BAB 13 Pertemuan Sulit
Di gereja Saint Peter, sepeninggalan Isabella dan sahabat-sahabatnya, telah timbul kekecohan besar. Walaupun telah ditolong oleh Arkia melepaskan diri dari ikatan, ketua rahib yang tadinya memekik meminta tolong tiba-tiba terdiam. Sejurus lamanya dia terdiam tanpa berkata-kata seperti seorang yang dalam kebingungan dengan apa yang telah menimpa dirinya. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan ramai orang yang datang mengerumuninya. Penziarah-penziarah lain yang berada di dalam bilik yang berasingan seolah-olah tidak menghiraukan teriakan meminta tolong dari ketua rahib. Mereka sebaliknya semakin khusyuk dengan doa dan sembahyang di hadapan tulang-tulang kerangka orang yang dianggap wali. Mereka semakin kuat menggenggam jari-jemari tangan masing-masing sambil menangis sementara menunggu dengan penuh sabar kedatangan Tuhan yang dijanjikan.
Setelah keadaan kembali reda, ketua rahib dan Arkia terburu-buru keluar dari gereja kerana mahu mengejar Isabella dan sahabat-sahabatnya yang sudah terlepas dari tawanan. Sekali lagi, mereka termanggu dalam keadaan bingung kerana keldai-keldai mereka telah tiada lagi di situ. Mereka lalu meminjam keldai penziarah lain untuk pulang ke biara. Waktu sampai kembali di biara, mereka disambut dengan perasaan terperanjat oleh rahib lelaki dan perempuan kerana Isabella dan sahabat-sahabatnya tidak kelihatan. Walaupun pemergian ke gereja buruk di Selatan Cordova dirahsiakan namun semua rahib biara telah mengetahuinya. Mereka telah mendengar kisah Mirano pengsan dan Tuhan mengarahkan mereka pergi ke gereja tua itu.
“Mana Isabella?” tanya seorang rahib lelaki.
“Sudahkah dia memikul kembali salib Tuhan kita?” tanya seorang rahib perempuan kepada Arkia. Ketua rahib terlalu susah hati sehingga dia tidak dapat mengangkat muka. Di wajahnya terbayang kehinaan, penyesalan dan kekalahan. Kemudian salah seorang daripada rahib-rahib memberanikan diri untuk tampil ke depan.
“Tuan yang dihormati,” kata rahib lelaki itu “bapa suci, ketua paderi, telah mengirim surat ini waktu tuan tiada. Tuan disuruhnya menjawab segera.” Ketua rahib memandang muka rahib yang sedang menghulurkan surat dengan mata terbelalak. Tangannya sedikit menggeletar.
“Oh, bagaimana aku mahu menunjukkan mukaku kepada bapa suci itu?” katanya membisik.
“Oh, syaitan terkutuk itu telah menipu aku. Syaitan yang tidak pernah melepaskan peluang untuk mencuba walaupun kepada Tuhan Jesus Kristus. Celaka Isabella! Oh, perempuan sial! Aku benci kepadamu oh anak syaitan! Kau yang murtad, kami pula yang mendapat malu. Oh, Tuhan! Lihatlah betapa aku yang taat kepadaMu diperlakukan.”
Walaupun ucapannya amat perlahan tetapi para rahib yang sedang mengelilinginya dapat mendengar dengan jelas dan mereka sangat terperanjat. Lalu masing-masing bertukar pandangan antara satu dengan yang lain dengan diselubungi suatu perasaan yang cukup aneh. Ketua rahib lalu membuka surat dari ketua paderi dengan tangan yang terketar-ketar.
Dengan tujuan untuk memujuk Isabella, kawan-kawannya yang empat orang itu telah datang ke mari seperti yang telah anda maklum. Saya fikir memasukkan kembali Isabella ke dalam agama Kristian tidak semudah seperti yang kita fikirkan. Andainya keadaan Isabella masih tidak berubah, saya minta diserahkan saja kepada inquisisi. Saya akan mengirim beberapa orang untuk mengambil Isabella pada petang nanti. Sekarang, suruh anak-anak gadis itu kembali dan berjumpa saya. Jangan sampai syaitan dapat menyeleweng mereka pula dan masuk ke dalam perangkap Isabella.
Selesai saja dia membaca surat itu, dia pun menangis dengan suara kuat hingga memeranjatkan orang-orang yang berada di situ. Sejurus lamanya dan ketika tangisannya mula reda, dia berkata dalam keadaan masih teresak-esak
” Bagaimana aku akan menjawab surat ini? Aku akan pergi sendiri berjumpa bapa suci dan menceritakan kepadanya betapa orang-orang salih dapat juga diperdaya oleh syaitan.”
Setelah berkata begitu, ketua rahib pun bangun dari duduk dan mengajak Arkia pergi bersama-sama menghadap ketua paderi di rumahnya. Dalam perjalanan, mereka tidak banyak berkata-kata. Ketua rahib terlalu runsing memikirkan hukuman yang akan diterima di atas ketelidurannya. Arkia, Puteri Perancis, pula merasa kesalihannya telah terpukul dengan kejadian itu. Dia yang mengaku selalu mendapat wahyu dan boleh melakukan mukjizat telah dapat dikalahkan oleh Isabella yang dituduh murtad. Perkara yang paling mengganggu fikirannya ialah nasehat Isabella yang menyuruhnya membaca kalimah syahadat dan masuk Islam jikalau dia benar-benar mahu berjumpa dengan Tuhan yang dikhayalkannya selama ini.
Ketua paderi sangat terperanjat apabila melihat ketua rahib datang bersama Arkia. Dalam keadaan tenang, dia mempersilakan mereka duduk. Dengan perasaan terhina dan rasa rendah diri, ketua rahib pun menceritakan tipu muslihat sahabat-sahabat Isabella yang berjaya menipu dia dan Arkia. Ketua paderi terdiam kaku mendengarnya.
Kemudian dia berkata “Saya telah memerintah anda menjaga dengan berhati-hati, kenapa masih boleh ditipu oleh anak-anak gadis itu? Kenapa wahyu palsu itu boleh membuat anda meninggalkan biara? Kenapa tidak diberitahu kepada saya terlebih dulu?”
“Bagaimana saya menjawab lagi? Saya mengaku bersalah dan saya telah jatuh ke dalam perangkap syaitan.” kata ketua rahib.
“Apakah ada rahib-rahib lain yang bersengkokol dengan anak-anak gadis itu?”
“Tidak ada. Sebagai menjaga keselamatan, saya tidak memberitahu kepada sesiapapun kecuali rahib perempuan ini yang memang sudah terkenal dengan kesalihannya.” Ketua paderi lalu memanggil seorang pesuruh dan menyuruhnya pergi ke rumah Michael dan Peter.
“Panggil mereka ke mari sekarang juga. Kalau mereka ada urusan lain, suruh ditinggalkan dulu. Mereka mesti datang ke sini kerana ada urusan penting.”
Tidak lama kemudian, Michael dan Peter hadir bersama tiga orang paderi lain. Mereka meletakkan tangan kanannya di dada tanda memberi hormat kepada ketua paderi.
“Silakan duduk.” kata ketua paderi. “Anak anda, Mirano, telah minggat bersama-sama anak saya, Isabella.” “Apa? Apa yang anda telah katakan?” Michael bertanya dalam keadaan terperanjat.
“Bukan saja Mirano, Hanana, Martha dan Catherine juga telah meloloskan diri dari pengawalan di biara.” ujar ketua paderi lagi.
“Bapa suci! Cuba ceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi?” desak Michael. “Bertanyalah kepada ketua rahib ini.” kata ketua paderi.
“Nah, ceritakan kepada mereka dari mula.” Ketua rahib pun menceritakan kisah kejadian itu dari awal hingga akhir dengan linangan airmata kerana merasa malu dan kesal yang amat sangat. Michael dan Peter turut menangis sama.
“Kenapa menangis?” kata ketua paderi.
“Kutuklah roh-roh yang kotor itu. Sesalan kalau pun ada ialah kerana Isabella telah terlepas dari genggaman inquisisi.”
“Bapa suci! Ini bukan perkara kecil.” ujar Michael.
“Orang-orang Kristian seluruh Cordova seakan terhina dengan kejadian ini.” Ketua paderi tidak mengacuhkan ucapan Michael itu.
Sebaliknya, dia berkata “Bagaimanapun, usahakan mencari anak-anak gadis itu sekarang. Kita akan mencari ikhtiar menghadapi masalah ini.”
Tiga hari telah berlalu dan pada suatu malam ketika menjelang dinihari, semua paderi di Cordova telah datang berkumpul di dalam gereja besar Cordova. Mereka telah diarahkan secara sulit datang berkumpul di situ. Pada lahirnya, tidak kelihatan tanda-tanda dipasang lampu yang terang-benderang, tidak ada hamparan permaidani dan tidak pula ada perarakan salib dan sebagainya. Orang-orang datang secara berasingan dan dengan tenang masuk lalu mengambil tempat duduk di dalam ruang gereja berhadapan dengan altar suci.
Perhimpunan istimewa ini dihadiri oleh orang-orang yang dijemput secara rahsia saja. Sebuah salib besar terpasang di atas altar bertepatan dengan patung Kristus tergantung. Di bawahnya, terdapat Mariam Perawan duduk bertelut di atas lutut, memperlihatkan pembaktiannya kepada Jesus Kristus. Semua dinding gereja besar itu dilukis dengan figura wali-wali dan pengikut-pengikut Jesus, kelihatan seperti gambar di dalam mitologi Roman dan Mesir.
Semua yang datang duduk dikelilingi dinding-dinding itu. Rahib wanita, perawan yang menjadi penghibur paderi-paderi juga kelihatan di dalam kumpulan para paderi.
Ketua paderi, bapa Isabella, menyambut kedatangan semua dengan penuh kemesraan. Mereka berjalan masuk dalam keadaan senyap dan khusyuk sehingga orang-orang yang lewat di luar gereja tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalamnya.
Tetapi orang-orang Islam telah pun mengetahui tentang perhimpunan rahsia itu. Ketua paderi dan Michael berdiri di muka pintu memberi arahan dengan isyarat tangan kepada orang-orang Kristian yang datang berbondong-bondong penuh bersemangat itu supaya jangan membuat bising. Beberapa ribu orang sudah berada di dalam gereja besar namun ketua paderi dan Michael masih berdiri di muka pintu di bawah patung Kristus yang disalib.
Tidak jauh di hadapan gereja, seorang lelaki yang di dalam kumpulan orang yang sedang berbaris hendak masuk memegang bahu seorang lelaki lain di depannya seraya berkata “Saudara, puji-pujian kepada nama Tuhan. Ini ada satu envelop yang mesti saya sampaikan kepada bapa suci, ketua paderi, tetapi saya telah terlupa pesanan Bapa Michael yang telah memerintah saya mengambil satu barang penting di rumahnya untuk ketua paderi. Saya terpaksa pergi sekarang sebelum pertemuan ini bermula. Bolehkan saudara tolong sampaikan kepadanya sesudah sampai di dalam nanti?” Envelop diserahkan sebelum orang itu sempat menjawab.
Setelah menerimanya, dia berkata “Dengan segala senang hati. Saya akan sampaikan envelop ini kepada bapa suci. Tuan jangan bersusah hati.”
“Terima kasih.” jawab orang lelaki itu lalu meninggalkan barisan. Orang yang menerima itu memegang surat itu dengan kuat. Dia gembira kerana menerima amanah yang begitu besar.
Ruang gereja telah penuh dengan orang-orang Kristian dan para paderi duduk di tempat yang disediakan untuk mereka. Ada beberapa paderi pula berjalan berkeliling, memerhati setiap orang untuk memastikan tidak ada orang Islam yang dapat menyusup masuk. Setelah mereka yakin orang-orang yang tidak diingini tidak ada di dalam gereja, pintu besar pun ditutup. Beberapa orang disuruh berjaga di luar supaya tidak ada orang yang cuba mencuri mendengar. Sebagai langkah menjaga keselamatan, ketua paderi dan Michael serta dua belas orang paderi pilihan duduk di atas suatu tempat yang agak tinggi letaknya di bahagian hadapan. Suasana di dalam gereja tidak terlalu bising walaupun beribu-ribu orang menempatinya. Ia juga adalah arahan keras dari ketua paderi.
Tiba-tiba, ketika perhimpunan akan dimula, seorang lelaki yang duduk di bahagian hadapan bangun berjalan mendapatkan ketua paderi lalu menyerahkan surat yang diamanahkan kepadanya. Surat itu, dalam suatu envelop besar, diterima Michael. Ketika itu, ketua paderi sedang berada di atas podium mahu memberi ucapan. Ketua paderi bercakap dengan suara yang agak gementar.
“Anak-anakku, lelaki dan perempuan! Malam ini kalian disusahkan dengan arahan supaya datang berkumpul di dalam gereja besar ini. Perhimpunan ini amat penting yang nanti akan disampaikan oleh Bapa Michael. Kalian mesti mendengar baik-baik ucapan yang bakal diberikan beliau. Dengar dengan tenang dan sabar.”
Waktu ketua paderi mahu duduk, Michael menyerahkan envelop besar kepadanya. Setelah itu, dia menuju ke podium untuk menyampaikan ucapan.
Ketua paderi membuka envelop itu lalu mengeluarkan sepucuk surat dari dalamnya. Dia membaca dengan cepat beberapa baris ayat lalu memekik dengan kuat sehingga mengejutkan semua orang, lebih-lebih lagi Michael yang baru saja mahu berucap. Tubuh ketua paderi terketar-ketar kerana menahan marah. Semua orang yang memandang ke arahnya kehairanan. Michael segera mendekatinya.
“Ada apa bapa suci?” Setelah ketua paderi tenang kembali, dia pun berkata “Ini surat dari Isabella. Dia menjemput kita semua memeluk agama Islam. Siapa yang memberikan surat ini tadi?”
“Saya yang memberinya, bapa suci.” ujar seorang lelaki dengan jujur. Belum sempat dia menyambung kata-katanya, beberapa orang yang duduk berhampiran telah memukul dan menumbuknya dengan kuat. Lelaki itu masih juga berusaha mahu menjelaskan perkara sebenar tetapi tidak seorang pun yang mengendahkannya. Dia terus dipukul dan ditumbuk hingga terjatuh dan tidak sedarkan diri. Tubuhnya diheret dan dicampakkan ke dalam bilik kecil di sudut gereja.
Kekacauan telah berlaku. Agak lama baru keadaan kembali reda. Dalam keadaan payah, ketua paderi maju ke hadapan untuk bercakap. “Orang yang membawa surat ini ialah seorang Islam yang menyamar sebagai salah satu dari kita dengan memakai pakaian suci kita.” Dia berhenti sejenak. “Bagaimanapun, besok kita akan periksa orang ini. Sekarang, anak-anak perempuan itu telah mendakwah kepada kita tentang agama Islam yang biadab dan terkutuk itu. Sekarang, mari kita fikirkan cara untuk mendapatkan kembali anak-anak perempuan itu. Apa yang patut kita buat?” sambungnya lagi.
Michael lalu tampil di atas podium. “Saudara-saudara! Nampaknya tujuan kita mengadakan perhimpunan rahsia ini menjadi sia-sia dengan kehadiran surat Isabella. Apa yang dapat kita lakukan sekarang? Kita baca dan dengar isi surat itu dan kita semua mesti mendengarnya dengan sabar. Berdoalah kepada Tuhan agar dia dapat dikembalikan ke dalam pelukanNya ataupun dimasukkan ke dalam neraka segera.”
Ketua paderi lalu berkata “Bawalah orang itu ke mari. Kita boleh memaksanya bercerita tentang perkara-perkara lain yang perlu kita ketahui walaupun kita tahu orang-orang Islam itu keras kepala dan tidak mudah membuka rahsia. Dia sekarang dalam genggaman kita. Dengan mengancamnya, kita pasti berhasil mendapatkan sesuatu.”
Orang lelaki yang malang itu pun dibawa keluar dari bilik dan diletakkan di atas pentas di hadapan orangramai. Keadaannya amat parah. Badannya luka-luka dan pakaiannya koyak-rabak. Apabila ketua paderi melihatnya dengan teliti dari dekat, dia lalu menjerit dengan kuat “Oh, ini paderi dari gereja sebelah utara. Dia anak saudaraku sendiri!” Sekali lagi, orangramai terperanjat.
Michael segera mendekati orang itu. “Dia masih bernafas.” Semua orang merasa amat dukacita. Mereka seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
Esoknya, apabila paderi yang malang sudah sedarkan diri, dia pun menceritakan kisah sebenar bagaimana dia mendapat surat itu. Setelah mendengarnya, semua yang ada sependapat mengatakan itu adalah perbuatan khianat daripada orang-orang Islam. Harapan mereka kepada Isabella dan sahabat-sahabatnya pun lenyap begitu saja. Perhimpunan rahsia mereka telah gagal malahan telah menimbulkan kekecohan besar sehingga tidak dapat dikawal lagi.
Surat Isabella yang ditulis kepada bapanya berbunyi:
Semua puji-pujian kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam. Yang telah menciptakan langit dan bumi dan segala isi yang ada di dalamnya dengan kekuasaanNya yang mutlak dan Dia di samping menyusun sistem lahiriah juga menyusun sistem batiniah melalui wahyu dan nabi-nabi dan salawat serta salam kepada Junjungan yang telah datang melepaskan dunia dari kemungkaran dan kegelapan serta membawanya ke dalam cahaya keimanan dan memimpin kita ke jalan yang benar yang telah diterokai oleh nabi-nabi yang terdahulu dan membawa kita kepada Allah yang menjanjikan kedamaian dan keselamatan abadi. Bapaku yang dihormati. Ketahuilah bapa bahwa aku telah menerima Islam yang menurut penyelidikanku ialah satu-satunya agama yang bebas daripada kemungkaran dan kebatilan, yang membimbing kita ke jalan keselamatan. Saya telah menolak agama Kristian kerana ia penuh dengan ketahyulan dan kekufuran dan bertentangan dengan ajaran semua nabi. Secara ringkas maka di bawah ini saya perturunkan perbandingan-perbandingan untuk menunjukkan kebenaran Islam kepada bapaku :
1. Dalam Islam, Allah itu Esa dan tidak bersekutu dengan apa pun juga. Dia unik dengan segala kebaikan dan kesempurnaanNya. Al-Quran menyebut Allah itu tunggal. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada suatu pun yang sama denganNya. Dia wujud, tidak mati, tidak tidur, tidak mengantuk dan tidak letih ataupun berhajatkan kepada semua yang dihajatkan oleh manusia. Kalau kita akan menyebut satu persatu semua kesempurnaanNya maka hendaklah kita mempelajari Kitab Suci Al-Quran.
2. Sebaliknya, agama Kristian percaya bahwa Tuhan itu bukan satu tetapi tiga: bapa, anak dan Roh Kudus. Jesus Kristus satu-satunya ‘Putera Tuhan’ dan dia juga pencipta dan abadi seperti bapanya juga meskipun Injil mengatakan Jesus itu makan dan minum, tidur dan jaga dan sangat bergantung kepada air, udara dan tiap-tiap benda yang diperlukan oleh manusia dan di dalam dirinya terkumpul semua keinginan duniawi. Seandainya Tuhan juga bergantung kepada semua perkara seperti manusia maka bagaimana dia layak menjadi Tuhan dan apakah ada perbedaan lagi antara Tuhan dan manusia? Kitab Suci Al-Quran dengan tegas mengatakan bahwa sesiapa yang mengatakan Kristus itu Tuhan atau Putera Tuhan maka dia telah menyekutukan Allah dan menjadi kafir. Orang-orang Kristian dengan menjadikan Kristus sebagai putera Tuhan telah memfitnah Tuhan. Al-Quran telah mengajar bahwa Kristus serupa Musa, Daud, Sulaiman, Yahya, Hud, Nuh dan lain-lain nabi. Sebagai utusan dan nabi, mereka juga adalah manusia, makhluk dan bukan pencipta. Nah, cuba bapa fikirkan sendiri betapa jelas dan munasabah ajaran Kitab Suci Al-Quran ini dan betapa agama Kristian mengusutkan dan tidak masuk akal.
3. Menurut Islam, tiap-tiap manusia dilahirkan dalam keadaan suci dan bebas dari dosa. Apabila dia beransur dewasa, pengaruh-pengaruh luar telah menyesatkannya. Allah telah memberikan akal kepada manusia supaya mematuhi hukum-hukumNya dan menjauhi benda-benda yang terlarang. Al-Quran mengatakan bahwa Adam tidak melakukan dosa. Semua nabi adalah suci dan bersih dari dosa. Masalah dosa yang diwarisi adalah tipuhelah syaitan. Agama Kristian mengatakan tiap-tiap orang berdosa sejak dilahirkan sehingga dengan demikian, nabi-nabi juga melakukan dosa dan dosa Adam adalah penyebab manusia menjadi berdosa. Nyata sekali betapa kepercayaan ini tidak ada logiknya, tidak munasabah dan bertentangan dengan bukti-bukti intuisi yakni kerana Adam melakukan dosa, dosa yang sebenarnya tidak pernah dapat dibuktikan, semua manusia menderita seksaan. Jadi, dalam masalah ini juga Kitab Suci Al-Quran adalah benar dan adil dan ketetapannya logik, munasabah dan menurut sunah nabi-nabi.
4. Keutamaan yang diberikan oleh Al-Quran ke atas akhlak dan guru-guru ialah tentang betapa mulia dan tingginya moral itu, hal yang serupa tidak diketemui di dalam lain-lain agama. Islam mengatakan bahawasanya manusia itu tidak memperoleh selain dari apa yang diusahakannya dan usahanya itu kelak pasti akan dilihatnya. Kemudian diberikan kepadanya balasan yang cukup sempurna terhadap usahanya* dan yang demikian itu adalah ajaran dari semua nabi. Tidak ada orang yang akan memikul beban orang lain tetapi tiap-tiap orang memikul tanggungjawab di atas perbuatannya. Maka dengan ajaran suci serupa inilah yang memberikan manusia ajaran-ajaran kemuliaan dan menggesanya berbuat kebajikan. Tetapi agama Kristian sebaliknya mengajarkan bahwa Jesus Kristus telah memikul beban dosa semua orang lalu disalibkan dan menjadi penebus semua orang yang berdosa. Perbuatan dosa telah dilakukan oleh beribu bahkan berjuta manusia tetapi hukumannya telah dikenakan ke atas seorang manusia suci, satu-satunya ‘Putera Tuhan’. Ajaran ini di satu pihak membuat manusia tidak berguna dan memalukan sementara di pihak lain menjadikan seseorang hilang kepercayaan kepada dirinya sendiri dan dengan demikian harga dan nilai dirinya jatuh di matanya sendiri selain daripada itu kepercayaan ini merupakan satu pelanggaran kepada kesucian Tuhan.
5. Apabila Kitab Suci Al-Quran diturunkan ke dunia, ia telah menerangkan semua kebenaran. Kebenaran yang telah lama dilupakan dan punca-punca kebenaran yang telah dicemarkan. Islam meletakkan semula kemuliaan semua nabi-nabi dan membantah semua tuduhan palsu yang ditimpakan kepada mereka. Ia mendedahkan penyisipan-penyisipan palsu yang telah dilakukan di dalam kitab-kitab wahyu dan membuat penjelasan akan keadaan yang sebenarnya melalui pendedahan itu. Islam membantah tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap Nabi Isa yang telah dibuat oleh sebahagian musuh-musuhnya dan juga kawan-kawannya. Islamlah dengan usaha baiknya telah meletakkan Nabi Isa pada tempatnya yang sebenar dan telah membersihkannya daripada segala tohmahan orang-orang Yahudi dan juga orang-orang yang menamai diri mereka Kristian. Orang-orang Kristian pula telah menuduh semua nabi dengan tuduhan-tuduhan palsu, perzinaan dan pembunuhan dan mengetengahkan Jesus Kristus dalam bentuk yang tidak sempurna sehingga kalau tidak kerana kedatangan Islam yang mendedahkan kebenaran maka tidak seorangpun yang mahu menganggapnya sebagai manusia bermoral juga. Ini merupakan satu obligasi Islam yang tidak akan dapat dibayar oleh Kristian. Orang-orang Kristian tidak saja memanipulasi kitab-kitab Injil, juga telah menyusun beratus-ratus Injil atas nama Kristus. Sekarang, Injil-Injil palsu dan gelap yang disusun telah diletakkan di hadapan kita yang sedikitpun tidak ada kena-mengena dengan Kristus. Dalam Kitab Suci Al-Quran terkumpul dan tersimpan dengan baik semua kitab yang diwahyukan. Oleh sebab itu saya menjemput semua orang Kristian membaca Kitab Suci Al-Quran ini yang menjunjung kehormatan agama Kristian dan yang memberikan kepada kita pengajaran dari semua nabi sepanjang zaman.
6. Islam menyebut secara terperinci akan hak-hak kaum wanita dan memerintahkan pembebasan semua hamba-abdi, meniupkan semangat persamaan dan persaudaraan di kalangan umat manusia dan menetapkan perhubungan antara manusia dengan Tuhan. Tetapi dalam agama Kristian tidak ada secebis tanda pun tentang hak-hak wanita. Hanya kepada orang lelaki diberitahu bahwa mereka boleh menceraikan isterinya yang melakukan zinah tetapi tidak menyebut sedikitpun tentang apa yang boleh dilakukan oleh si isteri ke atas ketidak-setiaan suaminya. Tidak ada sepatah perkataan pun dalam agama Kristian tentang pembebasan hamba abdi.
7. Islam menyuburkan moral manusia dan menyediakan tatasusila yang tetap bagi kemanusiaan. Dengan mematuhi peraturan itu manusia boleh mengawal nafsu secara sederhana. Di dalam Al-Quran ada disebutkan
”Barangsiapa mengerjakan kejahatan maka tidak dibalasnya melainkan dengan seumpamanya dan barangsiapa beramal salih baik lelaki ataupun perempuan, sedang dia seorang yang beriman maka orang-orang itu masuk ke dalam syurga; mereka diberi rezeki di dalamnya dengan tidak ada hingganya.*
Tetapi dalam agama Kristian ditekankan kepada satu aspek saja iaitu melakukan kesalahan tidak boleh dihukum dan kalau dia menampar pipi kiri mesti menyerahkan pipi kanan pula untuk ditampari. Betapa pengajaran serupa itu boleh diikuti manusia di dunia ini? Betapa keamanan dan ketenteraman dunia dapat dipertahankan dengan pengajaran serupa itu? Andaikata mahu memperlihatkan kemaafan dan baiksangka dalam semua perkara maka mengapa Dia menciptakan nafsu amarah di dalam diri manusia dan kemudian membiarkan bahagian dari naluri itu menjadi kering? Ini adalah beberapa perkara sebagai satu illustrasi tentang pengertian yang menyebabkan saya menerima Islam dan bagi bapa juga, kalau ada satu jalan kebenaran yang mesti diikuti maka bapa mestilah menerima Islam seberapa cepat yang boleh dan menyatakan taubat segera di atas keragaman ketuhanan di dalam agama Kristian yang benar-benar bertentangan dengan sifat-sifat Tuhan lalu menjadi penghalang kepada jalan manusia mencapai kemajuan. Mudah-mudahan Tuhan menganugerahkan kepada bapa jalan istimewa untuk menerima iman. Saya juga mendoakan bapa ke jalan benar dan moga-moga Tuhan menyegerakannya. Amin!
Anak bapa, Isabella
* Al-Quran S 5:39-41 *
*Al-Quran S 40:40
Tiada ulasan:
Catat Ulasan