http://wakafsedekah.com/3324
Bendahara Paduka Tuan [Bendahara Tepok]
Setelah itu maka Paduka Tuan, anak Bendahara Paduka Raja, dijadikan oleh Sultan Mahmud Syah Bendahara; akan Paduka Tuan itu telah tualah, gigi pun sudah tanggal habis, dan kaki pun telah tepok; duduk di muka pintu, di sana duduk di sana tidur, makan pun di sana, berak pun di sana dan kencing pun di sana. Apabila orang banyak datang mengadap di selasar, dinaikkanlah tabir, dan apabila Paduka Tuan hendak masuk dilabuhkan tabir.
Setelah Paduka Tuan mendengar ia hendak dijadikan Bendahara, ia menjatuhkan dirinya dari tempat duduknya itu ke bawah, seraya katanya, "Bendahara apatah ini, yang tepok dan lesu demikian ini?" Maka Paduka Tuan bermohon tiada mau jadi Bendahara; digagahi juga oleh Sultan Mahmud Syah dijadikan Bendahara. Apabila ada kerja, maka disuruh tandu masuk ke dalam, setelah datang ke balairung, maka diletakkan pada tempat Bendahara duduk; inilah yang disebut orang Bendahara Lubuk Batu, yang banyak beranak, anaknya semuanya seibu sebapa belaka; dan anak, cucu-cicit, piut, yang didapati oleh Bendahara Lubuk Batu jua, tujuh puluh tujuh banyaknya.
Maka segala cucu-cicit yang duduk Hampir Bendahara Lubuk Batu, budak-budak belaka; maka kata Bendahara Lubuk Batu pada seorang cucunya, "Awang, Awang, hendakkah sepah?" Maka sahut cucunya, "Mahu, Datuk." Maka kata Bendahara, "Tumbukkan aku sirih," maka ditumbukkan oleh cucunya, diberikannya kepada Bendahara; maka dikunyahkunyah oleh Bendahara Lubuk Batu, diberikannya kepada cucunya. Maka ia memandang pula pada seorang lagi cicitnya, katanya, "Engkau hendakkah sepah?" Maka sahut cicitnya, "Mahu, Datuk," maka kata Bendahara Lubuk Batu, "Tumbukkanlah aku sirih; maka ditumbukkannya sirih, diberikan pada Bendahara, maka dikunyahlah oleh Bendahara, diberikannya pada cicitnya.
Demikianlah sudah seorang, seorang pula. Adapun apabila Bendahara Lubuk Batu santap nasi pada pinggan lingkar yang besar, lauknya pada satu talam penuh, disantap oleh Bendahara habis sebelah, setelah sudah Bendahara makan, sisa Bendahara itu diberikan pada segala anak cucunya di serambi. Maka segala anak cucu Bendahara itu makanlah, habis lauknya, maka ia meminta garam; maka diberi orang garam, ditumpahkannya, dipintanya pula garam lagi, diberi orang, itu pun' dibuangkannya. Setelah dua tiga kali ia meminta garam, maka kata Bendahara. "Budak-budak itu minta lauk, tiada diberi lauk;" maka diberi oranglah lauk.
Adapun di bawah muka pintu Bendahara duduk itu dihadirkannya akan dirinya suatu keranda, sudah terkikir dan terempelas; maka mati anak cucu cicitnya diberikannya, diperbuatnya pula yang lain, demikianlah sediakala: "tatkala mati, Datuk berlarang." Adapun akan Bendahara Lubuk Batu, gagah makan nasi, santapnya sepinggan lengkar, sebelah-sebelah habis disantapnya. Jika ibu ayam sebesar-besarnya, habis seekor itu disantapnya; sungguh tiada bergigi itu, dilurutnya daging ayam rebusan itu dikunyah-kunyah ditelan, tinggal tulang juga.
Sedang lagi Datuk itu muda, suka bermain-main ke rumah Laksamana Hang Tuah, kerana isteri Laksamana itu peraturan saudara sepupu pada Bendahara Lubuk Batu. Maka keluarlah dari rumah Laksamana susu searai, nasi segantang, sakar secupak. Maka kata perempuan yang membawa nasi itu, "Habiskan konon Datuk nasi ini, akan alas-alas perut, kerana enda lagi menanak." Maka disantap Bendahara Lubuk Batu, habis nasi segantang, dan susu searai, sakar secupak itu, Apabila Bendahara mandi berendam di sungai, jikalau ada buah-buahan pohonnya condong ke air, maka sebelah dahannya yang arah ke air itu, habis buahnya dimakan Bendahara. Jikalau sudah ia memakai akan berjalan, sepasu minyak wangi digosokkannya pada tubuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan