Khamis, 2 April 2015

ISABELLA BAB-3

BAB 3 Surat Menyurat 


Pada suatu petang, selang beberapa hari kemudian, Isabella pergi lagi ke taman yang sama tempat dia mendengar perbincangan dua orang Muslim yang hebat itu. Tidak lama setelah dia mengambil tempatnya yang biasa, Umar Lahmi dan Maaz pun tiba. Mereka duduk di tempat yang dulu juga. “Aku telah mendengar satu laporan yang aneh dan menarik hari ini.” kata Umar Lahmi. “Apa dia?” tanya Maaz dengan agak terkejut. “Keraguan yang tuan timbulkan mengenai salah satu ayat di dalam surat St Paul tempoh hari,” kata Umar Lahmi, “rupanya telah sampai ke telinga ketua paderi.

Akibatnya, satu keributan telah terjadi di kalangan para paderi. Sehingga ada orang yang berfikiran sihat telah menjadi ragu-ragu.” Mendengar cerita sahabatnya itu, Maaz dengan tenang menjawab, “Ya, itu hanyalah khabar angin saja atau gunjingan belaka. Siapa gerangan yang ada mendengar perbincangan kita?” Umar Lahmi agak gempar melihat tanggapan Maaz yang dingin terhadap berita penting yang telah disampaikannya. “Siapa yang mendengar perbincangan kita, kata tuan? Takkanlah tak ada angin pokok boleh bergoyang? Paderi-paderi itu menjadi begitu heboh.” “Jadi, apa yang menyebabkan mereka itu heboh begitu sekali?” tanya Maaz apabila melihat kegusaran sahabatnya.

“Apakah ini kali pertama paderi-paderi itu mendengar keraguan kita?” “Sebab-sebabnya aku sendiri pun tidak tahu tetapi apa yang aku dengar ialah para paderi itu sudah mula gelisah kerana keberatan-keberatan kita itu. Beberapa kali mesyuarat telah mereka adakan untuk mencari jawaban. Berita itu sampai kepadaku melalui sumber-sumber Kristian.” kata Umar Lahmi.

Mendengar penjelasan sahabatnya, Maaz tersenyum kecil. Hatinya merasa geli. “Baru cuma satu bantahan saja paderi-paderi itu sudah heboh demikian rupa. Bagaimana pula kepercayaan-kepercayaan Kristian yang lain yang menggelikan itu? Dosa yang dilakukan Adam hukuman dikenakan kepada semua anak cucunya.

Seluruh umat manusia dicalit dengan noda dosa itu. Apakah kepercayaan ini ada mempunyai dasar kebenaran? Sebagai pembalasan terhadap dosa semua pembuat dosa, orang yang tidak berdosa dikenakan hukuman dan disuruh pikul beban semua dosa. ‘Putera Tuhan’ turun ke bumi lalu disalibkan. Tidakkah hal ini sudah melampaui batas, menjadikan Tuhan seorang yang lemah dan tidak berdaya?

Kalau benar orang-orang Kristian itu ada mempunyai jawaban terhadap semua soalan ini, sila maju ke depan dan jelaskan kepadaku.” Umar Lahmi ketawa besar mendengar kata-kata Maaz. Sambil mengesat air mata, dia berkata,”Kalau bukan orang Kristian yang sanggup mengada-adakan hal yang bukan-bukan serupa itu, siapa lain lagi yang boleh mengadakannya?

Semua orang boleh bercakap secara wajar tetapi mesti pula ada orang yang bercakap kosong.” Setelah diam sejenak, Maaz lalu berkata perlahan seolah-olah seperti kepada dirinya sendiri.

“Aku fikir sudah sampai masanya kita mengeksploitasi keributan yang timbul sekarang ini.”
“Itu satu cadangan yang baik.” sahut Umar Lahmi dengan cepat.
“Kita mesti keluarkan poster yang berisi dengan segala macam kepercayaan Kristian yang bukan-bukan itu.” “Bagus.” Maaz menyampuk.
“Akan menimbulkan keributan di kalangan orang-orang Kristian di seluruh negeri Sepanyol.”

Isabella bersama-sama dengan dua orang sahabatnya yang duduk di salah satu sudut taman yang berhampiran dengan tempat kedua orang Muslim itu, mendengar semua percakapan tersebut. Wajah mereka yang putih bersih menjadi kemerah-merahan kerana menahan geram.

Akhirnya, dia tidak dapat lagi menahan perasaan hatinya lalu dia berkata kepada kedua orang sahabatnya. “Ini tidak boleh jadi. Kita mesti menyangkal semua tuduhan mereka dan kita mesti melakukan apa saja untuk menyakinkan mereka. Mudah-mudahan Tuhan Kristus akan menarik mereka ke sebelah kita. Andaikata orang-orang Muslim ini dapat dikristiankan, alangkah besarnya kemenangan bagi dunia Kristian. Dengan itu, sekaligus orang-orang Muslim yang lain tidak dapat menegakkan kepala mereka lagi di negara ini.”

Sambil mengucapkan kata-kata akhir itu, Isabella mengangkat muka dengan bersungguh-sungguh memanjatkan doa meminta Tuhan membawa orang-orang kafir ini dan musuh kaum Kristian masuk ke dalam pelukan agama Kristian. Dengan demikian, semakin nyatalah keagunganNya.

“Isabella,” ujar salah seorang sahabatnya sebaik-baik saja Isabella menundukkan muka semula. “Orang-orang kafir ini sangat keras kepala. Bagaimana mereka boleh meninggalkan syaitan dan menyambut tangan Tuhan Kristus? Tambahan pula, yang sulit adalah paderi-paderi kita sendiri.

Mereka takut kepada orang-orang Muslim. Macam kelmarin saja, setelah aku melihat kegusaran kau tentang keraguan mereka terhadap hukum-hukum agama kita dan tentang kutukan yang mereka perkatakan, aku tanya kepada paderi gereja kita.

Mereka buat acuh tak acuh saja sambil berkata tak usah hiraukan sangat apa yang dikatakan oleh orang-orang Muslim itu. Jawaban mereka bukan pembahasan tetapi hunusan pedang. Bila sikap paderi-paderi kita serupa itu tak hairanlah kalau orang-orang Muslim semakin angkuh."
“Masalahnya bukan paderi-paderi kita tidak mahu berbincang dengan orang-orang yang tidak beriman itu atau sengaja mendiamkan diri.” kata Isabella menjawab komen sahabatnya.
“Diam mereka bukanlah bererti mereka tidak dapat menghuraikan masalah tetapi mereka mahu jaminan kalau nanti sesudah diberi keyakinan, semua orang-orang Muslim itu bersedia memeluk agama Kristian. Maka paderi-paderi kita dengan senang hati mahu berhadapan dengan mereka.” Sahabat Isabella diam sejurus mendengar kata-kata Isabella. Dalam kepalanya terlintas satu idea.
“Bagaimana kalau kita minta satu pengakuan bertulis daripada orang-orang Muslim itu bahwa mereka bersedia bersemuka dengan paderi-paderi kita.

Dengan surat itu pula kita boleh mendesak cendekiawan Kristian untuk bercakap dengan orang-orang Muslim itu dan memaksa mereka memeluk agama kita.” “Cadangan itu baik sekali. Tetapi apakah orang-orang Muslim itu bersedia menerima?” tanya Isabella sedikit ragu.
“Mengapa pula tidak?” Bukankah kau juga baru mendengar dari mulut mereka sendiri?”

“Kalau begitu kenapa mesti kita tunggu lagi? Di sini juga kita beritahu mereka agar bersedia berbincang dengan paderi-paderi kita. Aku akan tuliskan secarik surat yang akan aku sampaikan kepada mereka dan lihat apa jawabannya.” kata Isabella dengan perasaan gembira. “Tetapi …!” “Tetapi apa lagi?” Isabella yang baru mahu mengeluarkan pena dan kertas dari begnya terhenti sebentar lalu memandang wajah sahabatnya dengan ragu-ragu.

“Tetapi bukankah baik kita mendapatkan jaminan daripada paderi-paderi kita lebih dulu? Nanti apa akan jadi kalau orang-orang kafir itu bersedia dan paderi-paderi kita menolak?” Kalau orang-orang ini sudah membuat perjanjian dengan bertulis bahwa mereka akan memeluk agama Kristian apabila sudah diyakinkan kebenarannya,” ujar Isabella, “maka cendekiawan kita sudah pasti mahu berdialog dengan mereka.”

Mendengar penjelasan itu, sahabatnya pun diam. Isabella mengeluarkan pena dan secarik kertas lalu menulis: Maafkan saya. Saya telah mendengar dengan penuh perhatian perbincangan rahsia tuan-tuan itu. Bersebab kami juga berminat dalam masalah-masalah yang berkaitan dengan agama, saya percaya tuan-tuan tidak keberatan dengan gangguan saya ini. Saya telah mendengar salah seorang daripada tuan ada berkata kepada temannya bahwa jika kami penganut Kristian dapat memberi penjelasan yang memuaskan tentang perhubungan antara hukum-hukum agama dengan kutukan, tuan bersedia memeluk agama kami.

Tuan juga mahu mencabar kami, orang-orang Kristian, tentang hukum-hukum agama dan kutukan. Jadi, sebagai hamba Tuhan Jesus Kristus, kami dengan sangat senang hati menyambut cabaran tuan dengan syarat tuan membuat pengakuan bertulis. Hamba hina agama Kristian Surat itu telah diserahkan oleh sahabat Isabella kepada Umar Lahmi.

Agak terperanjat juga Umar kerana tiba-tiba saja seorang anak gadis datang menyerahkan surat serupa itu kepadannya. Gadis itu pula tidak dikenali sebelumnya. Maaz memandang sahabatnya dengan pandangan yang berisi pertanyaan. “Surat apa ini?” tanya Umar Lahmi kepada sahabat Isabella.

“Dari teman saya. Dia sedang menunggu jawaban tuan.” jawab gadis itu. Umar Lahmi menyambutnya dengan perasaan yang berdebar-debar. Dia membuka lipatan surat sambil dahinya berkerut-kerut. Setelah membaca isinya, wajah Umar kembali berseri-seri. Dengan senyum kecil, dia menunjukkan surat itu kepada Maaz. Maaz mengangguk-anggukkan kepala dan memberi isyarat kepada Umar Lahmi supaya menjawab segera

Umar Lahmi pun mengeluarkan kertas dan pena lalu menulis: Kami mengucapkan terima kasih di atas susah payah nona. Kami bersetuju sekiranya anggota-anggota gereja dapat memberi penjelasan kepada kami tentang dilema hukum-hukum agama dan kutukan dengan penjelasan yang memuaskan, saya dan sahabat saya akan memeluk agama Kristian.

Sila nyatakan tempat dan tarikh perbahasan akan diadakan. Hamba hina agama Islam (Umar Lahmi) Setelah selesai ditulis dan ditandatangani, surat itu pun diserahkan kepada sahabat Isabella yang segera pula kembali ke tempatnya semula. Isabella sangat gembira menerima balasan surat tersebut, lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui bahwa rancangannya dipersetujui oleh kedua pemuda Muslim itu.

Dia segera membalasnya. Tentang masa dan tempat, saya sendiri akan datang memberitahunya esok. Hamba yang hina Surat itu ringkas saja dan setelah disampaikan kepada Umar Lahmi, mereka pun beredar dari tempat itu dengan satu masalah baru pula. Siapa gerangan orang yang akan berhadapan dengan orang-orang Muslim itu.

Sebaik saja keluar dari taman Cordova itu, Isabella terus saja ke tempat gurunya yang baik hati. Diceritakan kesemua yang berlaku tadi kepadanya. Guru itu yang juga seorang paderi adalah seorang yang benar-benar mengetahui semua masalah agama. Ketika dia melihat Isabella dalam keadaan resah gelisah, dia pun memarahinya dan memberitahu itu bukan suatu masalah besar yang boleh sampai merunsingkan fikiran. Isabella lalu menunjukkan surat Umar Lahmi.

Apabila guru itu membaca surat tersebut, dia pun bersetuju mahu membahas perkara itu dan merasa seseorang yang berpengalaman dan terkemuka patut ikut mengambil bahagian. Kesediaan gurunya membuat hati dan perasaan Isabella yang gundah menjadi tenteram dan membolehkannya pulang ke rumah dalam keadaan selesa. Guru itu berjanji akan menetapkan tempat dan tarikh sebelum tengah hari esok.

Malam itu, Isabella tidak dapat tidur dengan nyenyak. Berbagai-bagai macam persoalan terus menerus menghantui fikiran. Apa akan terjadi sesudah esok hari? Andaikata cerdikpandai Kristian tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan kepada orang-orang Muslim, maka orang Kristian akan dipertakuti sepanjang zaman.

Akhirnya, pagi pun tiba. Setelah selesai membersihkan dirinya, Isabella mengambil Kitab Injil dan mentelaahnya. Menjelang tengah hari barulah dia keluar dan mengajak kedua orang sahabatnya yang akrab pergi ke rumah guru. Di sana mereka melihat sudah ramai paderi yang berkumpul seolah-olah mereka sedang menunggu seseorang yang penting.

Apabila orang yang ditunggu itu tiba maka dia pun dipersilakan duduk di sebuah kerusi yang khas. Guru Isabella, sesudah mengucapkan puji-pujian kepada Jesus Kristus, menerangkan tujuan perhimpunan diadakan dan dengan bersungguh-sungguh meminta semua cendekiawan yang hadir supaya berani dan bersedia untuk berdialog dengan orang-orang Muslim dan mencuba untuk menarik mereka masuk Kristian.
“Kami merasa hairan apakah gerangan masalah besar sehingga kami semua disuruh berkumpul di sini.” kata seorang paderi yang berbadan kurus dan bermuka cengkung, nada suara seperti mengejek.
“Tetapi bila sampai kemari, aku dapati hanyalah satu perkara remeh saja yang mahu dibincangkan. Panggil saja orang-orang Muslim itu ke mari sekarang juga dan sesiapa saja di antara kita dengan mudah boleh menyakinkan mereka.” Seorang paderi lain yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin menyampuk.

“Memang benar perkara ini bukanlah besar sangat, kita pun selalu mengadakan perbincangan dengan orang-orang Muslim. Tapi setelah ada berita tersebar yang mengatakan orang-orang Kristian tidak dapat menjawab keraguan orang-orang Muslim maka perkara ini sekarang dapat dianggap sebagai perkara besar dan penting. Kita patut tetapkan masa untuk perbincangan itu.”

“Besok hari Ahad dan semua penganut Kristian akan berkumpul di gereja besar. Ada baiknya kita memanggil mereka esok pagi. Mudah-mudahan Tuhan Jesus memberi petunjuk kepada mereka.” ujar seorang paderi lain yang kelihatan lebih muda daripada yang lain. Cadangan itu disampuk segera oleh seorang paderi tua yang duduk di sebelah Michael.
“Itu satu cadangan yang baik.” Dia memandang muka Isabella yang sedang duduk berhadapan dengan Michael.
“Bapamu yang mulia yang memimpin sembahyang di gereja itu mesti ikut hadir sebab ada kemungkinan kami memerlukan bantuannya sewaktu-waktu. Apatah pula kamu sendiri yang menjadi perantaraan dalam perbincangan antara kita dengan orang-orang Muslim.” Seorang paderi yang perawakannya gemuk dan pendek menambah, “Bapamu ialah ketua semua paderi di Sepanyol ini. Tidak ada orang lain yang lebih alim daripadanya tentang hukum-hukum agama Kristian. Sebab itu kehadiran bapamu amat diharapkan.”

Pada waktu itu, Michael, guru Isabella, segera menjawab, “Susah tentu!” Setelah berlaku perbincangan yang agak serius, akhirnya dicapai kata sepakat, cadangan mengadakan dialog dengan orang-orang Muslim itu diterima dengan sebulat suara dan hari Minggu telah ditetapkan sebagai hari dialog itu diadakan.

Atas permintaan Isabella, Michael telah menulis surat memberi kebenaran kepada Umar Lahmi untuk masuk ke dalam gereja besar pada hari tersebut. Waktu perbincangan itu selesai. Matahari sudah condong ke barat. Isabella dan kedua sahabatnya meminta diri diikuti Mirano, anak Michael. Mereka berjalan perlahan-lahan menuju ke taman tempat Umar Lahmi dan Maaz menunggu. Mereka dapati selain daripada Umar Lahmi dan Maaz ada orang lain pula bersama-sama mereka. Baru pada petang itulah Umar Lahmi dan Maaz melihat wajah Isabella dari dekat. Mereka terpegun sejurus lamanya kerana terpesona dengan wajahnya yang jelita itu.

Kedua-duanya mengucapkan ‘Subhanallah!’ di dalam hati, memuji kebesaran Allah. Isabella lalu menyerahkan sendiri surat Michael, gurunya, kepada Maaz. Surat itu segera dibuka dan dibaca untuk didengar oleh semua yang hadir. “Kami semua sangat berterima kasih di atas segala susah payah nona.” kata Maaz.

“Andaikata pihak mana saja yang nanti mendapat petunjuk, maka pahalanya pertama sekali nonalah yang menerimanya.” “Aku mendengar nona ini ialah seorang cendekiawan dalam ilmu falsafah Kristian di samping seorang ahli teologi yang terpelajar. Sesungguhnya pujian yang tinggi patut kita berikan kepadanya kerana usaha mahu melepaskan kita daripada ‘kemungkaran’.” kata Umar Lahmi kepada teman-temannya.

Isabella agak tersipu-sipu sedikit mendengar puji-pujian Umar Lahmi itu. Dengan lemah-lembut dia menjawab, “Saya hanyalah seorang hamba hina Tuhan Jesus Kristus. Terima kasih banyak kerana sudi menerima jemputan kami.” Salah seorang Muslim yang hadir menyampuk dengan agak keras, “Astagfirullah. Tengok betapa orang-orang Kristian itu menyekutukan Allah dan memuja Nabi Isa. Memang benar mereka ini gila. Kalau tidak masakan manusia yang hidup …”
Umar Lahmi dengan cepat memotong cakapnya untuk tidak menimbulkan kegusaran kepada Isabella. “Nanti dulu. Tuan secara tidak langsung sudah memulai perdebatan. Perkara itu akan kita putuskan esok di gereja besar.” Kemudian dia memandang Isabella.

“Nona boleh memberi jaminan kepada para paderi itu bagi pihak kami bahwa insyaAllah kami akan sampai di gereja esok sesudah sarapan.” Isabella dan sahabat-sahabatnya pun meminta diri meninggalkan tempat itu. Mereka tidak lagi tunggu sampai matahari terbenam seperti yang seringkali mereka lakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan