa puan itu, "Mana kerismu?" Maka dilihatnya kerisnya tinggal sarungnya sahaja. Sembahnya, "Ke mana keris patik? Tinggal sarungnya juga!" Maka Betara pun tersenyum, maka titah baginda, "Terlalu cerdik sekali Tun Bijaya Sura ini, tiada tersemu oleh kita." Maka keris Tun Bijaya Sura itu dikembalikan Betara, dan akan keris baginda itu dianu­gerahkan sekali pada Tun Bijaya Sura.

Syahadan orang berjaga-jaga itu pun genaplah empat puluh hari empat puluh malam. Setelah datanglah kepada ketika yang baik, maka Sultan Mansur Syah pun kahwinlah dengan Raden Galuh Cendera Kirana, disuruh Betara nikahkan, setelah sudah nikah, lalu masuk ke dalam pelaminan. Maka baginda kedua laki isteri pun terlalulah amat berkasih-kasihan. Adapun Betara Majapahit sangat kasih akan Sultan Mansur Syah, sehari-hari dibawa baginda semayam dan santap ber­sama-sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan