Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN - 3

Perkahwinan Puteri Syahrul-Bariyah

Kata sahibil-hikayat, tatkala didengarlah oleh Raja Kida Hindi kata Nabi Khidir demikian itu, maka ia pun segera turun dari atas kerusi, lalu berdiri di tanah, seraya ia menyembah pada Raja Iskandar, dan berkata ia: "Bahawa ketahui oleh tuanku, ya nabi Allah, dan segala tuan-tuan yang ada hadir; bahawa Hamba ini dengan sesungguhnya Hamba kepada Raja Iskandar, dan anak Hamba sekalian pun Hamba juga ke bawah duli baginda itu, seperti sahaya yang mengerjakan dia seorang, dua orang itu. Ketahui olehmu hei segala tuan-tuan sekalian yang ada ini, bahawa Nabi Khidir akan wali hamba dan wali anak hamba yang bernama Tuan Puteri Syahrul-Bariyah itu."

Apabila didengar oleh Nabir Khidir kata Raja Kida Hindi demikian itu, maka berpalinglah ia mengadap kepada Raja Iskandar, dan berkata ia kepada Raja Iskandar, "Bahawa sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi yang bernama Puteri Syahrul-Bariyah dengan Raja Iskandar. Adapun isi kahwinnya tiga ratus ribu dinar emas, redakah tuan Hamba?" Maka sahut Raja Iskandar, "Redalah Hamba."

Maka dikahwinkan Nabi Khidirlah anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar atas syariat Nabi Ibrahim Khalilu 'llah, di hadapan segala mereka yang tersebut itu. Maka bangkit berdirilah segala raja-raja dan segala Orang Besar-besar dan ' para menteri dan hulubalang dan segala pendita dan ulama dan segala hukama menabur akan emas dan perak ,Jan permata ratna mutu manikam kepada kaki Raja Iskandar, hingga t'er­timbunlah segala emas dan perak dan ratna mutu manikam itu di hadapan Raja Iskandar, seperti busu t dua tiga timbun­annya. Maka sekalian harta itu disedekahkan pada segala fakir dan miskin.

Setelah hari malam, maka datanglah Raja Kida Hindi membawa anaknya kepada Raja Iskandar dengan barang kua­sanya, dengan pelbagai permata yang ditinggalkan oleh datuk neneknya; sekaliannya itu dikenakannya akan pakaian anak­nya. Maka pada malam itu naik mempelailah Raja Iskandar.

Syahadan. maka hairanlah hati Raja Iskandar melihat rupa Puteri Syahrul-Bariyah itu, tiadalah tersifatkan lagi, dan pada keesokan harinya maka dipersalin Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah itu dengan selengkap pakaian keraja­an, tiada terperi lagi banyaknya; dan Raja Iskandar pun meng­anugerahi pula persalin akan segala raja-raja daripada pakaian yang mulia-mulia, sekaliannya emas bertatahkan ratna mutu manikam, tiga buah perbendaharaan yang terbuka. Maka Raja Kida Hindi pun dianugerahi persalin, dan dianugerahi seratus cembul emas berisi permata, dan ratna mutu manikam dan harta benda yang mulia-mulia, sekaliannya emas bertatahkan ratna mutu manikam, dan dianugerahi seratus ekor kuda yang hadir dengan segala alatnya daripada emas bertatahkan ratna mutu manikam; maka hairanlah hati segala yang memandang dia.

Kemudian dari itu maka berhentilah Raja Iskandar di kenaikan sepuluh hari, setelah datang kepada sebelas harinya, maka berangkatlah Raja Iskandar seperti adat dahulukala, dan tuan puteri anak Raja Kida Hindi pun dibawa baginda; maka baginda pun berjalanlah, lalu ke matahari hidup, seperti yang tersebut dalam hikayatnya yang masyhur itu.

Hatta ber­apa lamanya, telah sudah Raja Iskandar melihat matahari ter­bit, maka baginda pun kembalilah, lalu dari negeri Kida Hindi. Maka Raja Kida Hindi pun keluarlah mengadap Raja Iskandar dengan segala persembahannya, daripada khatifah yang mulia­-mulia, dan daripada harta benda yang ajaib-ajaib. Maka Raja Kida Hindi pun berdatang sembah pada Raja Iskandar akan peri dendamnya dan berahinya akan tapak hadrat Raja Is­kandar, tiada dapat kita katakan lagi.

Syahadan peri rindu . dendamnya akan anaknya Tuan Puteri Syahrul-Bariyah dan dipohonkannyalah anaknya ke bawali duli Raja Iskandar. Arakian maka dianugerahkan Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah kembali pada ayahnya, Raja Kida Hindi; maka dianugerahi Raja Iskandar akan Puteri Syahrul­-Bariyah persalinan seratus kali, dan dianugerahi harta dar i­pada emas dan perak, dan ratna mutu manikam, dan dari­pada permata dan harta benda yang indah-indah, tiada terhisabkan banyaknya lagi, Maka Raja Kida Hindi pun men­junjung duli Raja Iskandar, maka dipersalin baginda pula seratus kali daripada pakaian baginda Sendiri. Setelah itu maka dipalu oranglah gendang berangkat dan 7 ditiup oranglah nafiri alamat Raja Iskandar berangkat.

Maka baginda pun berangkatlah dari istana, seperti ad at dahulukala, kasadnya hendak menaklukkan segala raja-raja yang belum takluk kepadanya, seperti yang termazkur itu. Wallahu a'lamu bis-satuab wa ilaihil-marji'u uial-ma'ab,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan