Isnin, 20 April 2015

SULALATUS SALATIN-14

Temasek Dijumpai

Maka Seri Teri Buana terlalu sukacita serta baginda mengerah­kan segala orang akan menyeberang. Maka sekaliannya ber­hadirlah; setelah waktu dinihari lepas nobat, maka nafiri berangkat pun berbunyilah, maka sekaliannya menyeberang­lah mengikut kenaikan, hingga penuhlah rupa lautan itu dengan perahu, menuju Temasek.

Hatta dengan takdir Allah Taala, setelah mengirap pasir, maka turunlah ribut barat daya, terlalu besarnya serta dengan ombaknya. Maka berpecahlah sekalian perahu itu, yang bersama dengan kenaikan itu hanya empat buah perahu juga; pertama perahu Demang Lebar Daun, dan perahu Menteri Bupala dan perahu Hatala. Empat buah perahu itulah yang tiada bercerai dengan kanaikan baginda. Maka berapa diper­timbakan kenaikan itu tidak mahu kering air ruangnya, masih hingga lutut juga. Maka titah baginda, "Buanglah segala isi perahu itu, supaya ia timbul." Maka dibuang oranglah segala muatannya, tiada juga timbul, Makin banyak pula air ruangnya. Titah baginda, "Buang pula biar habis sekali buang­ barang itu." Maka segala semberib, piring, talam emas, bokor emas dan perak dan tembaga suasa sekaliannya habis dibuangkan orang.

Syahadan datanglah ke Teluk Belanga, maka kenaikan itu tiadalah tertimba lagi, lalu akan Tenggelam. Maka titah baginda, "Apa yang ada lagi di dalam perahu ini, maka tiada ia mahu timbul ini?" Maka sembah Menteri Bupala, "Pada pendapat patik, kalau sebab mahkota kudrat itu juga tuanku, maka kenaikan demikian halnya." Maka diambil mahkota itu, lalu diletakkan baginda ke air. Sekonyong-konyong teduhlah ribut itu dan ombak pun Tenang seperti air di dalam balang. Maka didayungkan oranglah ke pantai; setelah datang ke pan­tai maka baginda pun turunlah, membawa isteri baginda di­iringkan mendara perwara sekalian, bermain di padang Te­masek itu, Maka segala perahu yang banyak itu pun datanglah semuanya berkampung, dan segala Orang Besar-besar itu turun dengan isterinya mengadap baginda dua laki isteri.

Maka Seri Teri Buana pun berangkat melihat tanah Temasek itu diiring­kan segala Orang Besar-besar. Dipandang baginda terlalu molek perbuatan tanah itu, bukit tanahnya dan rata di atas­nya, dan padang di negaranya. Maka baginda semayam di bawah pohon jambu laut, di­hadap segala Orang Besar-besar, berbicara hendak membuat negeri; seraya menitahkan rakyat menebas kayu di padang itu. Maka segala rakyat pun naiklah menebas; sekonyong­-konyong melintas seekor binatang maha tangkas lakunya, merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya; sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk. Setelah ia melihat orang banyak itu. lalu ia melompat, ghaib daripada mereka itu.

Maka titah Seri Teri Buana, "Apa nama binatang yang serupa itu?" Maka seorang pun tiada menyahut. Maka sembah Demang Lebar Daun, "Tuanku, ceritera orang patik dengar, yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuan­ku." Maka titah baginda, "Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamnya; dan sebutlah Temasek ini Singapura;" sampailah sekarang disebut orang "Singapura". Setelah itu baginda pun menitahkan Aria Bupala ke Bintan. Titah baginda, "Katakan, paduka anakanda em­punya sembah, tiadalah paduka anakanda berbalik ke Bintan lagi, di Temaseklah paduka anakanda berbuat negeri. Jikalau ada kasih bonda, hamba minta sekalian rakyat serta gajah, kuda dan bonda pun tuan hamba bawa sekali. "

Maka Aria Bupala pun menyembah lalulah menyeberang dengan segala pegawai, dan dua tiga puluh perahu, dengan ke­naikan Wan Seri Beni lancaran bertiang tiga. Setelah ke Bintan maka Aria Bupala pun naik mengadap Wan Seri Beni, per­sembahkan segala pesan Seri Teri Buana itu. Maka Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap pada segala Orang Besar-besar, mengerahkan rakyat sekalian bermuat gajah, kuda ke perahu. Setelah mustaed, maka Wan Seri Beni pun pergilah ke Singapura.

Setelah sampai maka sekaliannya naiklah; maka negeri Singapura pun telah sudahlah diperbuat orang dengan kota paritnya, dan dengan segala istana dan balairung dalam dan balairung luar, serta sekalian rumah orang, kedai dan pasar; terlalu indah perbuatan negeri Singapura itu. Maka Seri Teri Buana pun semayamlah di istana se­buah seorang dengan Wan Seri Beni kerajaan dalam Singapura.

Terlalulah makmumya negeri itu, adalah labuhan dagang dari Teluk Tanjung Ru, sampailah ke parit, kampung orang; dari negeri itu sampai ke Tanah Merah bertemu bumbungan rumah­nya, dan Demang Lebar Daunlah memerintahkan negeri itu, Maka Seri Teri Buana pun ditabalkan pula oleh Wan Seri Beni di Singapura itu. Anak Menteri Bupala dititahkan di Bintan, bergelar Tun Telanai, zaman itu dikumiai sirihnya dan air, nasinya makan di balai bertetarupan belaka, dan sampai ke anak cucunya bergelar Telanai juga tiada lain, kerana ia asal Bendahara Bintan. Wallahu a'lamu bis-sawab wa ilaihil­maryi'u wal-ma 'ab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan